MEWARISI DAN BUKAN MENCAPAI SYURGA.
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:85]) pada 24 Februari 2015. Antara isunya adalah doa nabi Ibrahim AS agar diwariskan padanya syurga.
Si fulan mendapat kekayaan setelah berusaha, jatuh tersungkur serta bangun selama puluhan tahun. Keadaannya itu pasti sangat berbeza dengan si fulan yang menjadi kaya semalaman berikutan "pewarisan harta" orang lain. Lazim difahami "mewarisi" sesuatu biasanya agak tidak setimpal dengan usaha.
Dalam doanya, nabi Ibrahim AS mengatur bahasa yang sangat halus. Pemilihan perkataan yang tepat ini jelas menunjukkan sikap rendah diri dan "kenalnya" baginda tentang hakikat kuasa sebenar Allah:
وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ
Ertinya: "Dan jadikanlah daku dari orang yang MEWARISI SYURGAMU Jannatun-Naiim; (al-Syu’ara’ [26:85]).
Perkataan pewarisan syurga juga disebut dalam surah lain. Setelah selesai menerangkan 7 sifat orang beriman, Allah memaklumkan bahawa mereka bakal "mewarisi" syurga kelas pertama:
أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
Ertinya: Mereka itulah orang yang berhak MEWARISI - Yang akan MEWARISI SYURGA FIRDAUS; mereka kekal di dalamnya (al-Mu'minun [23:20-11]).
Soalnya mengapa mesti Allah menggunakan perkataan "PEWARISAN" dan bukan PENCAPAIAN? Ini kerana walau kita diberikan peluang hidup dan beramal tanpa henti selama sejuta tahun sekalipun, "nilai walau sekaki" tanah syurga pun belum mampu kita bayar.
Pun begitu, Allah dengan segala rahmatNya amat bermurah "MEWARISKAN" kita syurga seperti si miskin yang menjadi kaya sekelip mata kerana mewarisi harta orang lain tanpa perlu mengeluarkan setitik keringat pun. Ini juga bukti lain bahawa kita ke syurga bukan kerana amalan kita yang sangat "ciput" tetapi kerana rahmat Allah. Amal soleh kita pula boleh menjadi sebab terundangnya rahmat Allah (Tafsir al-Alusi).
Inilah sebabnya mengapa para rasul sangat istimewa. Bicara dan tutur kata mereka bukan calang-calangnya. Semua teratur dan penuh adab dengan Allah. Sungguh beruntung orang yang menjadikan para rasul sebagai ikutan mereka. Marilah kita menjadikan para rasul sebagai suri tauladan dalam setiap nafas kita semoga usaha kita itu akan mewariskan kita syurga bersama mereka di akhirat kelak sebagaimana firman Allah:
وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا
Ertinya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (DITEMPATKAN DI SYURGA) BERSAMA- SAMA ORANG YANG TELAH DIKURNIAKAN NIKMAT OLEH ALLAH KEPADA MEREKA, IAITU PARA NABI, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang yang Syahid, serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat) (al-Nisa'[4:69]).
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment