Sunday, March 11, 2018

JANGAN SAMPAI LEMAS DALAM UJIAN KESENANGAN

JANGAN SAMPAI LEMAS DALAM UJIAN KESENANGAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Sabar ye! Pasti ada hikmah Allah di sebalik ujian kesenangan, ketampanan, nama baik dan harta awak yang bertimbun ini. Saya percaya, jika awak mampu sabar atas ujian ini, Allah akan gantikan awak dengan ganjaran yang sangat besar.”

Pelik benar jika kita dengar ada orang yang ikhlas menasihati temannya yang tenggelam dalam ni’mat kesenangan seperti dialog di atas. Si kaya, si tampan atau orang yang berpangkat pasti tersentak melopong setelah mendengar nasihat penuh belas kasihan daripada temannya itu. Kelihatan dialog di atas mustahil berlaku kerana konotasi “ujian” hanya sinonim dengan situasi susah atau kehidupan yang payah. Itu tenungan mata zahir kita, apa pula kata al-Quran? Firman Allah:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Ertinya: Setiap diri akan merasai mati, dan KAMI UJI KAMU DENGAN KESUSAHAN DAN KESENANGAN SEBAGAI CUBAAN; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan (al-Anbiya’[21:35]).

Manusia sentiasa diuji Allah sepanjang hidup mereka. Kadangkala ujian datang dengan kesusahan dan kadangkala dengan kesenangan. Dengan semua ujian itu, Allah mahu melihat siapa yang syukur, kufur atau tahu mengatur tutur. Tutur syukur pada lidah pula wajib seiring dengan jiwa yang luhur kerana ada manusia yang nampak pada zahirnya seperti syukur tapi jiwanya penuh kufur.

Walaupun pelik dan janggal, sebenarnya ujian kesenangan jauh lebih sukar dihadapi berbanding ujian kesusahan. Buktinya, ketika manusia ditimpa susah, lidah mereka senang mengenang Allah. Rumah Allah kerap dikunjungi bagi mengadu nasib diri. Kain sejadah menjadi teman harian kerana sangat mengharapkan belas kasihan Tuhan. 

Ketika diri bermandi senang, harta bertimbun menjadi tempat berenang, jasa Tuhan langsung hilang. Segala kesenangan bukan daripada kurniaan Tuhan tetapi kerana diri yang gigih berjuang, mencari harta malam dan siang. Ini disebut Allah dalam kisah Qarun hartawan yang malang:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِنْ قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَنْ ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Ertinya: Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia tahu bahawa Allah telah binasakan sebelumnya, umat yang telah lalu, orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya) (al-Qasas [28:78]).

Dalam firman lain Allah menyedarkan kita dengan mata fikir manusia yang singkat:

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (15) وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (16)

Ertinya: (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghina daku!" (al-Fajr [89:15-16]).

Oleh itu, setelah tahu hakikat ujian yang sebenar mata hati kita perlu celik dan terang! Contohilah nabi Sulayman AS yang tahu mengatur syukur ketika dimandikan ni’mat oleh Allah.  Hayati dan amalkan doa baginda ini agar kita tidak terbabas daripada landasan iman yang sebenar:

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan dia berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-Mu yang soleh" (al-Naml [27:19]).

Jika ujian susah memeritkan jiwa dan memenatkan jasad, bersyukurlah kerana kita lebih senang melihat pantulan kuasa Tuhan di sebalik ujian tersebut. Sebaliknya jika kita bermandi dalam ujian senang kita akan mudah hanyut atau lemas tanpa sedar. Oleh itu, bukalah mata hati anda sepanjang masa dan sentiasalah berpaut pada tali agama agar ujian senang yang diberikan Allah tidak bertukar menjadi musibah agama yang akan menyebabkan kita karam dalam lautan api di akhirat kelak. Mohon dijauhkan Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...