Tuesday, August 21, 2018

CABARAN HUFFAZ KONTEMPORARI

CABARAN HUFFAZ KONTEMPORARI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Anda semua manusia elit! Bukan semua orang mampu lakukan apa yang anda buat. Dalam ribuan rakyat Malaysia, hanya anda terpilih. Soalnya adakah anda bersyukur dengan status elit yang Allah berikan ini dan bagaimana cara syukur anda?”

Itu antara bicara pembuka yang saya lontar kepada para pelajar Darul Quran, JAKIM ketika berkongsi pengalaman orang tua dalam bidang Tahfiz al-Quran.

Pada 8 Ogos 2018 saya dijemput ke Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk berkongsi pengalaman dengan tajuk “Cabaran Huffaz Kontemporari.” Program ini antara pengisian sempena Ekspo Istiadat Konvokesyen Darul Quran, JAKIM kali ke 27.

Benar! Penghafaz al-Quran memiliki status elit sebagaimana sabda Nabi:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: “Allah punyai ramai manusia pilihan-Nya.” Para sahabat bertanya: “Siapa mereka itu?” Baginda jawab: “Mereka adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya). Mereka adalah manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

Sayyidina Umar RA turut mengiktiraf status elit golongan ini:

أَنَّ نَافِعَ بْنَ عَبْدِ الْحَارِثِ لَقِيَ عُمَرَ بِعُسْفَانَ وَكَانَ عُمَرُ يَسْتَعْمِلُهُ عَلَى مَكَّةَ فَقَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْتَ عَلَى أَهْلِ الْوَادِي فَقَالَ ابْنَ أَبْزَى قَالَ وَمَنْ ابْنُ أَبْزَى قَالَ مَوْلًى مِنْ مَوَالِينَا قَالَ فَاسْتَخْلَفْتَ عَلَيْهِمْ مَوْلًى قَالَ إِنَّهُ قَارِئٌ لِكِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِنَّهُ عَالِمٌ بِالْفَرَائِضِ قَالَ عُمَرُ أَمَا إِنَّ نَبِيَّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Ertinya: Pada suatu hari Nafi' bin Abd al-Harith bertemu dengan Khalifah 'Umar di 'Usfan. Ketika itu Nafi' dilantik sebagai wakilnya di Mekah. 'Umar bertanya kepada Nafi‘; "Siapa yang menggantimu di Mekah?" Jawab Nafi’, "Ibnu Abza." Tanya 'Umar; "Siapa Ibnu Abza?" Jawab Nafi', "Seorang bekas hamba kami." Tanya 'Umar, "Kamu harapkan seorang bekas hamba?" Jawab Nafi‘; “Dia seorang ahli mengenai Kitabullah dan alim tentang Ilmu Faraid (ilmu tentang pembagian pusaka)." Kata 'Umar, "Benar! Nabi SAW pernah bersabda, SESUNGGUHNYA ALLAH MEMULIAKAN SUATU KAUM DENGAN KITAB INI (AL QUR'AN), DAN MENGHINAKAN YANG LAIN.“ (Sahih Muslim).

Bunyi status elit tampak hebat, begitu juga dengan cabarannya. Sebagai abang tua yang sudah 24 tahun dengan al-Quran saya simpulkan empat cabaran para penghafaz al-Quran moden:

1) Pengurusan masa. Perkembangan teknologi moden menyebab banyak masa pelajar Tahfiz terbuang dengan benda remeh seperti ketagihan media sosial, gajet dan sebagainya. Kegagalan mengurus masa punyai kesan berantai yang lebih parah iaitu kurang masa mengulangkaji hafazan dan lupa al-Quran yang dihafaz. Ini sebabnya Allah menggandingkan perkataan “masa dan rugi” dalam surah “Masa” (al-‘Asr 103:1 & 2).

Saya cadangkan semua pelajar Tahfiz agar membaca buku hebat bertajuk “NILAI MASA DI SISI ULAMA' karya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (yang mengkisahkan kesungguhan para ulama menjaga masa) sebagai cara mengejutkan mereka daripada "lena buang masa yang panjang."

2) Menjaga akhlak ahli Quran. Akhlak adalah “pakaian jiwa wajib peraga” semua Muslim terutama sekali para penghafaz al-Quran. Penghafaz al-Quran wajib selalu harum dengan akhlak al-Quran. Jika mereka gagal menghias diri dengan akhlak al-Quran mana mungkin orang awam mampu tertarik dengan isi al-Quran? Dimensi akhlak juga perlu diperluas dalam segenap sudut kecil dan besarnya. Antara akhlak buruk “wajib-hindar” pelajar tahfiz adalah pengotor, suka buang sampah, tidak menepati masa dan malas menghayati isi al-Quran yang dihafaz. Bahkan generasi huffaz sahabat sangat mengutamakan aspek akhlak.

3) Pemikiran dan pengisian diri sebagai persiapan menghadapi masa hadapan serba mencabar. Pelajar Tahfiz perlu berfikiran terbuka dan sedia belajar benda baru kerana mereka memegang panji al-Quran. Pemegang panji al-Quran perlu miliki daya berfikir kelas pertama kerana mereka adalah arkitek ummah yang akan mencorak acuan umat Islam dengan roh al-Quran. Tanpa pemikir luar biasa dalam kalangan elit al-Quran, kitab suci ini hanya dilihat static sebagai kitab bacaan untuk pahala tadarus Ramadhan, bacaan rutin malam jumaat dan penghalau jin jembalang sahaja. Harapan melihat al-Quran menjadi pelonjak tamadun Islam juga boleh jadi kabur. Oleh itu, aspek pemikiran dan pengisian ilmu silang-bidang saya sifatkan nyawa utama generasi al-Quran.

4) Cabaran menjaga hafazan al-Quran supaya tidak lupa. Al-Quran yang dihafaz disifatkan baginda sebagai unta liar yang wajib ditambat. Tambatan itu adalah kiasan kepada usaha mengulangkaji berterusan seumur hidup:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya) manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Lupa al-Quran yang pernah dihafaz termasuk antara musibah agama yang wajib dihindari. Firman Allah:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sebarang kesusahan (atau bala bencana), maka ia berpunca daripada apa yang kamu lakukan (seperti perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa kamu (al-Syura  42:30).

Ketika menghuraikan ayat ini, seorang Tabi’in bernama al-Dhahhak berkata:

وأي مصيبة أعظم من نسيان القرآن.
Ertinya: “MUSIBAH APA LAGI YANG PALING BESAR BERBANDING LUPA AL-QURAN (yang pernah dihafaz)?” (Tafsir Ibn Kathir).

Pendek kata masalah ini berpunca daripada sikap pelajar Tahfiz yang tiada disiplin, malas dan suka membuang masa.

Penulis berpendapat langkah bijak perlu diambil pada tahap individu, organisasi Tahfiz dan kerajaan bagi menangani 4 cabaran tersebut supaya kita benar-benar memenuhi status elit kurniaan Allah. Menutup rencana kali ini saya utarakan satu firman Allah yang sangat kena dengan status pelajar Tahfiz. Semoga semua pelajar tahfiz di Malaysia kekal elit dalam kumpulan ketiga firman Allah ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami wariskan Al-Quran itu kepada orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (tidak mengendahkan Al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan ada juga yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (Fatir 35:32).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...