Monday, August 1, 2016

KISAH UNTA RASULULLAH SAW HILANG DAN MULUT JAHAT SI ALIM YAHUDI

KISAH UNTA RASULULLAH SAW HILANG DAN MULUT JAHAT SI ALIM YAHUDI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

(Subuh Ahad, 31 Julai 2016 di perkarangan Surau Nur al-Syura, Selayang).

“Ustaz! Kawan saya ajak saya temani dia jumpa bomoh. Tapi bomoh tu katanya menggunakan ayat al-Quran. Boleh ke saya pergi?”

Berikutan kuliah saya khamis lepas yang membincangkan tajuk Wali Syaitan, pagi ini seorang ahli Jemaah surau bertanya soalan tersebut. Dalam kuliah khamis lepas saya tegaskan larangan nabi SAW terhadap umatnya agar jangan sesekali bertemu bomoh:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Ertinya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkar, tidak akan diterima (tiada pahala) solatnya selama 40 malam (Sahih Muslim).

“Awak tak boleh pukul borong bahawa dia seorang bomoh. Bomoh atau perawat yang menggunakan Ruqyah Syar’iyyah perlu dilihat dahulu pada kaedahnya. Jika teknik rawatannya mempunyai unsur nujum seperti “mendakwa tahu” siapa yang menyihir atau mendakwa tahu yang ghaib maka ia wajib dihindari. Itulah definisi mudah bagi bomoh.”

Antara sebab utama mengapa orang agama atau ulama sangat anti profesyen bomoh adalah dakwaan sesetengah mereka yang tahu perkara ghaib. Tahu “siapa” yang menyihir, tahu “bagaimana” jenis sihir dan seumpamanya. Dakwaan ini sangat biadab dan bercanggah dengan firman Allah:

قُل لا يَعلَمُ مَن فِى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ
Ertinya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml[27:65]).

Ketika menjelaskan ayat ini Aishah RA berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ

Ertinya: Sesiapa menyangka bahawa (Rasulullah SAW) mampu memberitahu apa ayang akan berlaku pada keesokan harinya, “MAKA DIA TELAH BERBUAT PENDUSTAAN YANG SANGAT BESAR ATAS NAMA ALLAH.” Aisyah RA kemudiannya membaca ayat 65 surah al-Naml (Sahih Muslim).

Pagi ini ketika membaca Sirah Ibn Hisyam saya ditemukan Allah dengan kisah mulut jahat Zayd ibn al-Lasayt – زيد بن اللصيت - iaitu seorang alim Yahudi Madinah yang berpura-pura memeluk Islam. Pernah satu ketika unta Rasulullah SAW hilang dan tak dapat ditemui. Berikutan peristiwa itu, si alim Yahudi ini melepaskan kata-kata ejek yang sangat pedas:

يَزْعُمُ مُحَمّدٌ أَنّهُ يَأْتِيهِ خَبَرُ السّمَاءِ وَهُوَ لَا يَدْرِي أَيْنَ نَاقَتُهُ

Ertinya: “Muhammad menyangka dia mendapat wahyu dari langit, sedangkan dia sendiri pun tak tahu ke mana pergi untanya.”

Ejekan ini sampai pada Rasulullah SAW, baginda lalu berkata:

وَإِنّي وَاَللّهِ مَا أَعْلَمُ إلّا مَا عَلّمَنِي اللّهُ وَقَدْ دَلّنِي اللّهُ عَلَيْهَا ، فَهِيَ فِي هَذَا الشّعْبِ ، قَدْ حَبَسَتْهَا شَجَرَةٌ بِزِمَامِهَا

Ertinya: “Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mengetahui (yang ghaib) kecuali apa yang Allah ajarkan padaku dan Allah telah menunjukkan tempat unta itu. Ia berada di lembah ini kerana talinya tersangkut pada sebatang pokok.”

Setelah dicari, benar unta itu ditemui oleh para sahabat pada tempat dan keadaan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam).

Subhanallah! Kisah ini menjelaskan betapa yang ghaib adalah milik Allah. Baginda sebagai seorang manusia tidak mengetahui yang ghaib. Banyak firman Allah menyokong prinsip ini, firman Allah:

قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, DAN AKU PULA TIDAK MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am[6:50]).

Juga firmanNya:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. DAN KALAU AKU MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB, TENTULAH AKU AKAN MENGUMPULKAN DENGAN BANYAKNYA BENDA YANG MENDATANGKAN FAEDAH DAN (TENTULAH) AKU TIDAK DITIMPA KESUSAHAN. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman" (al-A’raf[7:188]).

Usahkan si bomoh, para rasul yang saban hari didampingi Jibril AS pun tidak mengetahui perkara ghaib kecuali setelah ianya didedahkan oleh Allah dengan tujuan tertentu. Firman Allah:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)

Ertinya: "TUHANLAH SAHAJA YANG MENGETAHUI SEGALA YANG GHAIB, MAKA DIA TIDAK MEMBERITAHU PERKARA GHAIB YANG DIKETAHUINYA ITU KEPADA SESIAPAPUN, - "MELAINKAN KEPADA MANA-MANA RASUL YANG DI REDAINYA (UNTUK MENGETAHUI SEBAHAGIAN DARI PERKARA GHAIB YANG BERKAITAN DENGAN TUGASNYA; APABILA TUHAN HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn[72:26-27]).

Kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah supaya kita tahu mana batasan yang boleh dan tidak boleh dicerobohi manusia. Jangan sampai kita dibodohkan oleh bomoh yang mencari untung atas kejahilan manusia tentang hakikat agama.



* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...