Friday, July 29, 2016

BUNUH KUDA DEMI TUHAN DIGANTI ANGIN?

BUNUH KUDA DEMI TUHAN DIGANTI ANGIN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Sad [38:30-33]) pada 18 Mac 2016. Antara isunya adalah kisah karut (Isra’iliyyat) yang mengatakan nabi Sulayman AS menyembelih kuda perangnya yang melalaikan baginda dari solat Asar. Berikutan pengorbanan baginda itu, kehilangan pasukan kuda perangnya diganti tentera angin oleh Allah.

Apalah salah si kuda? Kuda yang berjasa menjadi mangsa kelalaian tuannya. Umpamanya kereta yang menyebabkan tuannya disaman polis langsung dibakar sebagai lambang insaf. Jika itu benar berlaku, tuan punya kereta bukannya insaf tetapi bodoh yang tiada taranya. Itulah bahaya kisah Isra’iliyyat yang meresap masuk ke dalam pengajian Tafsir al-Quran.

Mudah sahaja nama suci para nabi tercemar. Apa yang disebut Allah dalam ayatNya sudah jelas lagi bersuluh, nabi Sulayman AS sangat menghargai kuda perangnya dengan gosokan mesra. Firman Allah:

وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ (30) إِذْ عُرِضَ عَلَيْهِ بِالْعَشِيِّ الصَّافِنَاتُ الْجِيَادُ (31) فَقَالَ إِنِّي أَحْبَبْتُ حُبَّ الْخَيْرِ عَنْ ذِكْرِ رَبِّي حَتَّى تَوَارَتْ بِالْحِجَابِ (32) رُدُّوهَا عَلَيَّ فَطَفِقَ مَسْحًا بِالسُّوقِ وَالْأَعْنَاقِ (33)

Ertinya: Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman dia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat)[30]. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari [31]. Maka Nabi Sulaiman berkata: " Sesungguhnya aku sangat menyukai kuda kerana mengingati (kehendak jihad dengan kuda oleh) Tuhanku, sehingga kuda tersebut lenyap dari pandangan" [32]. (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orangnya): "Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka dia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor) (Sad [38:30-33]).

Beberapa kitab Tafsir tersilap mentafsirkan perkataan dalam ayat ini iaitu
– عن ذكر ربي – (1) lebih dari daripada mengingati Tuhanku dan perkataan – حتى توارت بالحجاب – (2) sehingga matahari hilang (terbenam) dari pandangan.

Jika kedua terjemahan di atas digunakan, maka ayat di atas bertukar nada sesal “Aduhai! Aku sukakan pertunjukan kuda ini LEBIH DARIPADA MENGINGATI TUHANKU SEHINGGA MATAHARI HILANG DARI PANDANGAN. Berikutan tafsiran ini, lahirlah kisah baginda AS terlewat solat Asar kerana asyiknya baginda pada urusan dunia. Tambah parah, cerita yang lebih karut menyusul iaitu demi menyempurnakan taubatnya yang lewat solat Asar, baginda menyembelih semua kuda perangnya dan memberi sedekah semua dagingnya.

Subhanallah! Mustahil seorang nabi yang maksum berkelakuan begini. Jika benar baginda leka kepada pertunjukan kuda itu sekalipun, apa salah si kuda? Orang lain buat silap lalu patutkah orang lain menanggung derita? Tambahan pula, mustahil Allah menyuruh baginda SAW menjadikan nabi Sulayman AS sebagai contoh (dalam ayat 30) jika kelakuan baginda pelik dan kejam tak bertempat.

Lalu apa tafsiran sebenar kepada ayat di atas? Bagi mencerahkan yang kelam, menjelaskan yang kabur kita perlu mentafsirkan ayat yang disilap tafsir itu secara tepat dan betul, iaitu – عن ذكر ربي –
(1) “KERANA MENGINGATI PERINTAH TUHANKU” dan perkataan – حتى توارت بالحجاب
– (2) SEHINGGA KUDA ITU (DEK KEPANTASANNYA BERLARI) HILANG DARI PANDANGAN. Dengan tafsiran ini maksud sebenar perkataan akan menjadi “AKU SUKAKAN SEMUA KUDA PERANG INI KERANA MENGIKUT PERINTAH TUHANKU (DALAM MENGGUNAKAN KUDA UNTUK JIHAD PADA ALLAH). KUDANYA LARI DENGAN PANTAS SEHINGGA DALAM SEKELIP MATA SAHAJA MEREKA LENYAP DARI PANDANGAN (DEK JAUHNYA JARAK MEREKA DARI NABI SULAYMAN) (Tafsir al-Munir).

Ternyata tafsiran ini sangat sesuai dengan ayat berikutnya yang menggambarkan baginda menghargai semua kudanya dengan usapan mesra. Baginda menyukai kuda perangnya yang tangkas berlari kerana mengikut saranan Allah sebagaimana yang tertera dalam kitab Tawrat (Tafsir al-Razi). Al-Quran juga berulang kali memuji kuda sebagai alat menjayakan jihad seperti pada surah al-Anfal [8:60] dan surah al-‘Adiyat [100:1-5].

Mengingati perintah Tuhan dalam urusan kuda? Benar! Kuda adalah haiwan berharga yang sangat berguna dalam jihad pada jalan Allah. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:

الْخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الْخَيْرُ الْأَجْرُ وَالْمَغْنَمُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Pada ubun-ubun kuda tersimpul kebaikan sehingga hari kiamat iaitu pahala dan harta rampasan perang (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Cerita yang dramatik dengan perencah sedih, sesal serta geram seperti kisah karut nabi Sulayman yang lewat solat Asar dan penyembelihan kuda memang sedap didengar, namun jika ia disandarkan pada para nabi maka ia wajib ditolak. Selepas ini jika terpandang kuda yang tangkas berlari segeralah kenang jasa para nabi yang memanafaatkan ni’mat haiwan ini dalam menegakkan agama Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...