Sunday, March 12, 2017

JANGAN JADI PELEPAH PISANG KERING - BERI PELUANG KEPADA ORANG MUDA!

JANGAN JADI PELEPAH PISANG  KERING - BERI PELUANG KEPADA ORANG MUDA!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Pernah murid saya, seorang pelajar Tahfiz menyatakan rasa kecewanya dengan sikap seorang lelaki tua di Suraunya. Sudah sekian lama, pak cik ini memasang “kaveat” untuk memonopoli kerusi imam di suraunya. Orang muda yang berbakat tidak dibenarkan naik ke tempat imam jika dia ada. Dalam mesyuarat surau ditegaskan:

“Walau macamana sekalipun, jangan beri orang muda naik jadi imam! Biar kita yang berusia ini jadi imam.”

Murid saya itu siang dan malamnya bersama al-Quran. Sekilas ayat dibaca, dia segera tahu mana hukum tajwidnya yang tercicir. Tahap bacaan lelaki tua tersebut sangat menyedihkan, namun apakan daya dia lebih dahulu menjejak kaki ke surau. Pesan saya kepada semua yang berusia, kita dahulu pernah muda. Kematangan serta ketenangan jiwa yang kita perolehi sekarang ini bermula dari langkah pertama yang kita atur KETIKA KITA MUDA BELIA dahulu.

Sepatutnya kita beri peluang sebanyak mungkin kepada orang muda berlatih mengembangkan bakat kepimpinan mereka. Jika mereka silap kita bimbing. Inilah yang saya lakukan di Surau Nur al-Syura tempat saya berjemaah. Saya selalu galakkan bakat muda ke hadapan. Yang silap dibimbing, yang lebih baik daripada kita diambil manafaat.

Contohilah Rasulullah SAW dan para sahabat yang terbuka melibatkan orang muda dalam banyak perjuangan. Ayuh kita lihat beberapa persitiwa ini:

1) Melantik Usamah bin Zayd bin Harithah RA yang baru berusia 18 tahun sebagai panglima perang menentang Rom pada tahun ke 10 Hijri sebelum kewafatan Rasulullah. Selepas baginda wafat, Abu Bakar meneruskan wasiat baginda itu (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

2) Menghantar Mus’ab bin ‘Umayr RA sebagai duta al-Quran pertama ke Yathrib (nama lama Madinah) pada tahun ke 12 kenabian. Kepercayaan baginda kepada orang muda seperti Mus’ab ternyata membuahkan hasil apabila ramai orang Madinah memeluk Islam di tangannya. Pada tahun ke 13 kenabian, seramai 75 orang muslim Madinah datang ke Mekah sehingga termeterainya perjanjian Aqabah kedua (Sirah Ibn Hisyam).

3) Nabi mengiktiraf kemahiran al-Quran yang dimiliki oleh beberapa sahabat yang muda seperti Mu’adh bin Jabal RA. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ مَسْرُوقٍ قَالَ ذُكِرَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو فَقَالَ ذَاكَ رَجُلٌ لَا أَزَالُ أُحِبُّهُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ خُذُوا الْقُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ فَبَدَأَ بِهِ وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ وَأُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ

Ertinya: Masruq menceritakan pada suatu hari nama Abdullah bin Mas’ud disebut di hadapan Abdullah bin ‘Umar. Berikutan itu, Abdullah bin ‘Umar berkata: “Itulah lelaki yang aku sentiasa cintainya kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Pelajarilah al-Quran daripada 4 orang ini, lalu dimulai dengan Abdullah bin Mas’ud, Salim bekas hamba kepada Abu Hudhayfah, Mu’adh bin Jabal dan Ubay bin Ka’ab (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Menurut para ulama’, Mu’adh bin Jabal memeluk Islam ketika berusia 18 tahun dan menyertai perang Badar ketika berusia 20 atau 21 tahun. Beliau juga meninggal dunia ketika berusia 33-38 tahun (Siyar A’lam al-Nubala’). Walaupun masih muda, baginda memberi pengiktirafan pada baginda sebagai pakar al-Quran.

4) ‘Amru bin Salamah RA pernah menjadi imam kepada kaumnya ketika berusia 6 atau 7 tahun kerana beliau adalah orang yang paling banyak menghafaz al-Quran (Sahih al-Bukhari). Pemilihannya sebagai imam jelas menunjukkan usia bukan penghalang bagi menjadi imam.

5) Rasulullah SAW pernah memasukkan anak muda seperti Abdullah bin ‘Umar dalam perbincangan ilmiah. Ketika menceritakan kisah tersebut Abdullah bin ‘Umar berkata:

كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَخْبِرُونِي بِشَجَرَةٍ تُشْبِهُ أَوْ كَالرَّجُلِ الْمُسْلِمِ لَا يَتَحَاتُّ وَرَقُهَا تُؤْتِي أُكْلَهَا كُلَّ حِينٍ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ وَرَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ لَا يَتَكَلَّمَانِ فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ فَلَمَّا لَمْ يَقُولُوا شَيْئًا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هِيَ النَّخْلَةُ فَلَمَّا قُمْنَا قُلْتُ لِعُمَرَ يَا أَبَتَاهُ وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَ وَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَقَالَ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَكَلَّمَ قَالَ لَمْ أَرَكُمْ تَكَلَّمُونَ فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ أَوْ أَقُولَ شَيْئًا قَالَ عُمَرُ لَأَنْ تَكُونَ قُلْتَهَا أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كَذَا وَكَذَا

Ertinya: (Pada suatu hari) kami duduk bersama Rasulullah. Baginda kemudiannya bertanya: “Khabarkan padaku tentang sebuah pokok yang menyerupai seorang Muslim. Ia (pokok itu) tidak gugur daunnya. Ia juga memberikan hasil (buah) sepanjang masa.” Abdullah bin ‘Umar berkata: “Terlintas di hatiku bahawa pokok itu adalah POKOK KURMA, tapi aku malu untuk menyebutnya kerana melihat Abu Bakar dan Umar hanya diam tidak berbicara.” Setelah mereka semua diam, Rasulullah menjelaskan: “Pokok itu adalah pokok kurma.” Apabila kami berlalu pergi, aku berkata kepada ayahku: “Wahai ayahanda! Demi Allah sebentar tadi hatiku memang berkata ia adalah pokok kurma.” Umar bertanya: “Apa yang menghalangmu dari berkata (berkongsi jawapan) sebentar tadi?” Abdullah menjawab: “Aku malu untuk berkata sesuatu kerana melihat kamu berdua hanya diam.” ‘Umar lalu berkata: “AKU LEBIH SUKA KAMU MENJAWAB TADI DARI SEKADAR BERKATA BEGINI DAN BEGINI.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Subhanallah! Semua ini “HANYA SEBAHAGIAN” daripada kisah yang mampu saya kongsi bagi menunjukkan betapa Rasulullah SAW dan para sahabat sangat meraikan orang muda yang berkemampuan. Mereka tidak angkuh menolak orang muda dengan ayat pedas: “WAH BUDAK BERHINGUS INI BERANI NAK MENGAJAR AKU.” Sikap sebegini sebenarnya sangat bahaya dan mampu mematahkan sayap minda orang muda. Akibatnya mereka tidak mampu terbang tinggi, gagal berfikir dan “MATI OTAK” sebelum tiba waktu kematian sebenar.

Orang tua mesti mengikut resmi pelepah kelapa. Bila sampai masa ia akan turun secara terhormat. Pelepah kelapa yang jatuh tidak dipandang hina bahkan masih boleh dimanafaatkan menjadi ungun api menyuluh malam atau lidi penyapu kotoran di halaman rumah. Inilah kiasan yang saya berikan kepada orang tua yang sepatutnya menjadi mentor kepada orang muda.

Jangan ikut resmi pelepah pisang yang tak sedar diri kerana tak mahu berpisah setelah kecut dan tua. Wujudnya memburukkan si pokok pisang. Erat berpegang pada pokok dan sanggup jatuh bersama pokok yang masih sihat. Sudahnya pemilik pokok terpaksa menyentap kasar atau memotongnya sebagai bahan buangan tidak berguna.

Pesan saya kepada diri sendiri dan yang semakin berusia, kenalilah zaman kita. Kita tidak selamanya kuat menongkat langit. Sebelum tersungkur, berilah peluang kepada orang muda menggantikan tempat kita. Jika mereka maju ke hadapan, itu akan menjadi kebanggaan kepada kita selaku pembimbing mereka kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...