Sunday, March 3, 2019

"NAMA YANG BAIK" ADALAH ANUGERAH ALLAH

"NAMA YANG BAIK" ADALAH ANUGERAH ALLAH 

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:84]) pada 24 Februari 2015. Antara isunya adalah doa nabi Ibrahim AS agar dikurniakan nama yang baik sehingga kiamat. 

Cantik sekali pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama, legasi, kenangan indah adalah antara “Karamah” yang Allah kurniakan kepada manusia pilihanNya. Bukan semua matinya dikenang, bukan semua legasinya kekal sehingga kiamat. Hakikatnya nama yang baik harus dipohon oleh semua, namun mohon tanpa usaha seumpama memohon kepada Allah agar diberikan kekayaan tapi kerjanya malas. Masakan kekayaan datang bergolek? Begitulah juga perihalnya “karamah nama yang baik.” Ia seiring dengan usaha “tuan punya nama”. Allah menyebut nabi Ibrahim AS memohon secara khusus agar namanya senantiasa baik dan wangi sehingga kiamat:

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآَخِرِينَ

Ertinya: "Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; (al-Syu’ara’ [26:84]).

Ternyata doa baginda ini dimakbulkan Allah dengan firmanNya: 

وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepada mereka (nabi Ibrahim, Ishaq, Ya’qub) dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia (Maryam [19:50]).

Juga firman Allah:

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآَخِرِينَ (108) سَلَامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ (109) كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (110) إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ (111)

Ertinya: Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman (al-Saffat[37:108-111]).

Nama nabi Ibrahim AS memang kekal wangi pada hati semua penganut agama utama dunia Islam, Yahudi dan Kristian. Tiada siapa di antara ketiga agama langit ini tergamak mencela Ibrahim AS. Bagi konteks Islam pula, keharuman nama baginda menjadi semerbak dengan penurunan al-Quran yang banyak memuji baginda dan penutupan risalah kerasulan dengan zuriat baginda sendiri iaitu Rasulullah SAW (Tafsir al-Razi). Bahkan selawat terbaik juga dinamakan Selawat Ibrahimiyyah (Selawat di akhir solat) kerana ia mengandungi pujian kepada baginda AS (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Mungkin ada sesetengah manusia yang mahu berala kadar dalam aspek rohani berkata: “Mereka itu para nabi, patutlah nama mereka harum mewangi sehingga kiamat. Kita jauh sekali mahu mencapai nama seperti mereka.”

Tanggapan ini salah kerena “karamah nama yang mewangi” mampu dicapai semua. Lihat sabda Rasulullah SAW ini: 

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Ertinya: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Sahih Muslim). 

Sedarkah kita bahawa ketiga perkara yang disebut Rasulullah SAW itu akan mewangi selepas kematian kita. Sering didengar pujian manusia 

“Masjid ini dibangunkan hasil waqaf si fulan, saya menjadi manusia berguna berkat didikan Tuan Guru saya, sejuk hati gemulah ibu bapa budak itu kerana memiliki anak yang soleh.” 

Ayuhlah kita bersama berusaha mewangikan nama kita dengan doa dan amal soleh. Mudah-mudahan selepas kematian kita umat Islam tetap mendapat manafaat dari legasi peninggalan kita sepertimana wanginya nama para sahabat, salafussoleh dan ulama sepanjang zaman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...