Friday, March 30, 2018

UNTUNGNYA "SIAK TAK BERGAJI" YANG DILIHAT RASULULLAH SAW ITU....

UNTUNGNYA "SIAK TAK BERGAJI" YANG DILIHAT RASULULLAH SAW ITU....

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوْ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَ فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ أَوْ قَالَ قَبْرِهَا فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Dari Abu Hurayrah: Ada seorang lelaki atau wanita berkulit hitam yang biasa mengutip (sampah atau membersihkan) masjid Nabawi. Beliau telah meninggal dunia, lalu Rasulullah SAW bertanya perihal kehilangannya. Para sahabat memberitahu tentang kematiannya. Baginda lalu berkata: “MENGAPAKAH KAMU TIDAK MEMBERITAHUKU? TUNJUKKAN PADAKU KUBURNYA.” Baginda SAW lalu menziarahi kuburnya dan bersolat (jenazah ghaib) padanya (Sahih al-Bukhari).

Perhatian Rasulullah SAW kepada siak tak bergaji Masjid Nabawi ini jelas menunjukkan kemuliaannya walaupun dia mungkin tidak dipandang orang lain. Doa dalam solat jenazah untuknya jauh lebih mahal berbanding darjat, pangkat atau kemuliaan kurniaan manusia. Bahkan doa baginda itulah yang jadi rebutan semua sahabat sebagaimana firman Allah:

 خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); DAN DOAKANLAH UNTUK MEREKA, KERANA SESUNGGUHNYA DOAMU ITU MENJADI KETENTERAMAN BAGI MEREKA. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui  (al-Tawbah [9:103]).

-  Orang berjawatan rendah biasanya tidak penting pada mata manusia biasa. Wujud mereka tidak dirai, pergi tidak ditangisi.... Berbeza sungguh dengan Rasulullah SAW, semuanya dipandang baginda. Semoga hadith ini menjadi  "PEMBUKA MATA HATI" kita untuk melihat seluruh dunia dan bukan hanya berpusat pada diri kita sahaja... hargailah semua orang...

- Abdullah Bukhari @ 30 Mac 2018, 12:53 malam -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...