Sunday, January 1, 2017

MUHASABAH TAHUN BARU 2017 - USIA SEMAKIN PENDIK!

MUHASABAH TAHUN BARU 2017 – USIA SEMAKIN PENDEK!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Betulkan pemikiran anda! Anda sebenarnya bukan melangkah masuk ke tahun baru, tapi semakin jauh meninggalkan dunia dan semakin dekat menuju mati.”

Itulah petikan khutbah saya di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 30 Disember lepas atau Jumaat terakhir tahun 2016. 

Itulah sudut pandang yang sepatutnya ada bagi setiap Muslim apabila menjelang tahun baru Hijri atau Masihi. Ingatan kepada mati akan menjadikan manusia lebih insaf dan cemas. Rasa insaf dan cemas sebegini mampu menghalang virus “tak sedar diri” daripada menjangkiti sesetengah orang tua sebagaimana disebut Rasulullah SAW:

يَهْرَمُ ابْنُ آدَمَ وَتَشِبُّ مِنْهُ اثْنَتَانِ الْحِرْصُ عَلَى الْمَالِ وَالْحِرْصُ عَلَى الْعُمُرِ

Ertinya: Anak Adam semakin tua, tetapi 2 perkara padanya bertambah muda: Kehendak pada harta dan kehendak untuk umur panjang (Sahih Muslim & Sunan al-Tirmidhi)

Setiap hari apabila bangkit dari tidur, usia kita semakin pendek. Usia kita sudah tetap angkanya, cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya. Ia dijelaskan sabda junjungan SAW:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ

Ertinya: Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis 4 perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, “AJALNYA” dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya ruh (Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).

Jika dalam takdir Allah (semenjak azali) usia kita menumpang di dunia hanya sekadar 22, 995 hari atau 63 tahun, maka pada pagi ini angkanya akan semakin berkurang. Jika hidup dan usia kita seperti sebuah bateri yang digunapakai seumur hidup, maka kuasanya semakin menurun setiap hari. Inilah juga yang disinggung Allah dalam firmanNya:

وَمَنْ نُعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Ertinya: Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?  kita bangkit akan menunjukkan kekurangan hari demi hari (Yasin [36:68]).

Oleh itu, setiap Muslim yang cerdik lagi bijaksana perlu melakukan muhasabah terhadap usia yang saban hari meninggalkannya dan menyediakan bekal hari akhirat sebanyak mungkin sebagaimana firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan HENDAKLAH SETIAP DIRI MELIHAT DAN MEMERHATIKAN APA YANG DIA TELAH SEDIAKAN (DARI AMALANNYA) UNTUK HARI ESOK (HARI AKHIRAT). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan (al-Hasyr [59:18]).

Dengan peningkatan usia, jiwa dan hati kita perlu menjadi seperti resmi rambut di kepala “SEMAKIN BERUSIA SEMAKIN PUTIH!” Jika rambut sudah putih beruban, namun hati masih “berkarat hitam dengan dosa” atau masih “malar hijau dengan angan-angan dunia” maka kita perlu segera ditalkinkan. Sungguh uban di kepala adalah PEMBERI PERINGATAN KEPADA MANUSIA:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَى عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ (36) وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ (37)

Ertinya: Dan orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas setiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (Lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh “PEMBERI AMARAN (RASULULLAH SAW, PARA ULAMA DAN UBAN DI KEPALA).” Oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (Fatir [35:36-37]).

Perkataan “PEMBERI PERINGATAN” pada hujung ayat ini ditafsirkan sebagai peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, para ulama dan UBAN YANG MEMUTIH DI KEPALA (Tafsir Ibn Kathir).

Semoga tahun baru menjelma menjadikan kita semakin “alah” dengan dosa seperti sabda Rasulullah SAW ini:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Ertinya: Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah "BUKIT" yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Tirmidhi).

Masuk sahaja tahun baru, kemungkinan kita dijemput masuk ke alam barzakh semakin tinggi. Jangan lagi bertangguh dan segeralah berubah. Buah yang tua senang gugur kerana tangkainya sudah masak tetapi yang muda belia juga boleh gugur bila-bila masa apabila digoncang ribut. Ribut itu boleh jadi kemalangan atau sakit kronik. Ayuh perbaharui azam tahun baru dengan azam menyediakan bekal sebanyak mungkin untuk hari mati.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...