Tuesday, February 6, 2018

SAHABAT NABI YANG TIDAK DIMAMAH USIA

SAHABAT NABI YANG TIDAK DIMAMAH USIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Antara bukti kerasulan baginda SAW adalah doanya yang makbul untuk seorang sahabat:

حَدَّثَنَا عِلْبَاءُ بْنُ أَحْمَرَ حَدَّثَنَا أَبُو زَيْدٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْنُ مِنِّي قَالَ فَمَسَحَ بِيَدِهِ عَلَى رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ قَالَ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ جَمِّلْهُ وَأَدِمْ جَمَالَهُ قَالَ فَلَقَدْ بَلَغَ بِضْعًا وَمِائَةَ سَنَةٍ وَمَا فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ بَيَاضٌ إِلَّا نَبْذٌ يَسِيرٌ وَلَقَدْ كَانَ مُنْبَسِطَ الْوَجْهِ وَلَمْ يَنْقَبِضْ وَجْهُهُ حَتَّى مَاتَ

Ertinya: ‘Ilba’ bin Ahmar memberitahu bahawa Abu Zayd al-Ansari berkata pada suatu hari Rasulullah SAW memanggilku; “Datang dekat padaku (Wahai Abu Zayd).” Baginda kemudiannya menyapu kepala dan janggutku dengan tangannya seraya berdoa; “Ya Allah! Cantikkan dia dan kekalkan kecantikannya.!” Perawi hadith ini kemudiannya berkata “Abu Zayd mencapai usia seratus tahun lebih tetapi tiada uban pada rambut dan kepalanya kecuali sedikit sahaja. Wajahnya juga kekal berseri dan tidak berkedut sehingga mati (Musnad Ahmad).

Dalam hadith lain pula disebut punca doa baginda itu kepada beliau:

حَدَّثَنِي أَبُو نَهِيكٍ حَدَّثَنِي أَبُو زَيْدٍ عَمْرُو بْنُ أَخْطَبَ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ اسْتَسْقَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً فَأَتَيْتُهُ بِقَدَحٍ فِيهِ مَاءٌ فَكَانَتْ فِيهِ شَعَرَةٌ فَأَخَذْتُهَا فَقَالَ اللَّهُمَّ جَمِّلْهُ قَالَ فَرَأَيْتُهُ وَهُوَ ابْنُ أَرْبَعٍ وَتِسْعِينَ لَيْسَ فِي لِحْيَتِهِ شَعَرَةٌ بَيْضَاءُ

Ertinya: Abu Nahik memberitahu Abu Zayd ‘Amru bin Akhtab al-Ansari berkata, pada suatu hari Rasulullah SAW meminta air. Aku membawanya satu bekas yang berisi air. (Aku dapati) dalam bekas itu ada seurat rambut lalu aku mencabutnya keluar. Berikutan itu Rasulullah berdoa; “Ya Allah! Cantikkan dia!” Perawi hadith ini berkata: “Aku melihatnya (Abu Zayd) ketika berusia 94 tahun dan tiada seurat pun rambut putih pada janggutnya (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Khidmat Abu Zayd RA mencabut rambut daripada ditelan Rasulullah SAW itu mengundang doa baginda yang sangat berkat.

Duhai Rasulullah SAW! Aku sudah jauh daripadamu. Aku tiada peluang berkhidmat kepadamu sebagaimana khidmat bakti para sahabat. Sudilah kiranya engkau menerima khidmatku memperkenal manusia zaman ini dengan Sunnahmu dalam batasan ilmuku yang sedikit ini. Mudah-mudahan khidmat yang sedikit ini memercikkan padaku sedikit air kolam al-Kawthar milikmu di akhirat kelak!

اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا ومولانا محمد....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...