Monday, March 12, 2018

WAHAI PEMIMPIN CEMARILAH DULIMU SECARA BENAR SEPERTI RASULULLAH SAW

WAHAI PEMIMPIN CEMARILAH DULIMU SECARA BENAR SEPERTI RASULULLAH SAW 

Ada sesetengah pemimpin yang pandai berlakon. Ketika lensa kamera wartawan difokuskan kepada mereka, tangan mereka segera memegang cangkul atau membelai kepala anak-anak kecil di hadapan mereka. Senyuman mereka juga ditarik panjang meleret sampai telinga. Setelah “mata dunia” beralih daripada mereka, bayang mereka hilang tanpa jejak. Bagi pemimpin sebegini, sokongan rakyat hanya batu loncatan untuk mereka sampai ke atas.. Lain benar dengan sifat Rasulullah SAW sebagai pemimpin sejati yang tiada lakonan murah meraih sokongan depan lensa kamera. Perhatikan hadith berikut sebagai perbandingan:

عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَهُوَ يَنْقُلُ التُّرَابَ حَتَّى وَارَى التُّرَابُ شَعَرَ صَدْرِهِ وَكَانَ رَجُلًا كَثِيرَ الشَّعَرِ

Ertinya: al-Bara’ RA berkata, Aku lihat nabi SAW pada hari penggalian parit (untuk menghadapi musuh dalam perang Khandaq) bersama-sama memindahkan tanah sehingga tanah itu mendebukan bulu dada baginda. Baginda adalah seorang lelaki yang punyai banyak bulu (Sahih al-Bukhari).

Dalam perang Badar, jumlah kuda yang dimiliki umat Islam cuma 2 ekor iaitu milik al-Zubayr bin al-‘Awwam dan al-Miqdad bin al-Aswad. Unta pula cuma 70 ekor yang ditunggang secara berganti-ganti oleh para tentera muslimin. Sikap bertimbang rasa Rasulullah SAW ketika bergantian menunggang unta ini dilaporkan oleh Abdullah ibn Mas’ud:

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ زَمِيلَهُ يَوْمَ بَدْرٍ عَلِيٌّ وَأَبُو لُبَابَةَ فَإِذَا حَانَتْ عُقْبَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَا ارْكَبْ يَا رَسُولَ اللَّهِ حَتَّى نَمْشِيَ عَنْكَ فَيَقُولُ مَا أَنْتُمَا بِأَقْوَى مِنِّي وَلَا أَنَا بِأَغْنَى عَنْ الْأَجْرِ مِنْكُمَا

Ertinya:  Abdullah bin Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bergilir menunggang unta bersama Abu Lubabah dan Ali bin Abi Talib dalam perang Badar. Apabila habis giliran baginda menunggang unta, kedua sahabat itu berkata: “Tungganglah lagi wahai Rasulullah, biar kami berjalan.” Baginda menjawab: “Kamu berdua tidak lebih kuat pun berbanding aku (kamu berdua juga perlu rehat), dan aku juga sangat berhajat kepada pahala seperti kamu berdua (Musnad Ahmad).

Semoga 2 kisah Rasulullah SAW ini mampu menjadi “kayu ukur” atau “penanda aras” pemilihan pemimpin untuk kita semua…bila? Sepanjang masa dan bukannya hanya ketika pilihanraya.

- Abdullah Bukhari @ 8 Mac 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...