Ringkasan juzuk 9 sempena hari ke 9 Ramadhan. (14 Mei 2019)
Oleh: Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim
TADABBUR PILIHAN JUZUK 9 – KAMI PUN MAHU POKOK KERAMAT?
Malam tadi kami Qiyam juzuk 9 seiring dengan malam ke 9 Ramadhan. Antara ayat yang bagus untuk kita tadabbur adalah:
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَى قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَى أَصْنَامٍ لَهُمْ قَالُوا يَامُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ (138) إِنَّ هَؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (139)
Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Isra’il ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala mereka. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Isra’il) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. "Sesungguhnya mereka (penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu" (al-A’raf 7:138-139).
Ayat ini menceritakan perangai buruk Bani Isra’il yang mula keluar menujah selepas mereka bebas daripada cengkaman Firaun. Permintaan buruk sebegini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan sahabat. Pertama kisah pokok yang jadi tempat menggantung senjata Arab Jahiliah;
عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا خَرَجَ إِلَى حُنَيْنٍ مَرَّ بِشَجَرَةٍ لِلْمُشْرِكِينَ يُقَالُ لَهَا ذَاتُ أَنْوَاطٍ يُعَلِّقُونَ عَلَيْهَا أَسْلِحَتَهُمْ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُبْحَانَ اللَّهِ هَذَا كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَرْكَبُنَّ سُنَّةَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ
Ertinya: Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW keluar ke Hunayn, baginda melewati sebatang pokok yang dipuja Musyrikin. Pokok itu digelar – Dhat Anwat – tempat menggantung, iaitu tempat Musyrikin menggantung senjata mereka. (Mereka biasa kunjungi pokok ini setiap tahun untuk menjalankan berbagai upacara karut seperti menyembelih haiwan). Lalu mereka (beberapa Arab Badwi yang ada bersama rombongan Rasulullah) berkata: “Wahai Rasulullah! Buatlah untuk kami pokok tempat menggantung seperti yang mereka miliki.” Baginda lalu menjawab: “Maha Suci Allah (daripada sebarang bentuk syirik), (permintaan kamu) ini saling tak ubah seperti permintaan kaum nabi Musa yang berkata - buatlah untuk kami Tuhan (dalam bentuk berhala) sebagaimana mereka (para penyembah berhala) juga miliki Tuhan. Demi yang jiwaku berada dalam tangan (kuasa)–Nya, kamu pasti akan mengikut jejak langkah (yang sesat) orang sebelum kamu (jika tidak dibendung) (Sunan al-Tirmidhi hadith no 2106 dan Musnad Ahmad hadith no 20892).
Ini antara bentuk tipu daya syaitan kepada manusia. Ada yang disesatkan syaitan hanya dengan sebatang pokok, sedangkan pokok adalah makhluk Allah yang patuh kepada-Nya. Si pokok memberi teduhan panas mentari, tadahan limpahan air hujan, pembekal oksigen dan sebagainya. Perihal patuh atau sujudnya pokok kepada sistem aturan Allah di alam ini disebut al-Quran
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ ۗ وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ
Ertinya: Tidakkah engkau tahu bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, POKOK KAYU, binatang, serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya (al-Hajj 22:18).
Peristiwa kedua adalah kisah pokok tempat Rasulullah SAW dan para sahabat berjanji taat dalam peristiwa Hudaybiyah. Ringkasnya, peristiwa itu berlaku pada tahun ke 6 Hijri ketika Rasulullah SAW keluar bersama kira-kira 1500 para sahabat menuju Mekah untuk menunaikan umrah. Musyrikin Mekah menghalang kemasukan mereka, lalu Baginda SAW menghantar ‘Uthman bin ‘Affan RA ke Mekah untuk berunding. Setelah tersebar khabar angin mengatakan ‘Uthman RA telah dibunuh, Baginda SAW dan para sahabat “BERJANJI TAAT SETIA DI BAWAH SEBATANG POKOK DI HUDAYBIYAH” untuk menuntut bela atas kematian ‘Uthman dan tidak akan lari jika berlaku peperangan. Selepas itu, Musyrikin Mekah melepaskan ‘Uthman dan termeterailah perjanjian Hudaybiyah. Kisah ini dinamakan Bai’ah al-Ridhwan dan direkodkan al-Quran (al-Fath 48:18). Rupanya lokasi pokok ini ada ceritanya tersendiri dalam sebuah riwayat:
عَنْ طَارِقِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ انْطَلَقْتُ حَاجًّا فَمَرَرْتُ بِقَوْمٍ يُصَلُّونَ قُلْتُ مَا هَذَا الْمَسْجِدُ قَالُوا هَذِهِ الشَّجَرَةُ حَيْثُ بَايَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْعَةَ الرِّضْوَانِ فَأَتَيْتُ سَعِيدَ بْنَ الْمُسَيَّبِ فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ سَعِيدٌ حَدَّثَنِي أَبِي أَنَّهُ كَانَ فِيمَنْ بَايَعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ قَالَ فَلَمَّا خَرَجْنَا مِنْ الْعَامِ الْمُقْبِلِ نَسِينَاهَا فَلَمْ نَقْدِرْ عَلَيْهَا فَقَالَ سَعِيدٌ إِنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَعْلَمُوهَا وَعَلِمْتُمُوهَا أَنْتُمْ فَأَنْتُمْ أَعْلَمُ
Ertinya: Tariq bin Abdul Rahman menceritakan; (pada suatu hari) Aku bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji. Aku kemudiannya melewati sekumpulan manusia yang sedang solat di sebuah tempat. Aku bertanya apa (signifikan) tempat mereka solat itu. Mereka menjawab bahawa itu adalah pokok di mana Rasulullah SAW melakukan Bai’ah al-Ridhwan (dalam persitiwa perjanjian Hudaybiyah). Selepas itu aku berjumpa Sa’id bin al-Musayyab (seorang murid sahabat nabi) dan menceritakan kepadanya perihal pokok tersebut. Sa’id lantas menjawab: Ayahku (seorang sahabat nabi) yang terlibat secara langsung dalam peristiwa Bai’ah itu pernah memberitahuku, “APABILA KAMI KELUAR UNTUK MENUNAIKAN UMRAH GANTI PADA TAHUN BERIKUTNYA (tahun ke tujuh Hijri sebagaimana disepakati bersama dalam perjanjian Hudaybiyah), KAMI LUPA LOKASI POKOK ITU DAN TAK MAMPU MENCARINYA.” Sa’id lantas berkata lagi: Para sahabat Muhammad SAW tak pasti di mana lokasinya (pokok itu), tapi kalian pula yang tahu lokasinya. Tak kanlah kamu lebih tahu (daripada para sahabat yang terlibat sendiri dalam perisitwa itu)? (Sahih al-Bukhari).
Ketika menghuraikan riwayat yang sama Imam al-Nawawi menulis:
قَالَ الْعُلَمَاء : سَبَب خَفَائِهَا أَلَّا يُفْتَتَن النَّاس بِهَا لِمَا جَرَى تَحْتهَا مِنْ الْخَيْر وَنُزُول الرِّضْوَان وَالسَّكِينَة ، وَغَيْر ذَلِكَ ، فَلَوْ بَقِيَتْ ظَاهِرَة مَعْلُومَة لَخِيفَ تَعْظِيم الْأَعْرَاب وَالْجُهَّال إِيَّاهَا وَعِبَادَتهمْ لَهَا ، فَكَانَ خَفَاؤُهَا رَحْمَة مِنْ اللَّه تَعَالَى .
Ertinya: Para ulama berkata; sebab tersembunyinya lokasi pokok itu adalah supaya manusia tidak terfitnah (terpesong akidah) dengan pokok itu, kerana (akan ada kepercayaan jika) berjalan di bawah pokok itu adalah suatu kebaikan (berpahala) dan akan beroleh keredhaan (Allah) serta ketenangan dan berbagai lagi. Jika pokok itu kekal wujud dan diketahui (secara tepat) lokasinya, dibimbangi orang Arab Badwi dan orang jahil akan mengagung serta beribadat kepadanya. Oleh itu, penyembunyian lokasi pokok itu menjadi rahmat dari Allah Ta’alah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).
Aduhai! Cukuplah sindiran Sa’id ibn al-Mussayab dan ulasan Imam al-Nawawi ini menjadi teguran kepada kita semua agar tidak lebih memandai daripada para sahabat Rasulullah dalam urusan agama. Jelas sekali Islam bukan agama rapuh serapuh ranting kering pada sebatang pokok. Islam mengangkat darjat akal manusia dengan pengabdian kepada Tuhan sebenar yang mencipta pokok dan seluruh alam semesta. Semoga Allah selamatkan kita semua daripada tipu daya syaitan yang mencipta berbagai produk agama.
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
2 Mei 2020, Sabtu (9 Ramadhan 1441 H).
TADABBUR PILIHAN JUZUK 9 – JADI AGEN PENGHALANG AZAB BERSAMA RASULULLAH?
Malam tadi kami Qiyam juzuk 9 seiring dengan malam ke 9 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Ertinya: DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENYEKSA MEREKA, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; DAN ALLAH TIDAK AKAN MENYEKSA MEREKA SEDANG MEREKA BERISTIGHFAR (MEMINTA AMPUN) (al-Anfal 8:33)
Rasulullah SAW dan istighfar (taubat) menjadi sebab terhalangnya azab di dunia. Di Mekah dahulu, orang Mekah selalu mengejek Baginda agar segera didatangkan azab kerana kedegilan mereka menolak Islam. Doa mereka direkodkan dalam beberapa tempat:
وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah mengejek nabi sambil) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisi-Mu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". (al-Anfal 8:32).
Juga firman Allah:
وَقَالُوا رَبَّنَا عَجِّلْ لَنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ الْحِسَابِ
Ertinya: Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): "Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh Muhammad itu)" (Sad 38:16).
Kita mungkin tertanya-tanya mengapa Allah tidak terus memusnahkan mereka dek doa ejek itu? Tambahan pula doa itu dipanjatkan di bumi istimewa Mekah. Jawabnya, kerana Baginda Rasulullah SAW masih berada di Mekah pada waktu itu. Besar sekali syafaat Baginda kepada seluruh manusia tanpa mengira yang Muslim atau yang Kufur. Allah sangat cintakan Baginda sehingga menghalang azab turun di tempat wujudnya Baginda. Perhatikan hadith ini:
النُّجُومُ أَمَنَةٌ لِلسَّمَاءِ فَإِذَا ذَهَبَتْ النُّجُومُ أَتَى السَّمَاءَ مَا تُوعَدُ وَأَنَا أَمَنَةٌ لِأَصْحَابِي فَإِذَا ذَهَبْتُ أَتَى أَصْحَابِي مَا يُوعَدُونَ وَأَصْحَابِي أَمَنَةٌ لِأُمَّتِي فَإِذَا ذَهَبَ أَصْحَابِي أَتَى أُمَّتِي مَا يُوعَدُونَ
Ertinya: Bintang-bintang adalah penjamin keamanan langit, apabila bintang hilang maka datanglah kepada langit apa yang dijanjikan padanya (kiamat). AKU ADALAH PENJAMIN KESELAMATAN PARA SAHABATKU, APABILA AKU WAFAT MAKA DATANGLAH KEPADA PARA SAHABATKU APA YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA. Para sahabatku adalah penjamin keselamatan umatku, apabila mereka wafat, datanglah kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka (Sahih Muslim, hadith no 4596 dan Musnad Ahmad, hadith no 18745).
Rupanya bukan Baginda SAW sahaja penghalang azab, ia turut berlaku kepada para nabi lain. Antara yang disebut nyata dalam al-Quran adalah kisha Nabi Lut AS yang diarahkan keluar dari Sadum kerana Allah mahu memusnahkan negeri penggila seks songsang itu (Hud 11:81-83 dan al-Hijr 15:65-66).
Baginda SAW sudah lama wafat. Ini bermakna kita sudah hilang PENGHALANG AZAB yang utama, tapi usah gusar kerana kita masih ada satu lagi penghalang azab iaitu istighfar atau taubat. Atau dengan kata lain, wujudnya orang yang sentiasa memohon ampunan dan bertaubat kepada Allah. Biasanya istighfar dan taubat dilafaz menjadi irama hidup kaki surau dan masjid kerana itulah wirid wajib mereka selepas solat. Secara tidak langsung, mereka yang mengikat diri berjemaah di surau masjid sebenarnya sangat mulia kerana menjadi agen penghalang azab. Apa tunggu lagi! Marilah kita bersama semarakkan Jemaah di Surau dan Masjid selepas PKP berakhir untuk sama-sama menjadi agen penghalang azab yang disebut Allah.
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
2 Mei 2020, Sabtu (9 Ramadhan 1441 H).
No comments:
Post a Comment