Thursday, March 16, 2017

"MALANG" KERANA LEWAT MEMBUAT KEPUTUSAN

“MALANG” KERANA LEWAT MEMBUAT KEPUTUSAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota kelas Tafsir Jumaat (Saba’[34:51-54]) pada 13 Mac 2015. Antara isunya adalah keadaan para pendosa di akhirat kelak yang sungguh malang.

Gentar hati mendengar perihal sesalan manusia berdosa dalam ayat ini:

وَلَوْ تَرَى إِذْ فَزِعُوا فَلَا فَوْتَ وَأُخِذُوا مِنْ مَكَانٍ قَرِيبٍ (51) وَقَالُوا آَمَنَّا بِهِ وَأَنَّى لَهُمُ التَّنَاوُشُ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ (52) وَقَدْ كَفَرُوا بِهِ مِنْ قَبْلُ وَيَقْذِفُونَ بِالْغَيْبِ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ (53)

Ertinya: Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab). Dan (pada ketika itu) mereka berkata: "Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w)"; (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh (kerana sudah berada di akhirat)? Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (tanpa cuba mendekati isi ajaran Rasulullah). Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan (Saba’ [34:51-54]).

Benarlah kiasan pendita "rebutlah peluang keemasan itu" sebelum ia berlalu. Jika emas begitu berharga di dunia sehingga ada yang sanggup berbunuhan kerananya, “PELUANG HIDUP SEBAGAI MANUSIA BERIMAN JAUH LEBIH BERNILAI DARI EMAS” dan lebih wajib direbut tanpa tangguh seawal usia meningkat baligh.

Mengapa perlu direbut segera segala peluang? Mudah sahaja, kerana nyawa di badan bukan rencana pilihan kita. Berapa ramai orang muda yang segar bugar disentap nyawanya oleh Allah secara mengejut.  Akidah Islam juga cukup adil. Hidup ini hanya sekali dan tiada peluang kedua seperti “AKIDAH PENJELMAAN SEMULA” anutan sesetengah agama lain.

Cerita sesalan “selepas mati” ramai manusia dalam beberapa situasi ini wajib diambil iktibar:

1) Waktu saat pertama menjengah alam barzakh:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

Ertinya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "WAHAI TUHANKU, KEMBALIKANLAH DAKU (HIDUP SEMULA DI DUNIA) - "SUPAYA AKU MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH DALAM PERKARA-PERKARA YANG TELAH AKU TINGGALKAN". TIDAK! MASAKAN DAPAT? SESUNGGUHNYA PERKATAANNYA ITU HANYALAH KATA-KATA YANG IA SAHAJA YANG MENGATAKANNYA, SEDANG DI HADAPAN MEREKA ADA ALAM BARZAKH (YANG MEREKA TINGGAL TETAP PADANYA) HINGGA HARI MEREKA DIBANGKITKAN SEMULA (PADA HARI KIAMAT)” (al-Mu’minun [23:99-100]).

2) Waktu tunduk dilututkan menghadap “audit agung” padang mahsyar di mahkamah Allah:

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Ertinya: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "WAHAI TUHAN KAMI, KAMI TELAH MELIHAT DAN MENDENGAR DENGAN SEJELAS-JELASNYA (AKAN SEGALA YANG KAMI INGKARI DAHULU); MAKA KEMBALIKANLAH KAMI KE DUNIA SUPAYA KAMI MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK; SESUNGGUHNYA KAMI SEKARANG TELAH YAKIN" (al-Sajdah[32:12]).

3) Waktu melihat julangan api neraka yang sedia memamah para pendosa:

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآَيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: DAN SUNGGUH NGERI JIKA ENGKAU MELIHAT KETIKA MEREKA DIDIRIKAN DI TEPI NERAKA (UNTUK MENYAKSIKAN AZABNYA YANG TIDAK TERPERI), LALU MEREKA BERKATA: "WAHAI KIRANYA KAMI DIKEMBALIKAN KE DUNIA, DAN KAMI TIDAK AKAN MENDUSTAKAN LAGI AYAT-AYAT KETERANGAN TUHAN KAMI, DAN MENJADILAH KAMI DARI GOLONGAN YANG BERIMAN" (al-An’am[6:27]).

4) Waktu diseksa secara kekal dalam neraka:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَى عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ (36) وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ (37)

Ertinya: Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya. DAN MEREKA MENJERIT-JERIT DI DALAM NERAKA ITU (SAMBIL MERAYU): "WAHAI TUHAN KAMI, KELUARKANLAH KAMI (DARI AZAB INI); KAMI AKAN MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH, YANG LAIN DARI APA YANG KAMI PERNAH KERJAKAN. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (Fatir [35:36-37]).

Ayuh! Rebutlah peluang yang sekali ini. Berusaha dan berdoalah agar kita terhindar dari musibah sesalan di akhirat kelak.

*Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...