Wednesday, February 22, 2017

APA ADA DENGAN ARAYSH BALQIS

APA ADA DENGAN ARAYSH BALQIS?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:38-40]) pada 19 Mei 2015. Antara isunya apakah tujuan nabi Sulayman AS mahu singgahsana keagungan ratu Saba' dipindahkan dan siapakah yang memindahkannya?

Bayangkan apa akan jadi jika ketika bertempur melawan musuh, tiba tiba keris  Taming Sari lambang keagungan Laksamana Hang Tuah "DIRAMPAS LAWAN TANPA SEDAR?" Pastinya maruah dan kehebatan Laksamana Hang Tuah yang dikata sangat hebat akan jatuh merudum dengan hina.

Jika Hang Tuah tampak hebat kerana Taming Sari, ratu Saba' pula mempamerkan kehebatannya dengan Arasy atau Singgahsananya yang besar dan hebat.   Itulah laporan Hud-hud kepada nabi Sulayman AS:

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Ertinya: (Hud-hud berkata) "Sesungguhnya aku dapati seorang Ratu memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari segala sesuatu (yang diperlukan) dan "DIA PULA MEMPUNYAI SINGGAHSANA YANG BESAR" (al-Naml [27:23]).

Sulayman AS bukan calang-calang Rasul dan Raja! Dia mahir politik antarabangsa dan strategi menundukkan musuh. Baginda mahu menundukkan kerajaan Saba' yang bertuhankan Makhluk secara tuntas. Biar ratu Saba' tunduk hanya kepada Allah. Untuk itu Sulayman mahu agar "TAMING SARI ATAU LAMBANG KEAGUNGAN SABA'" tiba terlebih dahulu ke tempatnya sebelum ratu Saba' sampai. Bila melihat lambang keagungan negaranya sudah terlebih dahulu di"FAKS" dan jatuh dengan ajaib sebelum ketibaannya, ratu Saba' pasti tunduk kepada Sulayman AS dan Allah Tuhan semesta alam. Nabi Sulayman AS lalu menyampaikan hasratnya itu kepada rakyatnya:

قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"

قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".

قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Berkata pula SEORANG YANG MEMPUNYAI ILMU PENGETAHUAN DARI KITAB ALLAH: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah" (al-Naml [27:38-40]).

Jin Ifrit dari spesis jin terkuat mahu menunjukkan kehebatannya memindahkan singgahsana Saba' dalam tempoh separuh hari sebelum nabi Sulayman bangun meninggalkan majlisnya, namun dia masih lemah berbanding "SI ALIM" yang mampu memindahkannya hanya sekelip mata. Ini bukti jelas menunjukkan KEKUATAN FIZIKAL TAK DAPAT MENGALAHKAN ILMU.

Benar! Si perkasa mudah sahaja diakali orang berilmu. Soalan yang sering ditanya siapakah SI ALIM dalam kisah ini? Rupanya para ulama Tafsir membawakan 4 watak iaitu (Tafsir al-Razi):

1) Malaikat yang bersama Sulayman iaitu Jibril atau selainnya,

2) Asif bin Barkhiya iaitu murid merangkap menteri Sulayman yang juga seorang Wali Allah. Pendapat ini antara yang dipegang kebanyakan ulama' Tafsir. Mereka yang menyokong pendapat ini mengatakan ia dipindahkan dengan KARAMAH (Tafsir al-Qurtubi).

3) Khidir,

4) Nabi Sulayman AS sendiri. Imam al-Razi menyokong pendapat ini dan mengatakan ia dipindahkan dengan MUKJIZAT (Tafsir al-Razi). Walau bagaimanapun, pendapat ini turut dikritik oleh sesetengah Ulama' Tafsir yang lain.

Pokoknya bukan "SIAPA" yang penting dalam kisah ini tetapi "MENGAPA dan APA."  Singgasana Saba' diculik atas strategi dakwah dan yang menggerakkannya adalah IZIN ALLAH YANG DIPINJAMKAN MELALUI ILMU. Itulah rahsia mengapa  lafaz ini digunakan:

قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ

"Berkata pula seorang YANG MEMPUNYAI ILMU PENGETAHUAN DARI KITAB ALLAH"

Setelah faham KUASA ILMU, apa ditunggu lagi? Marilah kita semarakkan pencarian ilmu agar kita mulia sebaris dengan SI ALIM dalam kisah ini di dunia dan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...