Saturday, June 17, 2017

PERANG BADAR SIRI 5: PENGURUSAN MAYAT MUSUH DAN PERTEMBUNGAN ANTARA AHLI KELUARGA

PERANG BADAR SIRI 5: PENGURUSAN MAYAT MUSUH DAN PERTEMBUNGAN ANTARA AHLI KELUARGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Soalan: Berapa ramai pihak Musyrikin yang tewas dan ditawan dalam perang Badar? Bagaimana caranya Rasulullah SAW menguruskan mereka?

Jawapan: Menurut catatan para ulama sejarah sejumlah 70 orang dibunuh dalam perang Badar dan sejumlah 70 yang lain pula ditawan hidup. Pun begitu, ada 3 kepala Musyrikin Quraysh yang dibunuh selepas mereka ditawan iaitu al-Nadhar bin al-Harith, ‘Uqbah bin Abi Mu’ayt dan Tu’aymah bin ‘Adi (Tafsir Ibn Kathir).  Pembunuhan ini tidak bertentang dengan keadilan Islam kerana pembunuhan mereka berlaku atas arahan Rasulullah SAW yang melihat besarnya jenayah mereka terhadap Rasulullah dan Islam semasa di Mekah dahulu.

Selain itu, Rasulullah SAW mengarahkan 24 mayat Musyrikin Quraysh yang terdiri dari kepala mereka ditimbus ke dalam sebuah perigi tinggal di kawasan Badar. Selepas 3 hari Rasulullah SAW pergi ke perigi yang menjadi kubur semua kepala Quraysh itu. Baginda menyeru nama mereka seorang demi dan berkata:

أَيَسُرُّكُمْ أَنَّكُمْ أَطَعْتُمْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّا قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّا فَهَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا قَالَ فَقَالَ عُمَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا تُكَلِّمُ مِنْ أَجْسَادٍ لَا أَرْوَاحَ لَهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ

Ertinya: Pastinya kamu semua suka agar kamu mentaati Allah dan RasulNya (pada ketika ini). Maka seungguhnya kami telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kami benar belaka, maka adakah kamu dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanmu juga benar? ‘Umar lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Mengapa Tuan berbicara dengan Jasad yang tiada roh?” Rasulullah menjawab: “Demi yang jiwa Muhammad berada pada tanganNya (KuasaNya), kamu tidak lebih mendengar terhadap apa yang aku ucapkan berbanding mereka (mereka mampu mendengar dengan jelas tetapi tak mampu menjawab) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Soalan: Dalam perang Badar kita dapati banyak berlaku pertembungan antara ahli keluarga. Bolehkah Ustaz berikan contoh pertembungan tersebut dan mengapa Rasulullah SAW tidak menghalang pertembungan antara ahli keluarga dari berlaku?

Jawapan: Perlu diingat, Islam mementingkan penjagaan hubungan keluarga, namun apabila pertembungan berlaku dalam aspek akidah, hak Allah wajib dijaga dan diutamakan. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا آَبَاءَكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَاءَ إِنِ اسْتَحَبُّوا الْكُفْرَ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa kamu dan saudara kamu sebagai orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang yang didampingi, maka merekalah orang yang zalim (al-Tawbah [9:23]).

Terdapat banyak pertembungan antara ahli keluarga yang berlaku dalam perang Badar, antaranya:

1) Selepas selesai perang, Abu ‘Aziz bin ‘Umayr ditawan oleh seorang sahabat Ansar. Saudaranya iaitu sahabat Rasulullah yang terkenal Mus’ab bin ‘Umayr RA berpesan kepada lelaki Ansar itu: “Ketatkan ikatan tangannya kerana ibunya seorang yang berada. Mudah-mudahan ibunya akan menebusnya.” Abu Aziz marah seraya berkata kepada Mus’ab: “Inikah pesananmu terhadapku (walaupun kita ini bersaudara)?” Mus’ab menjawab dengan tegas: “Lelaki ini (yang menawanmu) adalah saudaraku dan bukannya kamu.”

2) Ketika mayat ‘Atabah bin Rabi’ah diseret ke perigi tinggal untuk ditimbus, Rasulullah SAW perasan wajah anaknya iaitu Abu Hudhayfah RA berubah. Abu Hudhayfah berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah ragu tentang kesesatan akidah ayahku juga aku tidak kisah menentangnya, akan tetapi aku ketahui beberapa sifat baik ayahku. Aku sangat berharap agar dia diberi hidayah untuk menerima Islam, namun setelah melihat keadaannya yang mati dalam kufur, itulah yang menyedihkan aku.”

3) Abu Bakar RA juga turut mencabar anaknya Abdul Rahman yang berpihak kepada Musyrikin Quraysh. Umar bin al-Khattab memerangi bapa saudaranya al-‘As bin Hisyam bin al-Mughirah, Mus’ab bn ‘Umayr memerangi saudaranya ‘Ubayd bin ‘Umayr, Hamzah serta Ali memerangi sepupu mereka dan ramai lagi yang lain.

Sikap para sahabat ini menepati firman Allah:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آَبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ

Ertinya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa mereka, atau anak mereka, atau saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; (al-Mujadalah [58:22]).

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...