Thursday, December 28, 2017

JANGAN DICERAI TANGKAI RAMBUTAN ITU!

JANGAN DICERAI TANGKAI RAMBUTAN ITU!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Indah sekali pengalaman memetik dan mematahkan tangkai rambutan di rumah ayah angkat saya petang tadi (26 Disember 2017). Semenjak meninggalkan kampong halaman tahun 1993 dan berhijrah ke Selangor, jarang sekali pengalaman sebegitu dirasai. Halaman rumah keluarga angkat saya di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur agak luas. Halamannya ditambah indah dengan sebatang pokok rambutan gading berwarna hijau muda yang sangat rendang. Rasanya pun sangat manis sesuai dengan kuasa Allah yang merencahkan rasanya:

وَفِي الْأَرْضِ قِطَعٌ مُتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَى بِمَاءٍ وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ فِي الْأُكُلِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Ertinya: Dan di bumi ada beberapa keping tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun anggur, berbagai-bagai jenis tanaman serta pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda kekuasaan Allah bagi orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya (al-Ra’d [13:4]).

Dalam petua orang tua-tua, menyimpan buah rambutan dengan dahan lebih elok kerana ia lebih menjamin ketahanan buah rambutan berbanding petikan secara bercerai. Ketika mematahkan dahan tersebut, saya berkongsi satu ayat daripada surah Yusuf yang menyokong petua orang tua kita. Firman Allah:

يُوسُفُ أَيُّهَا الصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِي سَبْعِ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنْبُلَاتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ لَعَلِّي أَرْجِعُ إِلَى النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ (46) قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ (47) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ (48) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ (49)

Ertinya: (Setelah berjumpa dengan Yusuf yang masih dalam penjara, pemerah anggur raja Mesir berkata): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (perihal raja Mesir yang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya". Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu bercucuk tanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut, KEMUDIAN APA YANG KAMU KETAM BIARKANLAH IA PADA TANGKAINYA; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan makanan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)"(Yusuf[12:46-49]).

Ternyata kisah mimpi raja Mesir serta tafsiran luar biasa nabi Yusuf itu menjadi sebab pembebasan baginda. Bagi orang yang mengkaji kitaran ekonomi, ayat ini secara tidak langsung menyatakan kitaran naik turun ekonomi yang biasanya berlaku dalam lingkungan 7 tahun. 

Tafsiran nabi Yusuf AS yang mengarahkan agar biji gandum dibiarkan pada tangkainya selama 7 tahun ini mengingatkan saya kisah seorang pensyarah Bahasa Arab dari Jordan yang memeluk Islam kerana ayat ini. Beliau adalah pensyarah Bahasa Arab yang beragama Kristian. Setelah membaca ayat tersebut, dia terpanggil untuk membuktikan kebenaran firman Allah yang menyatakan bahawa “BIJI GANDUM YANG TIDAK DIPISAHKAN DARIPADA TANGKAINYA MAMPU BERTAHAN SELAMA TUJUH TAHUN.”

Selepas isterinya melahirkan anak, dia memotong tangkai gandum lalu menggantungnya dalam rumah mereka tanpa diceraikan bijinya. Setelah anaknya berusia 7 tahun, dia mengambil tangkai gandum tersebut dan terkejut kerana ia masih elok dan  boleh dimakan. Berikutan peristiwa itu, dia memeluk agama Islam. Kisah ini diceritakan oleh Dr. Abu Syariah, seorang bekas pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa, UIAM suatu masa dahulu. Pensyarah Bahasa Arab beragama Kristian itu adalah kawannya sendiri.

Subhanallah! Ini antara bukti mukjizat al-Quran. Bicaranya satu, tapi pengajaran dan limpahan ilmunya membuak-buak keluar bagi sesiapa yang mahu mengkaji atau menghayatinya. Ia sudah lama ditegaskan Rasulullah dalam sabdanya:

أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا كَانَ قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا { إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ } مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Ertinya: Ingat", sesungguhnya akan berlaku fitnah", Saya (Ali bin Abi Talib RA) bertanya: "Bagaimana jalan keluar darinya wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda :"(Berpeganglah) kepada Kitab Allah, dalamnya ada cerita orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan (ia adalah) pemutus apa yang terjadi antara kamu. Kitab Allah ini adalah firman yang pemisah (antara yang hak dan yang bathil) dan ia bukanlah bahan senda gurau, sesiapa yang meninggalkannya (mengabaikannya) kerana sombong, akan dibinasakan Allah, sesiapa yang mencari petunjuk yang lain darinya (selain kitab Allah), akan disesatkan Allah, ia adalah tali Allah yang kuat, ia adalah peringatan yang penuh hikmah, ia adalah (pembimbing ke) jalan yang lurus, ia tidak condong pada (tidak mengikut) hawa nafsu (manusia), ia tidak berat pada setiap lidah, para ulama' tidak akan kenyang (dari mengkaji serta mendalaminya), ia tidak usang (jemu) walau banyaknya diulang (bacaannya), keajaibannya tidak ada penghujung, para jin tidak berhenti (secara kosong) ketika mendengarnya, mereka lantas berkata :(Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya). Sesiapa berkata dengannya, maka benarlah ia, barangsiapa mengamalkannya, akan diberi pahala, orang yang memutuskan hukum dengannya pasti berlaku adil dan barang siapa menyeru kepada (penghayatan)nya akan mendapat petunjuk ke jalan yang lurus" (Sunan al-Tirmidhi) (Hadith ini dinilai Dhaif atau lemah oleh Imam al-Tirmidhi).

Setelah mendengar kisah sebegini maka kita akan faham mengapa al-Quran ini menduduki carta tertinggi dalam senarai mukjizat para nabi utusan Allah. Bahkan orang Mekah pada zaman nabi ditempelak keras kerana mengabaikan al-Quran:

وَقَالُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَاتٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّمَا الْآيَاتُ عِنْدَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ (50) أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (51)

Ertinya: Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata". (Patutkah mereka meminta mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut [29:50-51]).

Selepas ini, jika memetik apa sahaja buah, cubalah petik bersama tangkainya dan ingatlah ayat daripada surah Yusuf ini semoga iman kita kepada al-Quran tetap segar sebagaimana segarnya buah-buahan yang tergantung pada tangkainya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...