Friday, October 27, 2017

MEREMANG BULU ROMA DENGAR AL-QURAN?

MEREMANG BULU ROMA DENGAR AL-QURAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rabu lepas (25 Oktober 2017) saya direzekikan Allah bertemu mata dengan Encik Zulkarnain Hasan Basri, rakyat Malaysia yang tinggal di Kobe Jepun. Dia berkahwin dengan orang Jepun dan mendapat status PR Jepun. Antara aktiviti sukarela beliau adalah berdakwah kepada orang Jepun.

Menurutnya dakwah dengan akhlak kepada orang Jepun agar sukar dibuat kerana mereka sudah banyak menghayati nilai moral dan akhlak melebihi orang Islam. Satu cara berkesan untuk menyentuh hati jantung  mereka adalah dengan al-Quran.

Beliau banyak menarik perhatian orang Jepun dengan al-Quran. Antara pengalaman beliau, apabila diterangkan tentang kehebatan al-Quran kepada orang Jepun, ada yang memberi respons drastik iaitu "MEREMANG BULU ROMA" apabila mendengar penerangan berkaitan al-Quran.

Bagi sesetengah orang kita, istilah meremang bulu roma muncul apabila dilanda ketakutan kerana bertemu hantu syaitan yang entah wujud atau tidak. Kisah Encik Zulkarnain ini adalah respons fitrah kerana gerunkan Tuhan semesta alam, Tuhan kepada Hantu syaitan dan Tuhan manusia. Mana lebih utama? Meremang bulu roma kerana makhluk atau PENCIPTA makhluk?

Sebenarnya, meremang bulu roma kerana Allah adalah respons fitrah bagi orang yang dipilih Allah untuk hidayah. Ia ada disentuh Allah:

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Ertinya: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan (setara) isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) "KULIT BADAN ORANG YANG TAKUT KEPADA TUHAN MEREKA MENJADI SERAM (MEREMANG); KEMUDIAN  KULIT BADAN MEREKA MENJADI LEMBUT SERTA  TENANG TENTERAM  HATI MEREKA MENERIMA AJARAN DAN RAHMAT ALLAH." Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya (al-Zumar [39:23]).

Ayat ini selalu saya baca dan ulas Tafsirnya, tapi tak pernah bertemu secara terus orang yang pernah rasainya.  Hari itu pertemuan dengan Encik Zulkarnain membuka satu sudut Tafsir praktikal untuk saya dan kita semua.

Berdoalah agar hati jantung kita juga sensitif sehingga MEREMANG BULU ROMA untuk menerima Kalam Allah ini.!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...