DOA BIADAB ORANG MEKAH
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha (Sad[38:16]) di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 12 Julai 2016. Antara isunya adalah kebiadaban orang Mekah berdoa dalam nada sinis kepada Allah.
“Ya Allah! Kami ini jahat dan menentang ajaran agamaMu. Lalu apa ditunggu lagi? Segerakan azabMu kepada kami yang jahat ini.”
Jika kita berada berhampiran manusia biadab yang sanggup berdoa sebegitu, bukan hanya tangan bahkan kaki kita akan segera diangkat bagi menghinggap muka si pembaca doa tersebut. Biadab dan sungguh kurang ajar! Jika dialog ini muncul dalam drama bersiri “Tanah Kubur” yang digerakkan oleh Tok Adi, pastinya si pembaca doa ini akan segera jatuh terbongkang mati direnggut nyawa oleh malaikat maut. Kemudian mayatnya akan bertukar menjadi hitam lagi busuk. Ketika mayat mahu diusung ke kubur, pastinya semua yang memikul akan terhoyong hayang mengatur tapak dek beratnya mayat manusia biadab itu. Itu kemungkinan babak yang akan muncul dalam drama tersebut.
Rupanya lafaz doa di atas bukan fiksyen atau rekaan saya tetapi ia pernah diucapkan dalam sinis oleh tokoh Quraysh di Mekah. Firman Allah:
وَقَالُوا رَبَّنَا عَجِّلْ لَنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ الْحِسَابِ
Ertinya: Dan mereka pula berkata (secara mengejek): " WAHAI TUHAN KAMI! SEGERAKANLAH AZAB YANG DITETAPKAN UNTUK KAMI, SEBELUM DATANGNYA HARI HITUNGAN AMAL (YANG DIKATAKAN OLEH MUHAMMAD ITU)" (Sad [38:16]).
Bukan sekali mereka mengejek Rasulullah SAW dengan doa sebegitu, ia turut disebut Allah dalam ayat lain:
وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (32) وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (33)
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (musyrik Makkah) berdoa (secara mengejek): "WAHAI TUHAN KAMI! JIKA BETUL (AL-QURAN) ITU IALAH YANG BENAR DARI SISIMU, MAKA HUJANILAH KAMI DENGAN BATU DARI LANGIT, ATAU DATANGKANLAH KEPADA KAMI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA". Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun) (al-Anfal [8:32-33]).
Doa biadab mereka tidak dimakbulkan Allah berkat kewujudan Rasulullah SAW dan istighfar orang Islam di Mekah. Jika tidak kerana 2 penghalang ini, sudah pasti mereka akan segera maut bergelimpangan.
Mengejek para nabi rupanya bukan benda baru. Ia sudah menjadi “senjata mental” zaman berzaman yang digunakan oleh manusia degil sebelum zaman Rasulullah SAW lagi. Inilah tabiat manusia, sejarah mereka sentiasa berulang skripnya. Apa yang membezakan mereka hanyalah masa, watak dan lokasi peristiwa. Mari kita lihat beberapa contoh doa ejek yang pernah dilakukan umat lampau. Allah menceritakan bagaimana kaum nabi Lut pernah mengejek baginda AS:
أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (29)
Ertinya: (Nabi Lut AS menegur kaumnya dengan berkata) "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsumu dengan liwat)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat perhimpunan kamu?" MAKA KAUMNYA TIDAK MENJAWAB SELAIN DARIPADA BERKATA (SECARA MENGEJEK-EJEK): "DATANGKANLAH KEPADA KAMI AZAB DARI ALLAH (YANG ENGKAU JANJIKAN ITU) JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG YANG BENAR" (al-‘Ankabut [29:29]).
Nabi Saleh AS turut menerima nasib yang sama sehingga mendorong baginda menasihati kaumnya:
قَالَ يَا قَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (46)
Ertinya: Nabi Soleh berkata (kepada puak kafir): "WAHAI KAUMKU, MENGAPA KAMU MINTA DISEGERAKAN AZAB (DENGAN PERBUATAN BIADAB KAMU), berbanding mendahulukan iman yang mendatangkan kebaikan kepada kamu? Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." (al-Naml [27:46])
Nabi Hud AS turut menerima sindiran yang sama:
قَالُوا أَجِئْتَنَا لِنَعْبُدَ اللَّهَ وَحْدَهُ وَنَذَرَ مَا كَانَ يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ
Ertinya: Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) MAKA DATANGKANLAH AZAB YANG ENGKAU JANJIKAN KEPADA KAMI, JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG YANG BENAR" (al-A’raf [7:70]).
Kisah mereka yang serba biadab ini bukan sekadar cerita penghias lembaran al-Quran. Ia mengajar kita agar tidak biadab terhadap agama Allah. Biadab pula banyak dimensinya dan bukan hanya dengan ejekan atau sindiran kepada agama. Antara biadab agama yang paling besar adalah menolak ajaran Allah kerana berasa diri sudah cukup pandai. Atau mencipta ajaran baru dalam agama dengan anggapan Allah dan Rasulullah SAW tidak cukup pandai menyampaikan agama ini. Mohon dijauhkan Allah rasa “pandai dalam sesat” sebegini.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment