Wednesday, April 26, 2017

AL-QURAN BUKAN KITAB NUJUM

AL-QURAN BUKAN KITAB NUJUM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Saya agak terkejut dengan mesej terbaru yang saya dapati dalam aplikasi What’s App. Mesej tersebut cuba mengira tarikh, angka, nombor ayat dan tahun sebagai suatu petanda tentang pertabalan DYMM Agong Sultan Muhammad kelima. Mesej tersebut perlu dibendung kerana ia sudah memesongkan maksud sebenar al-Quran. Kelihatan al-Quran bukan lagi kitab hidayah yang membimbing manusia kepada jalan kebenaran sebaliknya membawa manusia kepada budaya “BERNUJUM DENGAN ANGKA.”

Ternyata sebelum ini, cubaan bernujum dengan ayat al-Quran pernah berlaku dalam peristiwa MH 370. Orang yang bernujum itu cuba mengaitkan peristiwa kehilangan pesawat MH 370 kosong dengan beberapa ayat dalam surah Yasin. Sudahnya, ia tidak membawa apa-apa yang mampu meningkat iman.

Sebelum itu, selepas berlakunya Tsunami 2004 pernah juga berlaku ramalan BENCANA ALAM BESAR kononnya biasa berlaku sehari selepas Krismas. Mereka cuba mengaitkan bencana alam besar dengan kejutan serta gegaran langit dan bumi akibat dakwaan Allah mempunyai anak:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا (88) لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا (89) تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (90) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (91)

Ertinya: Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak." Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
Langit nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris runtuh ranap, 
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Maryam [19:88-91]).

Jauh sebelum itu ada cubaan mengaitkan peristiwa 11 september 2001 dengan ayat surah al-Tawbah berkaitan musnahnya bangunan Masjid yang dibina orang Munafik Madinah:

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ATAUKAH ORANG YANG MEMBANGUNKAN MASJID YANG DIDIRIKANNYA DI TEPI JURANG YANG (HAMPIR) RUNTUH, LALU RUNTUHLAH IA DENGAN YANG MEMBANGUNKANNYA KE DALAM API NERAKA? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (al-Tawbah [9:109]).

Pihak yang mengaitkan ayat ini dengan peristiwa 11 September 2001 kononnya mengatakan ayat ini yang bernombor 109 merujuk kepada bangunan WTC itu memiliki “109 aras.” Surah al-Tawbah pula surah no 9 sesuai dengan bulan September sebagai bulan ke 9, manakala ayat ini pula berada dalam juzuk 11 dikaitkan dengan tarikh 11 hari bulan.

Ramalan ini sangat karut kerana mereka memesongkan makna asal ayat ini.

Terbaru dikaitkan pula agung ke 15 yang memakai gelaran Sultan Muhammad ke 5 dengan usia DYMM ketika ditabalkan. Menurut peramal, baginda berusia 47 tahun ketika ditabalkan dan surah ke 47 dalam al-Quran juga dinamakan surah Muhammad. Bagi saya, jika mahu dikira, usia baginda perlu dikira mengikut tahunan Hijri kerana ia lebih tepat dengan roh agama atau al-Quran. Dan pastinya jika ia dikira dalam perkiraan hijri, baginda DYMM sudah berusia lebih 47 tahun.

Perkara ini perlu dibendung kerana jika ia dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti al-Quran menjadi bahan mencari nombor ekor oleh penggila judi kaki ekor.

Islam sangat memerangi amalan bernujum, kerana kepercayaan nujum yang cuba merungkai peristiwa yang berlaku dengan ramalan angka, bintang dan sebagainya seakan dakwaan MAMPU MENGGODAM RAHSIA ALLAH SEMENJAK AZALI. Seolah rahsia Allah mampu dicerobohi oleh penggodam system hanya berpandukan tahi lalat, tarikh lahir, usia dalam perkiraan masihi dan sebaginya. Sedangkan perkara ini ditegah dengan jelas oleh banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW Antaranya adalah:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml[27:65]).
Ketika menjelaskan ayat ini Aishah RA berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ

Ertinya: Sesiapa menyangka bahawa (Rasulullah SAW) mampu memberitahu apa ayang akan berlaku pada keesokan harinya, “MAKA DIA TELAH BERBUAT PENDUSTAAN YANG SANGAT BESAR ATAS NAMA ALLAH.” Aisyah RA kemudiannya membaca ayat 65 surah al-Naml (Sahih Muslim).

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Ertinya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkar, tidak akan diterima (tiada

Usahkan peramal yang pandai mengira indek no surah al-Quran, Baginda sebagai RASUL YANG MENERIMA WAHYU AL-QURAN SENDIRI PUN TIDAK mengetahui yang ghaib melainkan setelah diwahyukan ALlah. Banyak firman Allah menyokong prinsip ini, firman Allah:

قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, DAN AKU PULA TIDAK MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am[6:50]).

Juga firmanNya:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. DAN KALAU AKU MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB, TENTULAH AKU AKAN MENGUMPULKAN DENGAN BANYAKNYA BENDA YANG MENDATANGKAN FAEDAH DAN (TENTULAH) AKU TIDAK DITIMPA KESUSAHAN. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman" (al-A’raf[7:188]).

Usahkan si bomoh, para rasul yang saban hari didampingi Jibril AS pun tidak mengetahui perkara ghaib kecuali setelah ianya didedahkan oleh Allah dengan tujuan tertentu. Firman Allah:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)
Ertinya: "TUHANLAH SAHAJA YANG MENGETAHUI SEGALA YANG GHAIB, MAKA DIA TIDAK MEMBERITAHU PERKARA GHAIB YANG DIKETAHUINYA ITU KEPADA SESIAPAPUN, - "MELAINKAN KEPADA MANA-MANA RASUL YANG DI REDAINYA (UNTUK MENGETAHUI SEBAHAGIAN DARI PERKARA GHAIB YANG BERKAITAN DENGAN TUGASNYA; APABILA TUHAN HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn[72:26-27]).

Kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah supaya kita tahu mana batasan yang boleh dan tidak boleh dicerobohi manusia.  Jangan sampai kita dibodohkan oleh bomoh yang mencari untung atas kejahilan manusia tentang hakikat agama.

Menarik di dalam Mega Mimbar Utusan Malaysia hari ini, 26 April 2017. Dapatkan akhbar Utusan Malaysia atau langgan versi digital di http://e.utusan.com.my
#MegaUtusan #UtusanMalaysia #beritamalaysia #MegaSains #MegaHits #MegaRona #MegaWira #MegaMimbar #AlumniSekolah #HeloKampus

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...