Saturday, September 16, 2017

PENGIKUT WAHYU VS PENGIKUT NAFSU

PENGIKUT WAHYU VS PENGIKUT NAFSU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Dhuha (al-Qasas) Selasa di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, 16 September 2014. Antara isunya:

Pihak Musyrikin Quraysh menolak al-Quran yang sangat ajaib isi kandungannya dan seruan dakwah Rasulullah SAW dengan berbagai alasan. Jika benar bagai dikata bahawa al-Quran adalah sebuah buku ciptaan Muhammad SAW, pasti mereka mampu menandinginya. Lalu Allah mencabar mereka agar menandingi al-Quran dengan 3 kali cabaran:

1) Mencipta sebuah al-Quran (al-Isra’[17:88]). Setelah cabaran ini tidak bersahut kerana ketidak mampuan mereka, cabaran itu diturunkan,

2) Mencipta 10 surah (Hud[11:13]). Pengurangan ini juga tidak bersahut, lalu Allah menurunkan lagi kadar cabaran,

3) Hanya mencipta SATU SURAH SETANDING AL-QURAN (al-Baqarah[2:23] & Yunus[10:38]). Cabaran ini juga tidak bersahut dan ini jelas membuktikan al-Quran adalah wahyu dan bukannya ciptaan Rasulullah SAW yang tidak tahu membaca atau menulis.

Walau tak mampu menyahut ketiga cabaran di atas, wakil Quraysh al-Nadhar bin al-Harith tetap bercakap besar seakan budak-budak (Tafsir Ibn Kathir). Seakan bunyinya “ALAH, KACANG JE NAK BUAT MACAM AL-QURAN TU, SAJA KAMI TAK MAHU MENUNJUK JE, AL-QURAN SI MUHAMMAD NI MACAM KISAH DONGENG JE.” Allah merekodkan dialog biadab ini untuk tatapan kita:

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آَيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَذَا إِنْ هَذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang dahulu kala" (al-Anfal[8:31]).

Kesudahannya Allah menyimpulkan mereka ini hanya AHLI HAWA NAFSU YANG MUFLIS HUJAH. FirmanNya:

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (49) فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (50)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu oorang yang benar ". Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), MAKA KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA MEREKA HANYALAH MENURUT HAWA NAFSU MEREKA; DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA DENGAN TIDAK BERDASARKAN HIDAYAH PETUNJUK DARI ALLAH. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya) (al-Qasas[28:49-50]).

Islam itu milik Allah. Sandarkan pegangan anda pada NASS DAN DALIL YANG SAHIH. Anda pasti selamat. Jika sandaran anda hanya SEBUAH IKUTAN BUTA atau DORONGAN HAWA NAFSU, anda pasti terjerumus ke dalam neraka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...