Saturday, December 9, 2017

SILAP WAQAF BOLEH UBAH MAKNA AYAT?

SILAP WAQAF BOLEH UBAH MAKNA AYAT?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Jangan pandang enteng cara waqaf atau berhenti ketika membaca al-Quran. Ia boleh mengubah makna sehingga merendahkan keagungan Allah.”

Insya-Allah petang ini (9 December 2017), saya akan berkongsi tajuk kepentingan Tajwid dalam pembacaan al-Quran dalam Seminar Tajwid dan Makhraj huruf al-Quran anjuran NGO kami, MURSHID untuk anak remaja berusia 15 – 18 tahun.

https://www.facebook.com/murshidmy/photos/a.166643896804626.38277.166640726804943/1113731555429184/?type=3&theater

Apabila menyentuh aspek Tajwid ia merangkumi banyak aspek seperti Fasahah (kefasihan bacaan), Ghunnat (dengung), Mudud (panjang pendek) dan Tafkhim serta Tarqiq (Tebal dan nipis bacaan). Antara aspek penting dalam bacaan al-Quran adalah Waqaf dan Ibtida’ (Berhenti dan permulaan bacaan al-Quran).

Sayyidina Ali RA pernah disoal apa yang Allah maksudkan dengan bacaan al-Quran secara Tartil dalam ayat berikut:

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآَنَ تَرْتِيلًا 

Ertinya: Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya (beribadat pada waktu malam); dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"  (al-Muzzammil[73:4]).

Beliau menjawab:
تجويد الحروف ومعرفة الوقف

Ertinya: Memperelokkan sebutan huruf dan mengenali tempat berhenti (al-Itqan Fi ‘Ilum al-Quran [Jenis ke 28-Bab Ma’rifat al-Waqf Wa al-Ibtida’])

Berikut beberapa contoh kesilapan waqaf (berhenti dalam bacaan) yang akan merosakkan makna al-Quran;

1) Ibu Maryam AS melahirkan Allah?

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَى وَاللَّهُ  * أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَى

Ertinya: Maka apabila dia melahirkannya, dia berkata: "WAHAI TUHANKU! SESUNGGUHNYA AKU TELAH MELAHIRKAN SEORANG ANAK PEREMPUAN (SEDANG YANG AKU HARAP-HARAPKAN IALAH ANAK LELAKI), - DAN ALLAH * memang tahu akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku lindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)“ (Ali ‘Imran[3:36])

2) Orang zalim turut mendapat rahmat Allah?

يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ* أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Ertinya: DIA (ALLAH) MEMASUKKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA (MENURUT ATURAN YANG DITETAPKAN) KE DALAM RAHMAT-NYA (DENGAN DITEMPATKANNYA DI DALAM SYURGA); DAN ORANG YANG ZALIM*, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya(al-Insan [76:31]).

3) Allah turut TERCENGANG bersama Namrudh?

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ *  لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Dia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" MAKA TERCENGANGLAH ORANG YANG KAFIR ITU (LALU DIAM MEMBISU). DAN (INGATLAH), ALLAH * tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim (al-Baqarah [2:258]).

Itu antara beberapa contoh kritikal yang kita dapati akibat daripada silap berhenti pada ayat al-Quran. Oleh itu, kita wajib belajar membaca al-Quran demi mengelakkan kesilapan sebegini. Semoga Allah selamatkan kita semua dengan KELEBIHAN MENUNTUT ILMU!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...