Sunday, April 22, 2018

JANGAN LUPA ALLAH DI DUNIA, BIMBANG NANTI KITA DILUPAKAN DI AKHIRAT

JANGAN LUPA ALLAH DI DUNIA, BIMBANG NANTI KITA DILUPAKAN DI AKHIRAT

Di dunia ini, antara manusia yang paling malang adalah orang yang dipenjara dan dilupakan kewujudannya. Entah hidup entah mati, apa makannya, apa minumnya, apa nasibnya? Kalau mati entah di mana kuburnya. Rupanya keadaan yang sama turut berlaku di akhirat, semoga Allah jauhkan kita daripada musibah ini, firman Allah:

 وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنْسَاكُمْ كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ

Ertinya: Dan dikatakan (kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan  (al-Jathiyah [45:34]).

Ketika mentafsirkan ayat ini, sebuah hadith dibawa bicara oleh para ulama'. Sabda Rasulullah SAW:

 فَيَلْقَى الْعَبْدَ فَيَقُولُ أَيْ فُلْ أَلَمْ أُكْرِمْكَ وَأُسَوِّدْكَ وَأُزَوِّجْكَ وَأُسَخِّرْ لَكَ الْخَيْلَ وَالْإِبِلَ وَأَذَرْكَ تَرْأَسُ وَتَرْبَعُ فَيَقُولُ بَلَى قَالَ فَيَقُولُ أَفَظَنَنْتَ أَنَّكَ مُلَاقِيَّ فَيَقُولُ لَا فَيَقُولُ فَإِنِّي أَنْسَاكَ كَمَا نَسِيتَنِي

Ertinya: (Pada hari kiamat) seorang hamba dicampak menghadap Allah, lalu Allah berkata kepadanya, "Wahai si fulan! Bukankah dahulu (semasa di dunia) Aku muliakan kamu, Aku jadikan kamu ketua, Aku kahwinkan kamu (dengan pasanganmu), Aku tundukkan untukmu kuda dan unta? (kiasan kepada berbagai jenis kenderaan). Aku juga biarkan kamu menjadi ketua (menjadi pemimpin) dan mendapat untung sebanyak 1/4 harta" (hadith ini menyebut kebiasaan raja pada zaman jahiliah mudah mendapat 1/4 harta rampasan perang atau harta rakyat kerana jawatan raja yang mereka warisi, walaupun mereka tidak berkerja). Lalu si hamba menjawab: "Ya!" Allah berkata lagi: "Maka adakah kamu ingat kamu akan menemui-Ku (untuk audit pada hari kiamat)?" Si hamba menjawab: "Tidak!" Allah menegaskan: "MAKA (PADA HARI INI - KIAMAT) AKU LUPAKAN (TIDAK HIRAUKAN) KAMU SEBAGAIMANA KAMU DAHULU LUPAKAN (TIDAK HIRAUKAN) AKU!" (Sahih Muslim).

Sentiasalah ingatkan Allah semasa di dunia ini kerana KITA PASTI TAK AKAN SELAMAT DI AKHIRAT JIKA ALLAH LUPAKAN KITA DI SANA...

- Abdullah Bukhari @ 20 April 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...