Monday, December 5, 2016

KISAH PEMANDU TEKSI: KAMU DIHINA UNTUK MENDIDIK JIWA HAMBA

 KISAH PEMANDU TEKSI: KAMU DIHINA UNTUK MENDIDIK JIWA HAMBA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

 
"Saya tak fahamlah! Saya tak pernah tinggalkan solat, tapi kenapa Allah hina saya sebegitu rupa? Semasa ditahan dalam penjara saya dihina teruk."

Kawan saya tergamam seketika mendengar celoteh pemandu teksi itu. Seakan ada sesuatu yang tak kena dengan sikapnya. Mustahil Allah menzalimi hambaNya. Itu jelas diulang sebut berkali-kali dalam al-Quran:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنْبِهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُمْ مَنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُمْ مَنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُمْ مَنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

 
Ertinya: Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. DAN (INGATLAH) ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENGANIAYA MEREKA, AKAN TETAPI MEREKALAH YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI (al-'Ankabut [29:40]).

Pemandu teksi Pulau Pinang ini sangat ramah bercerita. Ceritanya "tragis berbaur sombong." Dakwanya dia memiliki ilmu kependekaran yang tinggi. Hebat lagi perkasa. Siap biasa mendapat "alamat dan petanda" jika sesuatu bakal berlaku.

 
Sebelum masuk penjara, dia mengalami krisis dengan keluarga isterinya. Isterinya dibawa keluar dari rumah tanpa izinnya sebagai suami. Yakin dengan kependekarannya si pemandu teksi ini pergi ke rumah keluarga isterinya hanya dengan tangan kosong. Dia diserang oleh keluarga isterinya yang bersenjatakan parang, namun ia perkara enteng, habis semua ditundukkan dan parang dirampas. Malangnya pihak polis pula datang menyerbu. Selepas peristiwa itu dia ditahan lama dalam penjara.

Semasa dalam penjara dia diuji dan dihina dengan teruk. Dirinya yang senantiasa dirasa hebat dan perkasa tidak dapat menerima semua musibah itu. Tambahan pula, dia tak pernah meninggalkan solat.

Setelah lama mendengar hikayat si pemandu teksi yang "seakan bertuhankan diri sendiri", kawan saya memahami kenapa Allah menimpakan musibah padanya.

Kawan saya ini agak dalamnya ilmu agamanya, cerah mata hatinya berkat ilmu Tasawuf yang dipelajari. Selesai sahaja pemandu teksi mengkhatamkan cerita hebat bersulam sombongnya kawan saya mengatur bicara yang menjadi "rotan rohani" untuk si pemandu teksi yang sudah sedikit tersasar Tawhid dan sifat hambanya.

"Encik! Saya rasa, saya tahu kenapa Encik jatuh terhina dalam penjara. Bukan Allah zalim, mustahil Allah berlaku zalim kepada hambaNya. Kesilapan encik adalah terlalu membesarkan diri dengan ilmu kependekaran yang dipinjamkan Allah. Encik jadi sombong dengan "ilmu dan diri sendiri" sehingga lupa siapa Tuan sebenar ilmu tersebut. Saya rasa Encik perlu bertaubat dan kembali kepada Allah."

 
Si pemandu teksi langsung terdiam. Mungkin dia tidak menyangka hari ini dia bakal ditegur oleh Allah melalui lidah kawan saya.

 
Orang beriman faham benar sebarang musibah menimpa bukan kerana kekejaman Allah tetapi kerana onar dan kesilapan diri sendiri:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu (al-Syura [42:30]).

Juga firman Allah:

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ ۚ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا

Ertinya: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini) (al-Nisa'[4:79]).

Perlu dipasak ke dalam minda, tiada istilah "kebetulan" pada kuasa Allah. Semua diatur rapi, pertemuan si pemandu teksi dengan kawan saya sudah diatur Allah untuk menyedarkan si pemandu teksi yang sudah sekian lama hanyut dalam rasa kehebatan dirinya. Firman Allah jelas menafikan "ayat kebetulan":

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, MELAINKAN TELAH SEDIA ADA DALAM KITAB (PENGETAHUAN KAMI) SEBELUM KAMI MENJADIKANNYA; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid [57:22]).

Beginilah hakikat "rabunnya mata hati" manusia dari melihat siapa Pemilik Sebenar segala kehebatan, kepandaian, kebijaksanaan dan kekuatan. Kerabunan itu boleh disuluh dengan kanta agama melalui al-Quran dan al-Sunnah.

Jika dirasa diri paling perkasa, ingatlah keperkasaan dan kehebatan kita hanyalah secebis pinjaman dari Allah Yang Maha Perkasa. Jika dirasa diri pandai dan yang lain jauh lebih sedikit cerdiknya berbanding kita, ingatlah kecerdikan kita hanya sedikit pinjaman dari Yang Maha Cerdik lagi Bijaksana. Jika dirasa diri yang paling kaya, ingatlah kekayaan kita hanyalah sekelumit pinjaman dari Allah Yang Maha Kaya. Allah adalah Pemilik dan Penguasa sebenar:
 

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Ertinya: Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya (al-An'am [6:18]).

 
Jika kita terbabas berasa diri yang paling hebat, Allah boleh sahaja menyungkurkan kesombongan kita melalui berbagai cara seperti kisah si pemandu teksi di atas. Si pemandu teksi masih beruntung kerana sempat ditegur, bayangkan berapa ramai manusia yang lupa daratan dalam sejarah dunia disentap nyawanya tanpa sempat sedar. Ya Allah! Selamatkan kami dari fitnah sebegini.

 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...