Friday, December 30, 2016

2 RUKUN UNTUK MENJADI WALI ALLAH

2 RUKUN UNTUK MENJADI WALI ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:62-64]) pada 15 April 2015. Antara isunya adalah 2 rukun menjadi wali Allah.

“Ajaib sungguh! Ketika ramai merungut kepanasan kerana kipas usang di surau kami merangkak perlahan, Tuan Guru meniup dengan mulutnya lalu kipas itu terus berputar laju.”

Ketika mendengar kisah di atas, pastinya kita terus yakin bahawa si fulan itu adalah seorang wali Allah. Lalu cerita karamah itu dicanang hebat serata dunia seakan karamah adalah RUKUN UTAMA KEWALIAN. Jika seorang ulama atau orang soleh tidak zahir padanya keajaiban yang mampu me“LOPONG”kan manusia, maka mereka itu bukan wali. Ini sebenarnya satu persepsi yang kurang tepat. Perlu diingat, keajaiban material boleh sahaja dikosmetikkan oleh jin dan syaitan. Nampak ajaib si fulan berjalan di atas air, namun boleh sahaja ia diusung oleh jin atau syaitan.

Karamah atau keajaiban kepada manusia pilihan Allah memang wujud. Ia direkodkan al-Quran:

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنْبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Ertinya: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. SETIAP KALI NABI ZAKARIA MASUK UNTUK MENEMUI MARYAM DI MIHRAB, IA DAPATI REZEKI (BUAH-BUAHANAN YANG LUAR BIASA) DI SISINYA. NABI ZAKARIA BERTANYA:" WAHAI MARYAM DARI MANA ENGKAU DAPATI (BUAH-BUAHAN) INI?" MARYAM MENJAWAB; "IALAH DARI ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MEMBERIKAN REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DENGAN TIDAK DIKIRA" (Ali ‘Imran [3:37]).

Pun begitu, ia bukanlah RUKUN UTAMA KEWALIAN? Justeru apakah syarat utama menjadi wali? Kembalilah kepada bicara “PEMILIK SEBENAR PARA WALI”:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (64)

Ertnya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. “(WALI-WALI ALLAH ITU IALAH) (1) ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA PULA (2) SENTIASA BERTAQWA.” Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus [10:62-64]).

2 rukun wali yang disebut Allah adalah “ORANG YANG BERIMAN” dan “SENANTIASA BERTAQWA.”

Beriman kepada Allah tidak semudah menghafaz rukun iman yang 6. Para wali Allah benar-benar menjiwai segala rukun iman. Iman mereka kepada Allah mewujudkan slogan hidup “Allah didahulukan berbanding diri sendiri.” Di mana sahaja berada dosa pahala diawasi kerana iman mereka kepada malaikat yang senantiasa merekod aktiviti makhluk. Iman mereka kepada Kitab mendorong mereka mematuhi segala isi al-Quran tanpa pilihan. Putih kata al-Quran maka putihlah kata mereka. Segala Sunnah utama Rasulullah ditelan walau pahit kerana itu manifestasi iman mereka kepada Rasulullah. Hidup mereka diisi bekal akhirat kerana iman mereka kepada hari kiamat. Apa sahaja musibah menimpa diterima dengan tenang kerana iman mereka kepada Qadha’ dan Qadar.

Para wali Allah juga senantiasa bertaqwa. Taqwa bermaksud jaga batas Allah dan takut kemurkaan Allah. Ia seumpama melalui laluan penuh duri. Tidak diatur langkah sembrono kerana ia bakal melukakan kaki. Hidup mereka diatur rapi agar tidak mengundang kemurkaan Allah. Lebih cantik lagi, ayat ini didatangkan Allah dalam FI’IL MUDHARI’ atau pebuatan yang sedang dan senantiasa berjalan – يتقون – SENANTIASA BERTAQWA. Taqwa mereka melekat pada diri mereka  TANPA PUTUS SEHINGGA MATI dan bukan bermusim sahaja.

Jika kita menepati 2 rukun ini, kita sebenarnya wali Allah walau tidak dikurnia karamah atau keajaiban. Seperkara lain yang juga penting adalah kefahaman tentang karamah. Karamah itu bercabang dua iaitu “KARAMAH HISSI” (yang zahir dan mampu ditanggap panca indera) dan  “KARAMAH MA’NAWI (yang tidak zahir tapi kekal manafaatnya untuk umat Islam). Karamah Hissi masih rendah darjatnya berbanding Karamah Ma’nawi. Tambahan pula Karamah Hissi ada kayu ukur kebenarannya iaitu sejauh mana pematuhan syariah pada diri manusia yang terzahir banyak keajaiban padanya. Jika muncul berbagai keajaiban pada seorang yang soleh lagi patuh syariah, mungkin benar dia seorang wali. Sebaliknya, jika keajaiban muncul pada seorang fasiq, ia adalah tipu daya syaitan. 

Segala legasi ilmu para ulama ummah yang kekal manafaatnya jauh selepas pemergian mereka adalah KARAMAH MA’NAWI yang jauh lebih berharga dari KARAMAH HISSI seorang wali yang hanya dini’mati sendirian. Antara petunjuk mudah mengenal Wali Allah mengikut sabda Rasulullah SAW adalah:

يُذْكَرُ اللَّهُ بِرُؤْيَتِهِمْ.

Ertinya: Melihat mereka mengingatkan diri kepada Allah (al-Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani)

Oleh itu, cintailah ilmu dan para ulama kerana keduanya bakal menegakkan 2 rukun kewalian dalam jiwa kita. Semoga usaha keras kita menuntut ilmu demi untuk meraih IMAN dan TAQWA akan menempatkan kita di akhirat kelak bersama para wali dan kekasih Allah walau semasa di dunia tiada keajaiban muncul di tangan kita. Mengenal dan mencintai Allah sehingga membuahkan IMAN SEJATI dan TAQWA itulah keajaiban sebenar!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...