Tuesday, October 10, 2017

DI MANA 2 EKOR UNTA YANG KAMU SEMBUNYIKAN ITU?

DI MANA 2 EKOR UNTA YANG KAMU SEMBUNYIKAN ITU?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rasulullah SAW adalah manusia biasa. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat mengetahui perkara ghaib. Bagi insan istimewa lagi mulia seperti Rasulullah SAW, kadangkala Allah membuka pintu yang ghaib bagi menyerlahkan kerasulan baginda. Antara kisah ajaib yang boleh kita teladani adalah kisah perang Bani Mustaliq.

Rasulullah SAW mendapat maklumat  Bani Mustaliq yang pernah membantu Quraysh dalam perang Uhud di bawah pimpinan al-Harith bin Abi Dhirar berhasrat mahu menyerang Madinah.  Sebagai langkah pencegahan, Rasulullah SAW keluar dengan 700 orang tentera menuju ke tempat Bani Mustaliq.

Setelah sampai di mata air al-Muraysi’ iaitu tempat Bani Mustaliq, pasukan tentera Rasulullah bertembung dengan pihak musuh. Tentera Muslimin berjaya membunuh 10 pihak musuh dan merampas banyak harta rampasan perang.

Antara tawanan yang ditahan adalah Juwayriyah binti a-Harith, anak ketua kabilah Bani Mustaliq. Juwayriyah menjadi hamba perang dalam bahagian rampasan perang seorang sahabat bernama Thabit bin Qays bin Syammas atau sepupu Thabit. Juwayriah cuba menebus dirinya daripada Thabit. Dalam usaha penebusan itu, Juwayriyah datang bertemu Rasulullah SAW dan memohon bantuan baginda. Baginda kemudiannya memerdekakan Juwayriah dan mengahwininya. Setelah berita perkahwinan baginda tersebar, para sahabat mulai membebaskan semua tawanan perang Bani Mustaliq sambil berkata:

“(Bebaskan mereka kerana) mereka ini adalah biras, ipar dan mentua Rasulullah!”

Tindakan tersebut mengakibatkan sebanyak 100 keluarga Bani Mustaliq memeluk Islam. Subhanallah!

Setelah mendapat tahu anaknya ditawan oleh Rasulullah,  Al-Harith bin Abi Dhirar (ayah Juwayriyah) menemui Rasulullah di Madinah dengan hasrat menebus anaknya. Semasa dalam perjalanan dia membawa banyak ekor unta sebagai bahan tebusan. Setelah sampai di sebuah tempat bernama al-‘Aqiq, al-Harith menyembunyikan 2 ekor unta terbaik kerana berasa sayang dengan unta tersebut.

Setelah bertemu Rasulullah dan menawarkan beberapa ekor unta sebagai tebusan anaknya, Rasulullah SAW bertanya padanya di manakah 2 ekor yang disembunyikan di al-‘Aqiq dalam sebuah lembah di situ. Setelah mendengar pertanyaan itu, al-Harith segera mengucapkan 2 kalimah syahadah dan mengakui kerasulan baginda SAW kerana tiada siapa yang tahu dia telah menyembunyikan unta tersebuit di situ. Peristiwa ini juga menjadi sebab pengislaman kaumnya.


Rujukan: Sirah Ibn Hisyam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...