Thursday, May 23, 2019

RINGKASAN JUZUK 18 SEMPENA HARI KE 18 RAMADHAN


RINGKASAN JUZUK 18 SEMPENA HARI KE 18 RAMADHAN (Khamis 23 Mei 2019).

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.



TADABBUR PILIHAN JUZUK 18 – MEWARISI RUMAH ORANG KAFIR DALAM SYURGA?

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan adalah:

أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)

Ertnya: Mereka itulah orang yang berhak MEWARISI - Yang akan MEWARISI SYURGA FIRDAUS; mereka kekal di dalamnya (al-Mu'minun 23:20-11).

Ayat di atas menerangkan “kesudahan orang beriman” yang menghayati atau mengamalkan 7 sifat yang disebut Allah iaitu, (1) solat yang khusyuk, (2) meninggalkan perkara yang lalai, (3) menunaikan zakat, (4) menjaga kemaluan, (5 & 6) menjaga amanah dan janji, (7) menjaga solat secara sempurna. Jika berjaya memenuhi semua sifat ini, orang beriman akan diwariskan syurga tertinggi iaitu syurga Firdaus. Syurga Firdaus adalah tempat elit lagi terpilih sebagaimana janji Rasulullah SAW:

فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ

Ertinya: Apabila kalian mahu meminta kepada Allah, maka minta syurga al-Firdaus kerana ia adalah syurga terbaik dan tertingi. Diperlihatkan di atasnya Arasy Allah Yang Maha Pemurah. Daripadanya terpancar banyak sungai syurga (Sahih al-Bukhari, hadith no 2581).

Perkataan “pewarisan syurga” dalam ayat ini boleh difahami dengan 2 makna:

1) Pewarisan biasanya digunakan bagi menggambarkan sesuatu anugerah tak setimpal dengan usaha. Contohnya si fulan menjadi orang kaya segera setelah menerima PEWARISAN harta pusaka Datuknya yang kaya raya. Selain itu, Allah menggunakan perkataan "PEWARISAN" bukan PENCAPAIAN kerana mahu menyedarkan kelemahan dan kekurangan kita dalam beribadat kepada Allah. Amal ibadat kita yang serba kekurangan sebenarnya tak mampu pun untuk membeli walau “sekaki" tanah syurga. Pun begitu, Allah dengan segala rahmat-Nya "MEWARISKAN" kita syurga seperti si miskin yang menjadi kaya sekelip mata kerana mewarisi harta orang lain tanpa perlu mengeluarkan setitik keringat pun. Ia seiring dengan sabda Nabi SAW yang menyatakan laluan kita ke syurga bukan kerana amalan sebaliknya kerana rahmat Allah:

لَنْ يُدْخِلَ أَحَدًا عَمَلُهُ الْجَنَّةَ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لَا وَلَا أَنَا
 إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ

Ertinya: Amalan seseorang itu tidak akan (menjadi sebab) dia dimasukkan ke dalam syurga. Sahabat bertanya: (Adakah) Engkau juga (terikat dengan perkara ini) wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, aku juga (tidak terjamin), melainkan Allah menyampaikan padaku dengan kurniaan serta rahmat-Nya (Sahih Bukhari, hadith no 5241 dan Sahih Muslim, hadith no 5038).

Bukan hanya Nabi kita, Nabi Ibrahim AS sendiri pun menggunakan perkataan PEWARISAN apabila merujuk kepada syurga:

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Ertinya: (Nabi Ibrahim berdoa lagi)"Dan jadikan aku daripada orang yang MEWARISI SYURGAMU Jannatun-Naiim; (al-Syu’ara’ 26:85).

2) Orang beriman mewarisi rumah bukan Islam dalam syurga. Pelik juga kenyataan ini? Lihat hadith ini:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا لَهُ مَنْزِلَانِ مَنْزِلٌ فِي الْجَنَّةِ وَمَنْزِلٌ فِي النَّارِ فَإِذَا مَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ وَرِثَ  أَهْلُ الْجَنَّةِ مَنْزِلَهُ فَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى { أُولَئِكَ هُمْ الْوَارِثُونَ }

Ertinya: Setiap kamu memiliki 2 rumah di akhirat iaitu sebuah rumah dalam syurga dan sebuah rumah dalam neraka. Apabila dia mati dan memasuki neraka maka penghuni syurga (yang lain) akan mewarisi rumahnya (yang ditinggalkan dalam syurga). Itulah maksud firman Allah: “Mereka itulah orang yang berhak mewarisi (syurga) (al-Mu’minun 23:10),(Sunan Ibn Majah, hadith no 4332).  
 
Sebuah hadith lain pula menjelaskan:

عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَجِيءُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ نَاسٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ بِذُنُوبٍ أَمْثَالِ الْجِبَالِ فَيَغْفِرُهَا اللَّهُ لَهُمْ وَيَضَعُهَا عَلَى الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى

Ertinya: Pada hari kiamat kelak akan dibawa datang sekumpulan Muslim yang dosanya seperti bukit. Allah kemudian mengampunkan mereka dan meletakkannya (kehinaan dosa) ke atas orang Yahudi dan Nasrani) (Sahih Muslim, hadith no 4971). 

Orang beriman akan mewarisi rumah orang kafir kerana semua makhluk asalnya dicipta untuk bertuhan dan beribadat kepada Allah semata-mata. Apabila orang beriman memenuhi tanggungjawab itu, manakala orang kafir mengabaikannya maka pihak yang taat akan diwariskan rumah yang diperuntukkan untuk pihak yang engkar. 

Ayuh kita semua menyinsing betis, melipat lengan baju berusaha sepenuh hati agar DIWARISKAN Allah dengan syurga firdaus. Jika orang beriman lain sudah menerima PEWARISAN penuh mulia ini kerana usaha mereka, marilah kita bersama mereka masuk dalam barisan rahmat Allah semoga kita juga akan menerimanya. 

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

11 Mei 2020, Isnin (18 Ramadhan 1441 H).



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...