Thursday, July 20, 2017

DERIA LUAR BIASA PADA RASULULLAH SAW?

DERIA LUAR BIASA PADA RASULULLAH SAW?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Pernah saya tonton rancangan Stan Lee’s Superhuman (pengasas komik Spiderman) yang menceritakan kelebihan “Ang Rita” seorang Sherpa (pemandu pendaki ke Gunung Everest di Banjaran Himalaya) yang mendakwa sudah mendaki Gunung Everest lebih daripada 10 kali. Dia juga mampu bertahan di tanah tinggi tanpa menghadapi masalah untuk bernafas. Manusia normal biasanya akan menghadapi masalah bernafas apabila sampai pada tahap ketinggian tertentu kerana nipisnya oksigen di tanah tinggi. Masalah ini dikenali sebagai “High Altitude Sickness.” Dalam rancangan itu, dibuktikan kemampuan Ang Rita bernafas seperti biasa walaupun berada pada ketinggian yang mustahil bagi manusia.

Usah cepat melopong dengan kelebihan itu kerana manusia kesayangan kita semua, baginda nabi Muhammad SAW memang memiliki banyak kelebihan fizikal yang luar biasa. Antaranya baginda mampu melihat para malaikat, jin dan syaitan. Baginda terbang ke langit tinggi bersama Jibril tanpa memerlukan peralatan moden yang diperlukan angkasawan. Bukan setakat itu, deria baginda juga sangat luar biasa sebagaimana di sebut sebuah hadith:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتْ السَّمَاءُ وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَمَا تَلَذَّذْتُمْ بِالنِّسَاءِ عَلَى الْفُرُشِ وَلَخَرَجْتُمْ إِلَى الصُّعُدَاتِ تَجْأَرُونَ إِلَى اللَّهِ

Ertinya: Abu Dhar RA berkata Rasulullah SAW pernah bersabda: “SESUNGGUHNYA AKU LIHAT APA YANG KAMU TIDAK LIHAT. AKU JUGA DENGAR APA YANG KAMU TAK DENGAR. Langit  bergetar dan sangat patut baginya untuk bergetar kerana tiada tempat seluas 4 jari melainkan ada sahaja malaikat yang meletak dahinya sujud kepada Allah (maksudnya langit dipenuhi para malaikat yang beribadat kepada Allah). Demi Allah, sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu pasti kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis. (Pasti) kamu juga tidak akan bersenang lenang bersama isteri atas katil dan pastinya kamu akan keluar ke jalanan mengharap rahmat Allah (Sunan al-Tirmidhi).

Banyak bukti yang menunjukkan kelebihan “deria lihat, dengar dan rasa” pada Rasulullah SAW. Antaranya;

1) Baginda mampu dengar, lihat dan tahu situasi dalam kubur:

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ

Ertinya: ‘Uthman bin ‘Affan berkata; apabila selesai mengkebumikan jenazah, baginda duduk seketika di kuburnya dan bersabda: “Mohonlah ampunan untuk saudaramu ini dan mohonlah pada Allah agar memberikannya keteguhan (jiwa) kerana sesungguhnya dia sekarang disoal (oleh 2 malaikat) sekarang (Sunan Abu Dawud.)

Juga sebuah hadith lain;

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

Ertinya: Abdullah bin ‘Abbas menceritakan, pada suatu hari, Rasulullah SAW melalui sebuah kebun di Madinah atau Mekah, lalu baginda mendengar suara 2 manusia sedang diazab dalam kubur mereka. Rasulullah SAW lalu bersabda: Mereka berdua diazab kerana dosa yang besar….. seorang darpadanya tidak berlindung ketika kencing (kencing secara terbuka) dan seorang lagi (diazab) kerana berjalan membawa umpatan (melaga-lagakan antara manusia) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

2) Baginda juga mampu melihat daripada belakang kepalanya seakan ada mata tambahan di situ. Kenyataan ini memang pelik bunyinya, namun ada hadith berbicara mengenainya:

أَتِمُّوا الرُّكُوعَ وَالسُّجُودَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لَأَرَاكُمْ مِنْ بَعْدِ ظَهْرِي إِذَا مَا رَكَعْتُمْ وَإِذَا مَا سَجَدْتُمْ

Ertinya: (Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda); “Sempurnakan pergerakan ruku’ dan sujud (kamu). Demi jiwaku yang berada dalam tangan-Nya (kuasa-Nya) SESUNGGUHNYA AKU MEMANG MELIHAT DARIPADA BELAKANGKU APABILA KAMU RUKU’ DAN SUJUD” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadith lain perkara sama turut disebut oleh Abu Hurayrah RA:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ يَوْمًا ثُمَّ انْصَرَفَ فَقَالَ يَا فُلَانُ أَلَا تُحْسِنُ صَلَاتَكَ أَلَا يَنْظُرُ الْمُصَلِّي إِذَا صَلَّى كَيْفَ يُصَلِّي فَإِنَّمَا يُصَلِّي لِنَفْسِهِ إِنِّي وَاللَّهِ لَأُبْصِرُ مِنْ وَرَائِي كَمَا أُبْصِرُ مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ

Ertinya: Abu Hurayrah RA berkata, pada suatu hari Rasulullah pernah solat bersama kami. Selesai solatnya baginda berpusing dan berkata: “Wahai fulan! Mengapa kamu tidak memperelokkan solatmu? Hendaklah orang yang solat memerhatikan (kesempurnaan) solatnya kerana faedah solat itu kembali padanya. Demi Allah! AKU MEMANG LIHAT (SESUATU) DARI ARAH BELAKANGKU SEBAGAIMANA AKU LIHAT SESUATU DARI DEPANKU (Sahih Muslim).

Adakah kemampuan baginda ini hanya berbentuk bayangan atau pandangan mata hakiki? Ia dibincangkan oleh para ulama dan ramai ulama berpandangan ia adalah pandangan hakiki atas kapasiti mukjizat baginda (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

3) Mata baginda tidur sedangkan hati baginda tidak tidur. Aishah RA pernah ditanya mengenai bentuk solat malam nabi pada bulan Ramadhan. Ini jawapan beliau:

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي

Ertinya: Rasulullah SAW tidak menambah solat malam pada bulan Ramadhan dan bulan lainnya lebih daripada 11 raka’at. Baginda mendirikan solat 4 raka’at, jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu kerana ibadat baginda tiada bandingnya dengan orang lain). Baginda pun meneruskan solatnya 4 raka’at lagi dan jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu). (Selepas itu baginda tidur seketika) dan baginda teruskan lagi solatnya sebanyak 3 raka’at. Aishah bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur (seketika) sebelum solat witir (dalam bilangan ganjil).” Rasulullah menjawab: “Wahai Aishah! 2 MATAKU TIDUR TETAPI HATI JANTUNGKU TIDAK TIDUR” (Sahih al-Bukhari& Muslim).

Bagi orang biasa, tidur mereka akan membatalkan wudhuk. Perkara itu tidak berlaku pada Rasulullah SAW. Itu yang dapat difahami daripada hadith di atas. Pun begitu, ada yang kurang setuju dan cuba menyangkal kelebihan “mata tidur tetapi tidak hati jantung nabi tetap sedar” ini dengan membawa kisah nabi lena sehinga luput waktu solat Subuh. Dalam sebuah riwayat disebut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ عَرَّسْنَا مَعَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ نَسْتَيْقِظْ حَتَّى طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَأْخُذْ كُلُّ رَجُلٍ بِرَأْسِ رَاحِلَتِهِ فَإِنَّ هَذَا مَنْزِلٌ حَضَرَنَا فِيهِ الشَّيْطَانُ

Ertinya: Abu Hurayrah RA berkata; “Kami pernah tidur lewat malam bersama Rasulullah SAW (dalam sebuah musafir panjang). Kami tidak sedar daripada tidur sehinggalah matahari terbit.” Baginda bersabda: “Setiap seorang daripada kalian mesti pegang tali unta dan bergerak ke tempat lain kerana tempat ini didatangi syaitan” (malam tadi sehingga melalaikan kita daripada bangun tepat pada waktunya) (Sahih Muslim).

Selepas beralih tempat, barulah solat Subuh didirikan. Antara tujuan nabi beralih tempat adalah mengelakkan tempat yang pernah dijejak oleh Syaitan. Orang yang mempertikaikan kelebihan “hati jantung tidak tidur” pada Rasulullah menggunakan kisah daripada hadith terlajak tidur ini sebagai sandaran hujah mereka. Kata mereka:

“Kalau benar hati jantung baginda tidak tidur, mengapa baginda boleh tidak sedar daripada tidur baginda sehingga terlepas waktu solat subuh?”

Ketika menjawab soalan tersebut, Imam al-Nawawi berkata:

“Hati jantung fungsinya mengesan rasa atau perasaan seperti sakit dan sebagainya. Ia tak mampu mengesan terbitnya matahari seperti kemampuan mata zahir. Kemampuan mengesan terbitnya matahari ditanggap oleh mata zahir. Sedang (dalam kisah hadith nabi lena itu menunjukkan) yang tidur adalah mata nabi dan bukannya hati jantung (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Mudahnya, kita katakan dalam peristiwa tersebut, mata zahir Rasulullah SAW tidur nyenyak dek keletihan yang amat sangat sehingga gagal bertindak balas dengan sinar matahari. Ini sifat manusia biasa yang ada pada baginda.  Hati jantung baginda pula kekal sedar beribadat kepada Allah dalam kapasiti baginda sebagai seorang nabi.

Ini antara beberapa kelebihan Rasulullah SAW yang saya jumpa dan mampu kongsi agar cinta dan kagum kita kepada baginda mencanak naik. Umat Islam sungguh beruntung kerana memiliki “super hero” yang benar wujud. Watak Rasulullah SAW bukan seperti watak khayalan dalam komik yang direka oleh orang Barat. Apa yang lebih penting bukan sekadar kagum dengan kelebihan luar biasa deria baginda, tetapi menggigit kemas segala peninggalan baginda. Firman Allah:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah MAKA IKUTILAH DAKU, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir (Ali ‘Imran [3:31-32]).

Menutup nota Tafsir kali ini saya kongsikan sebuah hadith yang secara tidak langsung menyebut keajaiban deria rasa orang beriman dalam umat nabi Muhammad SAW. Sabda Rasulullah SAW:
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِدْتُ أَنِّي لَقِيتُ إِخْوَانِي قَالَ فَقَالَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَلَيْسَ نَحْنُ إِخْوَانَكَ قَالَ أَنْتُمْ أَصْحَابِي وَلَكِنْ إِخْوَانِي الَّذِينَ آمَنُوا بِي وَلَمْ يَرَوْنِي

Ertinya: Anas bin Malik RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Aku harap dapat bertemu dengan saudaraku.” Para sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu?” Nabi menjawab: “Kamu adalah para sahabatku, akan tetapi saudaraku adalah orang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku (Musnad Ahmad).

Deria “mata dan “telinga” orang beriman sangat hebat. Walaupun jauh zamannya, kita tetap beriman kepada baginda seolah baginda wujud di hadapan kita. Iman kita itu mengundang rindu nabi kepada kita semua. Subhanallah! Beruntungnya orang beriman. Ayuh kita gunakan deria luar biasa ini untuk menambah iman kita kepada Rasulullah SAW.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10210014123495044&id=1394678315

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...