Wednesday, December 14, 2016

KARAMAH "KALIS SEJUK"SEORANG SAHABAT DALAM PERANG AHZAB

KARAMAH "KALIS SEJUK" SEORANG SAHABAT DALAM PERANG AHZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jika mahu dinobatkan siapa wali Allah yang paling utama, tiada siapa yang dapat menandingi “ranking” yang diungguli oleh para sahabat nabi RA. Apa tidaknya, mereka hidup dan bersusah senang bersama Rasulullah SAW menyebarkan Islam. Nama harum generasi mereka turut direkodkan al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Jika diteliti dalam kitab hadith dan sejarah, kita akan menemui banyak karamah para sahabat nabi, antaranya kisah cahaya yang mengiringi laluan 2 sahabat:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلَيْنِ خَرَجَا مِنْ عِنْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ وَإِذَا نُورٌ بَيْنَ أَيْدِيهِمَا حَتَّى تَفَرَّقَا فَتَفَرَّقَ النُّورُ مَعَهُمَا

Ertinya: Anas RA menceritakan 2 lelaki Ansar (Usayd bin Hudhayr & ‘Abbad bin Bisyr) keluar setelah bertemu Rasulullah SAW pada malam yang sangat gelap. Tiba-tiba di hadapan mereka berdua ada (secebis) cahaya menyuluh jalan. Apabila keduanya berpisah cahaya tersebut berpecah dua (mengikut mereka) (Sahih al-Bukhari).

Juga kisah ajaib Safinah (lelaki) bekas hamba Rasulullah yang diiringi seekor singa dalam perjalanannya. Singa itu tunduk mengiringinya apabila beliau menyebut beliau adalah utusan Rasulullah SAW (Mustadrak al-Hakim, Dala’il al-Nubuwwah).

Supaya kita tidak salah memahami peranan karamah, kita perlu tahu bahawa karamah mana-mana manusia dari umat nabi Muhammad SAW sebenarnya bernaung dalam lingkungan cahaya mukjizat baginda SAW. Dengan kata lain, wali Allah yang sebenar wajib berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW. Semakin kuat pegangan sunnahnya, semakin kuat kewaliannya. Karamah para sahabat pula kurang menonjol berbanding para wali selepasnya kerana cahaya mukjizat Rasulullah SAW jauh lebih terang sehingga melitupi cahaya karamah para sahabat. Jika mukjizat Rasulullah SAW diumpamakan seperti sinar matahari yang terang pada waktu tengahari, maka karamah para sahabat pula seumpana sinaran lampu jalan. Sinaran lampu jalan hanya akan tampak jelas apabila matahari sudah hilang dari pandangan.

Antara kisah karamah sahabat yang jarang diketahui orang adalah karamah “KALIS SEJUK” yang dikurniakan Allah kepada seorang sahabat yang bernama Hudhayfah ibn al-Yaman RA. Kisah ini berlaku dalam perang Ahzab ketika umat Islam dikepung ketat oleh belasan ribu tentera musuh. Kegemparan perang ini sungguh dahsyat sehingga jantung umat Islam diibaratkan berdegup sampai ke kerongkong. Firman Allah:

إِذْ جَاءُوكُمْ مِنْ فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا

Ertinya: Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta jantung hati pun mendesak naik ke kerongkong (resah gelisah kerana cemas takut), dan kamu pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai sangkaan (al-Ahzab [33:10]).

Ketika kemenangan semakin hampir, Allah mengutus angin sejuk mencengkam tulang merempuh musuh. Semua yang berada di Madinah pada waktu itu tidak terlepas dari cengkaman angin yang terlalu sejuk itu.  Firman  Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

Ertinya: Wahai orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT (YANG KENCANG) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan (al-Ahzab [33:9]).

Pada ketika itu Hudhayfah menceritakan:

لَقَدْ رَأَيْتُنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ الْأَحْزَابِ وَأَخَذَتْنَا رِيحٌ شَدِيدَةٌ وَقُرٌّ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا رَجُلٌ يَأْتِينِي بِخَبَرِ الْقَوْمِ جَعَلَهُ اللَّهُ مَعِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَسَكَتْنَا فَلَمْ يُجِبْهُ مِنَّا أَحَدٌ ثُمَّ قَالَ أَلَا رَجُلٌ يَأْتِينَا بِخَبَرِ الْقَوْمِ جَعَلَهُ اللَّهُ مَعِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَسَكَتْنَا فَلَمْ يُجِبْهُ مِنَّا أَحَدٌ ثُمَّ قَالَ أَلَا رَجُلٌ يَأْتِينَا بِخَبَرِ الْقَوْمِ جَعَلَهُ اللَّهُ مَعِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَسَكَتْنَا فَلَمْ يُجِبْهُ مِنَّا أَحَدٌ فَقَالَ قُمْ يَا حُذَيْفَةُ فَأْتِنَا بِخَبَرِ الْقَوْمِ فَلَمْ أَجِدْ بُدًّا إِذْ دَعَانِي بِاسْمِي أَنْ أَقُومَ قَالَ اذْهَبْ فَأْتِنِي بِخَبَرِ الْقَوْمِ وَلَا تَذْعَرْهُمْ عَلَيَّ فَلَمَّا وَلَّيْتُ مِنْ عِنْدِهِ جَعَلْتُ كَأَنَّمَا أَمْشِي فِي حَمَّامٍ حَتَّى أَتَيْتُهُمْ فَرَأَيْتُ أَبَا سُفْيَانَ يَصْلِي ظَهْرَهُ بِالنَّارِ فَوَضَعْتُ سَهْمًا فِي كَبِدِ الْقَوْسِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْمِيَهُ فَذَكَرْتُ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا تَذْعَرْهُمْ عَلَيَّ وَلَوْ رَمَيْتُهُ لَأَصَبْتُهُ فَرَجَعْتُ وَأَنَا أَمْشِي فِي مِثْلِ الْحَمَّامِ فَلَمَّا أَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِخَبَرِ الْقَوْمِ وَفَرَغْتُ قُرِرْتُ فَأَلْبَسَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَضْلِ عَبَاءَةٍ كَانَتْ عَلَيْهِ يُصَلِّي فِيهَا فَلَمْ أَزَلْ نَائِمًا حَتَّى أَصْبَحْتُ فَلَمَّا أَصْبَحْتُ قَالَ قُمْ يَا نَوْمَانُ

Ertinya: Pada malam ketika perang Ahzab, kami bersama Rasulullah SAW MERASAKAN TIUPAN ANGIN YANG SANGAT KENCANG, DAN DINGIN MENCEKAM. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Adakah sesiapa yang bersedia mencari berita musuh dan melaporkannya kepadaku, mudah-mudahan Allah menempatkannya bersamaku pada hari kiamat kelak.” Kami semua diam, tiada seorang pun menjawabnya. Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan itu sampai tiga kali.

Baginda kemudiannya bersabda: “Bangunlah Wahai Hudhayfah, carilah berita dan laporkanlah kepadaku.” Maka tidak dapat tidak aku mesti bangkit, karena baginda menyebut namaku. Nabi SAW berpesan: “Pergilah merisik berita musuh dan janganlah engkau melakukan tindakan apapun.” KETIKA BERANGKAT, AKU BERASA SEPERTI BERJALAN DI ATAS AIR YANG PANAS (LANGSUNG TIDAK MERASAI KESEJUKAN YANG MENCENGKAM ORANG LAIN), sehinggalah aku tiba di tempat mereka (musuh). Pada waktu itu aku lihat Abu Sufyan sedang memanaskan belakangnya pada tempat api. (Tanpa tunggu) aku segera memasang anak panah di busur untuk memanahnya, tetapi (hasrat itu aku batalkan setelah) teringat pesan Rasulullah SAW, “Janganlah engkau melakukan tindakan apapun.” Sedangkan jika aku memanahnya, pasti ia akan mengenai pahanya.

Kemudian aku kembali (kepada Rasulullah) SEPERTI ORANG YANG BERJALAN DI ATAS AIR YANG PANAS (LANGSUNG TIDAK MERASAI KESEJUKAN YANG MENCENGKAM ORANG LAIN). Setelah selesai menyampaikan berita musuh kepada Rasulullah, AKU MULAI MERASAI SEJUK YANG MENCENGKAM. Rasulullah SAW segera menyelimuti aku dengan kain yang biasa dipakai untuk solat. Malam itu aku tidur sampai pagi dan dibangunkan oleh Rasulullah SAW yang berkata, “Bangun, wahai orang yang tidur.” (Sahih Muslim).

Subhanallah! Ajaib sekali kisah ini. Hudhayfah RA dikurniai karamah dan dilindungi dari sejuk mencengkam kerana beliau menyahut arahan Rasulullah SAW (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi). Kisah ini menjadi bukti betapa karamah para wali seperti Hudhayfah berkait rapat dengan cintanya kepada  Allah dan Rasulullah.

Selepas ini jangan deras melopong setelah melihat sebarang keajaiban muncul pada mana-mana individu, sebaliknya gunakan parameter yang disebut oleh Imam al-Syafie ini untuk menentukan adakah dia wali Allah atau wali syaitan:

بل إذا رأيتم الرجل يمشي على الماء ويطير في الهواء فلا تغتروا به حتى تعرضوا أمره على الكتاب والسنة،

Ertinya: Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah (Kata-kata Imam al-Syafie sebagaimana disebut dalam Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran surah al-Baqarah ayat 34).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...