Thursday, December 14, 2017

TUTUP MATA SEBELUM TIBA KE TEMPAT MENGHAFAZ AL-QURAN

TUTUP MATA SEBELUM TIBA KE TEMPAT MENGHAFAZ AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Allah adalah Pemilik al-Quran yang menjamin “SENDIRI” penjagaannya. Berbeza sifatnya dengan kitab terdahulu seperti Tawrat, Zabur dan Injil. Penjagaannya diamanahkan kepada manusia sebagaimana firman Allah:

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ…..

Ertinya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para penditanya (menjalankan hukum Allah), “SEBAB MEREKA DIAMANAHKAN MEMELIHARA DAN MENJALANKAN HUKUM DARI KITAB ALLAH (TAURAT) ITU, DAN MEREKA PULA MENJADI PENJAGA DAN PENGAWASNYA (DARI SEBARANG PERUBAHAN) …… (al-Ma’idah [5:44]).

Ternyata penjagaan kitab lampau yang diserahkan kepada makhluk gagal menjamin kesuciannya. Banyak sekali isi kandungannya dirosak, dikurang dan ditambah oleh tangan manusia. Inilah sebabnya mengapa Allah sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran sebagaimana firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Ertinya: “SESUNGGUHNYA KAMILAH” yang menurunkan Al-Quran, dan “SESUNGGUHNYA KAMILAH JUA YANG MENJAMIN UNTUK MENJAGANYA” (dari sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya) (al-Hijr[15:9]).

Ayat ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan faham aspek sastera dan tata bahasa yang digunakan Allah dalam ayat ini mengandungi maksud pengukuhan berganda (TAWKID). Walaupun ringkas, ayat ini menegaskan secara tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Tawrat, Zabur dan Injil hanya kekal hanya nama dan tidak pada isinya. Banyak sekali cara Allah mengekalkan nama dan isi al-Quran seperti pengekalan teks Arabnya, wujudnya ramai ulama yang mengkaji al-Quran sepanjang zaman dan wujudnya umat Islam yang menghafaz al-Quran secara berterusan.

Ketika meneliti kisah para penghafaz al-Quran, saya terjumpa sebuah kisah ajaib "yang wajib" saya kongsi dengan anda sekelian. Kisah ini diceritakan oleh Dr. Sa’id Harib, iaitu Naib Presiden, Persatuan Tahfiz al-Quran Dubai.

Beliau pernah bertanya kepada seorang remaja muda berusia 12 tahun yang memenangi pertandingan menghafaz al-Quran di Dubai suatu masa dahulu. Remaja itu berasal dari sebuah negeri dalam bekas negara Kesatuan Soviet Union.  Ramai yang kagum dengan kefasihan bacaan serta kekuatan hafazan al-Quran remaja tersebut. Semua bertanya bagaimana dia menghafaz dan siapa yang bertanggungjawab mendidiknya sehingga mendapat kualiti bacaan sedemikian. Lalu ini kisahnya:

Remaja itu dididik sendiri oleh bapanya. Bapanya pula diasuh menghafaz al-Quran oleh datuknya. Ramai terpegun kerana kemampuan datuknya mendidik bapanya menghafaz al-Quran dalam kekangan pemerintahan Komunis yang sangat anti dengan sebarang kegiatan agama.

Ketika ayahnya masih kecil, si Datuk biasa membawa ayahnya keluar bandar dengan menaiki keldai. Setelah sampai di sebuah tempat, si Datuk akan menutup mata ayahnya dengan kain. Perjalanan mereka diteruskan sehingga mereka sampai ke sebuah gua yang luas lalu barulah penutup mata ayahnya dibuka. Di tempat rahsia itulah ayahnya dilatih menghafaz al-Quran oleh Datuknya. Setelah selesai menghafaz untuk hari itu, si Datuk menutup kembali mata ayahnya dan pulang ke rumah.

Orang yang mendengar berasa pelik, mengapa perlu ditutup mata ayahnya? Jawapan remaja itu sangat mengejutkan!

“Kami tinggal di negara Komunis yang sangat anti dengan sebarang kegiatan agama. Jika ayahku ditangkap dan diseksa supaya mendedahkan lokasi rahsia itu, pasti dia tak mampu mendedahkan lokasi tersebut kerana dia tidak pernah melihat laluan ke lokasi itu. Dengan cara itu lokasi untuk orang tempatan mendidik anak-anak mereka menghafaz al-Quran pasti selamat.”

Subhanallah! Terpegun saya membaca kisah ini. Ia patut jadi muhasabah kepada kita semua betapa al-Quran adalah ni’mat yang wajib disyukuri. Malang sungguh jika kita yang hidup dalam aman sentosa tanpa ancaman boleh mengabaikan al-Quran yang kemas tersusun di almari rumah. Ya Allah! Berikan kami rasa cinta untuk berdamping dengan al-Quran.

Kisah itu boleh dibaca di sini:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=229645

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...