Saturday, March 19, 2016

YUSUF MEMILIH MUSIBAH DUNIA DEMI MENGELAKKAN MUSIBAH AGAMA

YUSUF MEMILIH MUSIBAH DUNIA DEMI MENGELAKKAN MUSIBAH AGAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:32-33]) pada  16 Mac 2016. Antara isunya adalah rahsia musibah dunia dan musibah agama.

“Pilih antara dua! Sedap memakan dosa atau hidup susah tanpa dimurkai Allah!”

Jika 2 pilihan di atas bertembung, apa agaknya pilihan anda? Ramai yang tak tahu rupanya terdapat 2 jenis musibah dalam hidup kita sebagai orang Islam. Keduanya boleh menimpa siapa sahaja tanpa mengira pangkat rohani. Buktinya, nabi Yusuf AS pernah ditawarkan oleh Zulaykha agar “MEMUSIBAHKAN AGAMANYA” dengan ajakan zina:

قَالَتْ فَذَلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ وَلَقَدْ رَاوَدْتُهُ عَنْ نَفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آَمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونَنْ مِنَ الصَّاغِرِينَ

Ertinya: (Isteri Aziz Mesir atau Zulaikha) berkata (kepada wanita yang terpotong tangan mereka kerana kagum dengan ketampanan Yusuf): "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan DEMI SESUNGGUHNYA KALAU DIA TIDAK MAHU MELAKUKAN APA YANG AKU SURUH TENTULAH DIA AKAN DIPENJARAKAN, DAN AKAN JADI DARI ORANG YANG HINA." (Yusuf[12:32]).

Sesetengah manusia sangat berduka ketika ditimpa musibah dunia yang merangkumi rugi, mati, sakit, sedih dan sebagainya. Malangnya sangat sedikit yang risaukan “MUSIBAH AGAMA” yang mengundang kemurkaan Allah. Ketika berhadapan kata dua “antara zina dan penjara” oleh Zulaykha, nabi Yusuf AS sangat risaukan agamanya terancam. Oleh itu baginda “RELA DITIMPA MUSIBAH DUNIA” dan merengkok tanpa dosa dalam penjara. Kerelaan itu dilantunkan dalam doanya kepada Allah:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Ertinya: Yusuf (merayu kepada Allah dengan) berkata: "WAHAI TUHANKU! AKU LEBIH SUKA KEPADA PENJARA DARI APA YANG PEREMPUAN ITU AJAK AKU KEPADANYA. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku dari orang yang tidak mengamalkan ilmunya“(Yusuf[12:33]).

Bukan hanya nabi Yusuf AS berdoa begitu, ia turut dipohon oleh Rasulullah SAW:

وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا

Ertinya: Dan janganlah Engkau (Ya Allah) timpakan musibah pada agama kami (Sunan al-Tirmidhi).

Perlu juga diingat, musibah dunia yang tidak diuruskan dengan ilmu, iman dan taqwa boleh bertukar menjadi musibah agama. Buktinya segelintir manusia yang jahil serta rapuh imannya kepada Qadha’ dan Qadar akan menyalahkan Allah kerana menguji mereka dengan berbagai ujian. Oleh itu, umat Islam wajib tahu teknik menguruskan musibah dunia agar ia tidak naik taraf menjadi musibah agama.

Allah pula sangat Pengasih kepada Yusuf AS, pengorbanan baginda menjaga Hak Allah dan rela memilih kesempitan penjara diganti kuasa yang luas di bumi Mesir pada kemudian hari. Kuasa ini pula diturunkan sendiri oleh raja Mesir:

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ (54) قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (55) وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (56)

Ertinya: Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan itu), raja (Mesir) berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "SESUNGGUHNYA ENGKAU PADA HARI INI (WAHAI YUSUF), SEORANG YANG BERPANGKAT TINGGI, LAGI DIPERCAYAI DI KALANGAN KAMI ". Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang yang berbuat kebaikan (Yusuf [12:54-56]).

Dunia ini adalah negeri ujian. Setiap orang sudah direncanakan ujiannya oleh Allah semenjak azali. Oleh kerana kita semua tidak mungkin bebas dari ujian dan musibah, pastikan agama kita tidak diuji Allah atau ditimpa musibah. Contohilah kebijaksanaan nabi Yusuf AS mempertahankan agamanya dari dirobek musibah. Semoga kebijaksanaan kita menjaga agama akan membuahkan rezeki bersama baginda AS dalam syurga kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...