Wednesday, April 4, 2018

USAH LAMA SANGAT TENGGELAM DALAM SEDAP...

USAH LAMA SANGAT TENGGELAM DALAM SEDAP...

Hidup senang dalam sedap serta mewah tak salah, namun begitu, firman Allah ini sering menggentarkan para sahabat agar tidak terus sedap dan lazat:

 وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي الأرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنْتُمْ تَفْسُقُونَ

Ertinya: Dan (ingatlah), semasa orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik"  (al-Ahqaf [46:20]).

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari membawa 2 kisah Sayyidina Umar al-Khattab RA:

 ذُكر أن عمر بن الخطاب كان يقول: لو شئت كنت أطيبكم طعاما، وألينكم لباسا، ولكني أستبقي طيباتي

Umar pernah berkata: "Kalau aku mahu, boleh sahaja aku jadi orang yang paling sedap makananku dan orang yang paling indah pakaianku. Akan tetapi aku (tidak berbuat demikian) kerana aku simpan segala kesedapanku (untuk kecapinya di akhirat kelak). 


وذُكر لنا أنه لما قدم الشام، صنع له طعام لم ير قبله مثله، قال: هذا لنا، فما لفقراء المسلمين الذين ماتوا وهم لا يشبعون من خبز الشعير؟ قال خالد بن الوليد: لهم الجنة، فاغرورقت عينا عمر، وقال: لئن كان حظنا في الحطام، وذهبوا بالجنة، لقد باينونا بونا بعيدا.

Apabila 'Umar tiba di Syam, orang menyediakan makanan yang lazat serta tak pernah dilihatnya sebelum ini. Lantaran itu 'Umar berkata: "Makanan ini untuk kami, bagaimana pula nasib orang Islam yang faqir yang mati tanpa sempat kenyang pun makan roti daripada gandum." Khalid bin al-Walid menjawab: "Bagi mereka syurga!" Mata Umar berkaca dan bergenang dengan air mata. Beliau pun berkata: "JIka bahagian kami diperolehi pada (dunia) yang berbaki (lagi tak kekal) sedangkan mereka berlalu pergi bersama ni'mat syurga, maka mereka sungguh jauh meninggalkan kita (dalam erti keuntungan yang sebenar) (Tafsir al-Tabari).

- Bersedap tidak salah asal sahaja ia halal dan tidak menyanggah kehendak Allah. Cuma terlalu mengejar HANYA YANG SEDAP akan memberikan impak negatif kepada jiwa. Sekali hilang sedap, jiwa terus meronta. Ini antara sebab kenapa kita diwajibkan Puasa sebulan Ramadhan sebagai latihan jiwa untuk RASA SESUATU YANG TIDAK SEDAP...

- Abdullah Bukhari @ 4 April 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...