Saturday, July 16, 2016

JIKA RAPTAI (REHEARSAL) DUNIA PENTING, RAPTAI AKHIRAT ADALAH SATU KEMESTIAN...

JIKA RAPTAI (REHEARSAL) DUNIA PENTING, RAPTAI AKHIRAT ADALAH SATU KEMESTIAN..

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Berpeluh, gementar, takut, risau dan gelabah. Tak tahu bagaimana langkah yang harus diatur, bila masanya kepala perlu menunduk hormat, bila masanya tangan perlu dihulurkan dan apa ucapan yang perlu dituturkan setelah anugerah kebesaran disambut tangan. Hati pastinya menyesal seraya berkata:

"Mengapalah aku tidak dipanggil untuk raptai terlebih dahulu? "

Bayangkan bagaimana jadinya jika di saat akhir anda diarahkan menggantikan orang lain menerima anugerah kebesaran dari Yang Dipertuan Agung tanpa raptai?

Jiwa tambah bergetar apabila diberitahu upacara yang anda hadiri akan disiar terus secara lansung di TV ke seluruh negara.

Dalam banyak urusan besar di dunia raptai memang sangat diperlukan bagi mengelak kesilapan yang bakal mengaibkan diri atau melanggar protokol majlis.

Dalam dakwah pun kadangkala perlu ada raptai. Lihat sahaja bagaimana nabi Musa AS diraptaikan dengan 2 mukjizat besarnya sebelum berhadapan dengan Fir'awn.

Mengapa perlu raptai? Jika tiada raptai,  sudah pasti Musa AS akan bertempiaran lari terlebih dahulu apabila tongkatnya bergeletik bertukar menjadi ular ajaib. Jika Musa membuka langkah seribu kerana terkejut dengan mukjizatnya,  maka cacatlah seruan dakwahnya. Lalu bukan  Fir'awn mendapat hidayah, sebaliknya Musa akan diperlecehkan Fir'awn sebagai si kecut perut. Lihat ayat ini:

وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَا مُوسَىٰ أَقْبِلْ وَلَا تَخَفْ ۖ إِنَّكَ مِنَ الْآمِنِينَ

"Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu". (Ia pun mencampaknya), maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): "Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang yang beroleh aman (al-Qasas [28:31]).

BAGAIMANA PULA GERAK ANDA APABILA MENGHADAP RAJA SEGALA RAJA DI PADANG MAHSYAR KELAK? SUNGGUH RAPTAI AKHIRAT LEBIH UTAMA DIJALANI. ..

Membaca dan menghayati al-Quran yang sarat dengan berbagai peristiwa akhirat sebenarnya suatu SIGNIFIKAN RAPTAI AKHIRAT bagi orang beriman.

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا

Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu (al-Isra'[17:46]).

Di kala orang yang mengingkari akhirat kegemparan sebangkitnya mereka dari kubur, orang beriman yang selalu membaca serta menghayati al-Quran akan berkata dengan tenang:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَا ۜ ۗ هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ

(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!, (Yasin [36:51-52]).

Juga firmanNya:

لَا يَحْزُنُهُمُ الْفَزَعُ الْأَكْبَرُ وَتَتَلَقَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ هَٰذَا يَوْمُكُمُ الَّذِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: "Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu" (al-Anbiya'[21:103]).

AYUH SEMARAKKAN RAPTAI AKHIRAT DENGAN TADABBUR AL-QURAN SEMPENA RAMADHAN LEPAS..

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...