LUPA AL-QURAN YANG PERNAH DIHAFAZ ADALAH "MUSIBAH" UNTUK DIRI SENDIRI?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Sukarnya dahulu bermujahadah menghafaz al-Quran. Bukan sehari tempoh diambil untuk menghafaz al-Quran tetapi mencecah tahun. Sungguh rugi jika pengorbanan bersusah menghafaz itu hilang kerana kurangnya masa mengulangkaji hafazan.
Lupa al-Quran yang pernah dihafaz adalah musibah yang besar. Firman Allah:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari kamu (al-Syura [42:30]).
Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir mengutip riwayat dari al-Dhahhak (seorang Tabiin):
عن الضحاك قال "ما نعلم أحدا حفظ القرآن ثم نسـيه إلا بذنب ثم قرأ الضحاك "وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفو عن كثير" ثم يقول الضحاك وأي مصيبة أعظم من نسيان القرآن.
Ertinya: Tidak kami ketahui seseorang yang menghafaz al-Quran kemudian lupa hafazannya melainkan kerana dosa, kemudian Beliau membaca ayat (di atas)...Beliau menyambung: MUSIBAH APA LAGI YANG PALING BESAR BERBANDING LUPA AL-QURAN (yang pernah dihafaz)? (Tafsir Ibn Kathir).
Kepada sesiapa yang pernah menghafaz al-Quran di luar sana. ....hendaklah sentiasa mengulangkaji hafazan. .carilah masa kerana ia adalah tanggungjawab kita yang bakal disoal di akhirat kelak.
Ya Allah! Bantulah aku dan semua penghafaz al-Quran agar sentiasa menjaga al-Quran.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
No comments:
Post a Comment