AHLI KITAB AKAN BERIMAN DENGAN KERASULAN ISA AS SEBELUM MATI?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Ahad (al-Nisa’[4:159]) pada 14 Jun 2015. Antara isunya adalah makna sebenar iman ahli kitab kepada kerasulan nabi Isa AS sebelum kematian mereka.
“Aku memang musykil setiap kali membaca ayat ini! Aku biasa membunuh Yahudi di medan tempur, namun belum pernah aku mendengar mereka mengaku kerasulan Isa sebelum mereka mati.”
Itulah soalan yang ditimbulkan oleh al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi seorang panglima perang Bani Umayyah yang terkenal dengan kebengisannya setiap kali beliau membaca ayat ini:
وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا
Ertinya: “DAN TIDAK ADA SEORANG PUN DARI KALANGAN AHLI KITAB MELAINKAN DIA AKAN BERIMAN KEPADA NABI ISA SEBELUM MATINYA” dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka (al-Nisa’[4:159]).
Kemuyskilan al-Hajjaj itu dijawab oleh Syahar bin Husyab: “Orang Yahudi apabila hampir menemui ajal, malaikat datang memukul wajah dan punggungnya seraya berkata: Wahai musuh Allah! Isa AS datang sebagai nabi, namun kamu mendustainya. Si Yahudi itu pun berkata: Aku beriman dengan kerasulannya sekarang. Kemudian dikatakan juga kepada orang Nasrani: Isa datang kepadamu sebagai nabi, namun kamu mengatakan dia adalah Allah dan anak Allah. Si Nasrani pun berkata: Aku beriman sekarang bahawa dia adalah hamba Allah (dan bukannya anak Tuhan). Pada ketika itu semua ahli kitab mulai beriman tentang kerasulan baginda, akan tetapi saat itu iman mereka sudah tidak lagi berguna (Tafsir al-Razi).
Jika kita berpegang pada pandangan ini, ia seiring dengan sia-sianya taubat Fir’awn pada “masa kecederaan:”
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آَمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آَمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ (90) آَلْآَنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (91)
Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "AKU PERCAYA, BAHAWA TIADA TUHAN MELAINKAN YANG DIPERCAYAI OLEH BANI ISRAIL, DAN AKU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BERSERAH DIRI (MENURUT PERINTAH)". (ALLAH BERFIRMAN): "ADAKAH SEKARANG (BAHARU ENGKAU BERIMAN), PADAHAL SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI DAHULU TELAH KUFUR DERHAKA, DAN ENGKAU TELAHPUN MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN? (Yunus [10:90-91]).
Juga sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Ertinya: Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi rohnya belum sampai ke kerongkong (Sunan al-Tirmidhi &Ibn Majah).
Pun begitu, ada juga tafsiran kedua terhadap ayat al-Nisa’ di atas yang menyatakan semua ahli kitab pada akhir zaman akan beriman kepada kerasulan nabi Isa AS setelah baginda turun ke bumi kelak. Sabda Rasulullah SAW:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ وَيَفِيضَ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ حَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا }
Ertinya: Demi yang jiwaku berada dalam tanganNya (kuasaNya), sudah semakin hampir Isa anak Maryam akan turun kepada kamu sebagai pemerintah yang adil. (Setelah turun) Beliau akan mematahkan segala salib (membatalkan agama Kristian), membunuh babi (mengharamkan penggunaan dan pemakanan babi), mengenakan jizyah, melimpahkan harta sehingga seorang pun tidak akan menerimanya. Bahkan satu sujud (solat) jauh lebih bernilai dari dunia dan isinya. Abu Hurayrah kemudiannya berkata: “Jika kamu mahu, bacalah ayat ini (al-Nisa’ [4:159]).
Subhanallah! Inilah bukti betapa hebatnya mukjizat al-Quran. Ayatnya satu tetapi maknanya mampu bercabang dua dengan kebenaran masing-masing. Amat rugi jika seorang yang mengaku Muslim tetapi gagal meni’mati mukjizat ini untuk makanan minda. Ya Allah! Berikan kekuatan kepada kami untuk terus memahami dan menghayati al-Quran.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment