Wednesday, February 21, 2018

FENOMENA JUAL AGAMA PADA AHLI KITAB SILAM DAN UMAT ISLAM MODEN

FENOMENA JUAL AGAMA PADA AHLI KITAB SILAM DAN UMAT ISLAM MODEN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:169]) pada 14 Februari 2016. Antara isunya adalah celaan Allah kepada segelintir pewaris ilmu dalam kalangan Ahli Kitab dan umat Islam.

Ketika manusia yang kosong jiwanya mencari agama, muncul pula segelintir “ifrit bertubuh manusia” memperkudakan agama untuk kepentingan mereka. Fenomena “tunggang agama” bukanlah perkara baru yang hanya berlaku kepada umat Islam, tetapi sudah lama berlaku semenjak zaman nabi Musa lagi. Firman Allah:

وَقَطَّعْنَاهُمْ فِي الْأَرْضِ أُمَمًا مِنْهُمُ الصَّالِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَلِكَ وَبَلَوْنَاهُمْ بِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (168) فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُوا الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَذَا الْأَدْنَى وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِنْ يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مِثْلُهُ يَأْخُذُوهُ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِمْ مِيثَاقُ الْكِتَابِ أَنْ لَا يَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ وَدَرَسُوا مَا فِيهِ وَالدَّارُ الْآَخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (169)

Ertinya: Dan Kami pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di serata) dunia ini. Antara mereka ada yang soleh dan ada juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: "AKAN DIAMPUNKAN KELAK DOSA KAMI" PADAHAL JIKA DATANG KEPADA MEREKA KEBENDAAN YANG HINA SEPERTI ITU MEREKA AKAN MENGAMBILNYA LAGI. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti? (al-A’raf[7:168-169]).

Agama ditunggang mereka sesuka hati. Hukum Allah diubah sesuai dengan kepentingan diri sendiri. Mereka turut menerima rasuah atas fatwa yang dikeluarkan (Tafsir Ibn Kathir). Sungguh berani mereka memperbudakkan Allah dengan tanggapan dosa mereka pasti diampunkan Allah walaupun dosa itu dilakukan berulang kali. Sikap ini bercanggah dengan maksud taubat yang memerlukan penyesalan yang benar setulus hati. Dalam ayat lain Allah menegaskan perkara yang sama:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (34)

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak sekali para pendita dan ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Tawbah[9:34]).

Taubat para ilmuwan yang kedok menunggang agama seperti mereka tidak akan diampunkan Allah selagi penyelewengan mereka tidak diperbaiki. Baiki bermaksud menerangkan yang benar dan mengaku yang salah. Ilmuwan yang benar taubatnya akan membuang ego demi harga sebuah taubat. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ (159) إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (160

Ertinya: Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) SERTA MENERANGKAN (APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN); maka orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani (al-Baqarah[2:159-160]).

Kisah dari ayat di atas bukan sekadar celaan kepada umat lampau tetapi turut menjadi teguran dan peringatan kepada umat Islam.

“Air molukel ajaib 30 juzuk, jus jampian ustaz selebet-riti, kurma nabi yang sudah khatam Sahih Bukhari, air malam jumaat celupan sarang anai-anai yang makan 22 juzuk al-Quran, air lunturan tulisan ayat al-Quran pada pinggan putih dan sebagainya.” Banyak sekali produk ajaib berasas agama yang sedang dan pernah menggemparkan Malaysia. Kalau perniagaan semakin suram, maka produk agama perlu diketengahkan kerana ia seumpama magnet yang mampu menarik minat para pembeli. Tambahan pula mentaliti sesetengah orang jahil memang sukakan produk segera dan cepat. Lagi cepat lagi bagus. “Cepat KAYAP, cepat PUTIH, cepat KURUS, cepat PANDAI, cepat BIJAK, cepat SYURGA dan cepat MATI.”

Bukanlah saya menafikan al-Quran sebagai mukjizat yang mampu menyembuhkan penyakit fizikal, tetapi teguran ini bermaksud menghalang eksploitasi al-Quran yang melampau. Al-Quran mampu memberi kesan penyembuhan fizikal, tetapi ia berkait rapat dengan keyakinan dan iman si pembacanya. Kesan penyembuhan pasti berbeza jika mahu dibandingkan antara bacaan sahabat Rasulullah SAW seperti Sa’ad bin Abi Waqqas dengan bacaan Abdullah Bukhari yang jahil. Renungkan riwayat ini:

أن رجلا مصابًا مرَّ به عبد الله بن مسعود، فقرأ في أذنه هذه الآية: { أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ * فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ } ، حتى ختم السورة فَبَرَأ، [فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم] (5) ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "بماذا قرأت في أذنه؟" فأخبره، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "والذي نفسي بيده، لو أن رجلا مُوقنا قرأها على جَبَل لزال".

Ertinya: Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud bertemu dengan seorang lelaki yang ditimpa penyakit. Beliau membacakan pada telinganya ayat (al-Mu’minun[23:115-118]) dan lelaki tersebut sembuh dari sakitnya. Beliau kemudiannya menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda bertanya: Ayat apakah yang engkau bacakan pada telinganya?................................ Rasulullah SAW lalu bersabda: Demi yang jiwaku berada pada tangan (kuasa)Nya, sekiranya seorang lelaki yang yaqin (dengan mukjizat al-Quran) membacanya (walaupun) kepada bukit sekalipun, sudah pasti bukit tersebut akan hilang (hancur) (Tafsir Ibn Kathir).

Bacaan Ruqyah yang dibuat oleh seorang “soleh yang ikhlas” pastinya berbeza dengan bacaan sebuah “radio yang tidak berjiwa.” Jika pengusaha produk ajaib 30 juzuk mentahfizkan produknya dengan bacaan dari sebuah radio, adakah ia seiring dengan kisah Abdullah bin Mas’ud di atas?

Penggunaan agama seperti ini perlu segera ditangani agar keindahan Islam tidak dicemari oleh kapitalis agama yang mewarisi genetik umat lampau. Produk para ilmuwan Islam silam seperti Ibn Sina, Ibn al-Nafis, al-Khawarizmi dan sebagainya adalah “PRODUK ILMU dan BUKANNYA PRODUK JAMPI.”  Fikir dan renungkanlah bersama.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...