EJEK, SINDIR DAN CACI BUKAN BAHASA ORANG BERIMAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir (Hud [11:38-39]) pada 2 September 2015. Antara isunya adalah sikap biadab penentang nabi Nuh AS menggunakan bahasa ejekan kepada baginda.
“MUKA MERAH PADAM, TELINGA BERDESING MENAHAN MARAH, SUHU HATI YANG TENANG NAIK MENDADAK!” Itulah reaksi manusia normal apabila terkena tembakan peluru ejek, sindir dan caci. Luka tembakan ini tidak mudah dirawat bahkan ia mampu meninggalkan parut jiwa seumur hidup.
Mengejek, menyindir pedas pihak yang tidak sefahaman dengan kita memang sedap dan enak. Ia menjadi semakin sedap dan enak apabila ditambah rasa oleh perencah syaitan. Sungguh! Itulah kepakaran syaitan:
وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا
Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hambaKu (yang beriman), “SUPAYA MEREKA BERKATA DENGAN KATA-KATA YANG AMAT BAIK (KEPADA ORANG YANG MENENTANG KEBENARAN); SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENGHASUT DI ANTARA MEREKA (YANG MUKMIN DAN YANG MENENTANG); SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU ADALAH MUSUH YANG AMAT NYATA BAGI MANUSIA” (al-Isra’ [17:53]).
Nabi Nuh AS adalah Rasul pertama yang terkena tembakan peluru ejek, sindir dan caci kaumnya. Bukan setakat menolak dakwah baginda, mereka menyindir baginda dengan ayat sinis pedas:
أتحوّلت نجارًا بعد النبوّة ، وتعمل السفينة في البر
Ertinya: “(Tak kami sangka Wahai Nuh) Adakah kamu sudah bertukar menjadi tukang kayu pula selepas mendapat pangkat kenabian? Boleh pula kamu membina kapal di daratan? (Tafsir al-Tabari).
Kisah ejeken kaum baginda ini direkodkan secara abadi dalam al-Quran sebagai suatu pengajaran kepada umat Islam yang “MEMBACA DAN BERIMAN DENGAN AL-QURAN.” Apa mesejnya? “JANGAN SESEKALI KAMU MENIRU BAHASA MEREKA”:
وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ قَالَ إِنْ تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنْكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ (38) فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَنْ يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُقِيمٌ (39)
Ertinya: Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan setiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, “MEREKA MENGEJEK-EJEKNYA.” Nabi Nuh pun menjawab: "Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu. Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak" (Hud [11:38-39]).
Seakan itulah bahasa kebanyakan manusia degil yang melawan rasul mereka:
وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِنْ قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
Ertinya: Dan demi sesungguhnya! TELAH DIEJEK BEBERAPA RASUL SEBELUMMU, LALU ORANG YANG MENGEJEK DI ANTARA MEREKA DITIMPAKAN (BALASAN AZAB) BAGI APA YANG MEREKA TELAH PEROLOK-OLOKKAN ITU (al-An’am [6:10] & al-Anbiya’[21:41]).
Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak terlepas dari tembakan peluru ejek, sindir dan caci ini. Allah menyebut dalam surah al-Tawbah bagaimana orang Munafiq Madinah selalu sahaja melepaskan peluru tersebut kepada Rasulullah:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِلَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Ertinya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang YANG MENYAKITI NABI SAMBIL MEREKA BERKATA: "BAHAWA DIA (NABI MUHAMMAD) ORANG YANG SUKA MENDENGAR (DAN PERCAYA PADA APA YANG DIDENGARNYA)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu". Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Tawbah [9:61]).
Dalam peristiwa lain, para sahabat berlumba memberikan sedekah setelah turunnya ayat galakan memberi sedekah. Apabila yang kaya memberikan jumlah sedekah yang banyak orang munafiq mengejek: “ITU TANDA RIYAK DAN MAHU MENUNJUK.” Apabila sahabat yang miskin membawa secupak kurma untuk sedekah, mereka juga menembak ayat pedas: “SUNGGUH ALLAH TAK MEMERLUKAN SEDEKAHNYA YANG SEKADAR SECUPAK ITU.” Sungguh beracun lidah mereka, tiada sesuatu pun terlepas dari ejekan mereka. Berikutan itu, Allah membalas ejekan mereka dengan penurunan ayat ini (Sahih al-Bukhari & Muslim):
الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Ertinya: Orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang yang beriman mengenai sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejeknya, - Allah akan membalas ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Tawbah[9:79]).
Budaya mengejek bukanlah budaya peninggalan Rasulullah SAW, tetapi ia bukti kebebalan musuh para nabi. Janganlah pula alasan “MENYURUH YANG MA’RUF DAN MENCEGAH YANG MUNGKAR” menjadi sebab halalnya tembakan ejek, sindir dan caci kita. Renung firman Allah ini:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim (al-Hujurat [49:11]).
Konsep mudah dalam interaksi dengan al-Quran, JIKA SESUATU AYAT DIMULAI DENGAN LAFAZ “WAHAI ORANG BERIMAN,” ia bermaksud kejayaan mematuhi arahan dalam ayat agak sukar dipenuhi dan hanya mampu dilakukan oleh orang beriman. Jika masih gagal mematuhinya, darjat iman masih perlu diperbaiki.
Selepas ini jika mahu “melepaskan ayat ejek, sindir dan caci” anda di mana sahaja (seperti dalam status facebook), fikirlah sejenak apakah faedah dari tembakan itu?
Letak akal sebelum lidah atau jari jemari. Hayatilah kata-kata hikmah yang dinaqalkan oleh Tabi’in tersohor Abdullah Ibn al-Mubarak:
إن لسان الحكيم من وراء قلبه ، فإذا أراد أن يقول يرجع إلى قلبه ، فإن كان له قال ، وإن كان عليه أمسك ، وإن الجاهل قلبه في طرف لسانه ، لا يرجع إلى القلب ، فما أتى على لسانه تكلم به
Ertinya: Sesungguhnya lidah si Bijaksana berada di hadapan hatinya. Apabila dia mahu berkata sesuatu dia akan merujuk kepada hatinya terlebih dahulu. Jika katanya memberi manafaat padanya barulah dia akan berkata-kata, manakala jika katanya itu akan menjadi hujah (menentangnya) dia akan menahan (lidahnya dari berbicara). Orang jahil pula hatinya berada pada hujung lidahnya. Dia tidak merujuk kepada hatinya dan apa sahaja terlintas di lidah terus dituturkan (al-Zuhdu Wa al-Raqa’iq).
Teruskan menegur dalam pakaian akhlak Islam yang sebenar.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment