Tuesday, October 16, 2018

JARI PATAH, JAGAAN MALAIKAT, DOA DAN TAQDIR ALLAH!

JARI PATAH, JAGAAN MALAIKAT, DOA  DAN TAQDIR ALLAH!

Anak dara ambo, no 3 Adna Solehah yang belajar di Tingkatan 2 Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Sabak Bernam diberikan cuti 2 minggu berikutan "jari kelingking kanannya yang patah." Pagi semalam semasa latihan Taek Wan Do, dia cedera. Antara soalan ambo pada Adna semalam adalah:

"Pagi semalam awak ada baca doa pelindung harian?"

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Adna: "Tak! Adik lupa!"

Pengajaran: Doa sangat penting dalam kehidupan seharian untuk diri sendiri dan anak isteri. Saya tak pernah putus pagi petang doa keselamatan untuk mereka. Kadang kala, penjagaan malaikat serta doa kita pun TAK MAMPU MENGHALANG KEHENDAK ALLAH semenjak azali, firman Allah:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Ertinya: Bagi setiap seorang (manusia) ada malaikat penjaga yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah (al-Ra’d 13:11).

Soalnya..KALAU DIJAGA MALAIKAT..KENAPA MASIH CEDERA DAN SAKIT DITIMPA MUSIBAH?

Ini jawapannya:

Lafaz – يحفظونه من أمر الله – “MEREKA MENJAGA MANUSIA DENGAN ARAHAN ALLAH.” Hujung ayat ini menjelaskan para malaikat ini tidak boleh mengatasi kehendak Allah ke atas makhluk. Sebarang kehendak Allah pada takdir hamba pasti terlaksana dengan tuntas dan penuh hikmah:

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (51)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal"(al-Tawbah 9:51).

Kita perlu contohi keyakinan Sayyidina Ali bin Abi Talib RA dalam kerangka takdir Allah sebagaimana kisah ini:

 جاء رجل من مُرادٍ إلى عليّ رضي الله عنه وهو يصلي، فقال: احترس، فإنّ ناسًا من مراد يريدون قتلك! فقال: إنّ مع كل رجل ملكين يحفظانه مما لم يقدَّر، فإذا جاء القدَرُ خلَّيا بينه وبينه، وإن الأجل جُنَّةٌ حصينة

Seorang lelaki dari Murad datang kepada Ali RA ketika beliau sedang solat. Lelaki itu berkata: “Berhati-hatilah kerana sekumpulan lelaki dari Murad mahu membunuhmu!” Ali menjawab: “Bersama setiap lelaki ada 2 malaikat menjaganya daripada sebarang bahaya, selagi mana takdir itu tidak diatasi oleh takdir lain (yang dikehendaki Allah). Apabila taqdir Allah tiba, mereka (2 malaikat itu) membiarkan (taqdir) itu mengambil tempat. Sesungguhnya ajal itu adalah perisai yang kukuh (terikat pada taqdir) (Tafsir al-Tabari).

Semoga peristiwa ini memberi pengajaran dan iktibar untuk kita semua, lebih2 lagi ibu bapa agar sentiasa mendoakan kesejahteraan anak2 dan keluarga.

- Abdullah Bukhari @ 15 Oktober 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...