Thursday, May 19, 2016

JADIKAN IA WARNA PENGHIAS BUKAN KAPAK PERUNTUH BANGUNAN

JADIKAN IA WARNA PENGHIAS BUKAN KAPAK PERUNTUH BANGUNAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Boleh sahaja Allah cipta manusia dalam satu warna pemikiran sahaja bak robot yang tunduk pada program yang direncanakan penciptanya, namun begitu Allah Maha Pengasih kerana memberikan manusia peluang merasai “kemanisan berbeza pendapat.”  Perbezaan pandangan secara sihat sebenarnya amat manis dan berzat kerana ia menjadikan sudut pandang manusia semakin luas. Bayangkan betapa bosannya dunia kita jika warna bunga di taman hanya hitam dan putih.

Manusia bijak akan menerima kepelbagaian warna bunga dan daun. Daun hijau muncul dan sesuai tumbuh pada sesetengah tempat, manakala daun merah atau kuning pula cantik jika tumbuh di tempat yang sesuai untuknya. Orang yang menyedut oksigen yang dilepaskan si daun hijau tidak boleh mengatakan si daun merah atau kuning tidak dapat dalam membekalkan oksigen seperti si daun hijau. Sikap penafian tuntas dalam perbezaan pandangan akan menimbulkan suasana yang keruh. Apabila kaca mata pihak berselisih sudah keruh, jalan kebenaran dan perpaduan yang jauh lebih kritikal akan sukar ditemui. Lapangkan minda anda kerana kerencaman pemikiran manusia adalah suatu lambang kehebatan Allah. Firman Allah:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (118) إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (119)

Ertinya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)“(Hud[11:118-119]).

Rasulullah SAW juga meraikan perbezaan pendapat:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَنَا لَمَّا رَجَعَ مِنْ الْأَحْزَابِ لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمْ الْعَصْرُ فِي الطَّرِيقِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا نُصَلِّي حَتَّى نَأْتِيَهَا وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ نُصَلِّي لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ

Ertinya: Ibn Umar berkata: Selepas pulang dari perang Ahzab, Rasulullah bersabda pada kami: “Jangan ada sesiapa yang bersolat Asar kecuali di perkampungan Yahudi Bani Qurayzah.” Sebahagian sahabat menangguhkan solat Asar, manakala sebahagian yang lain menunaikannya di tengah jalan sebelum sampai ke sana. Rasulullah tidak memberikan apa komentar pada kedua pendapat itu (Sahih al-Bukhari).

Selain itu Allah juga menegaskan rasa “AKU YANG PALING BENAR” adalah suatu fitrah manusia yang lahir bersama ego mereka:

وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ (52) فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (53)

Ertinya: Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian umat para rasul itu berpecah dalam urusan agama mereka kepada beberapa pecahan, SETIAP GOLONGAN BERGEMBIRA DENGAN APA YANG ADA PADA MEREKA (al-Mu’minun[23:52-53]).

Mengapa Allah menyebut perkara ini dalam firmanNya? Tidak lain bagi menyedarkan umat Islam betapa perbezaan pandangan tidak dapat dipisahkan dari manusia. Oleh itu, kita perlu berhemah dalam perbezaan pandangan dengan syarat ia berlaku  dalam lingkungan dalil yang masih terbuka untuk perbincangan (Zanni). Jika dalilnya Qat’i (pasti dan tuntas) lagi terang bak suluhan matahari di tengahari, maka telanlah sahaja dan usah berdalih atas alasan khilaf.

Berhemahlah dalam perbezaan pandangan. Jangan sampai kerakusan kita mempertahankan pandangan menjadi kapak meruntuhkan bangunan ummah, sebaliknya jadikan ia sebagai cat penghias yang akan menjadikan bangunan Islam indah berseri dengan warna yang berbagai.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...