KISAH 3 ORANG YANG BENAR FIRASATNYA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:21]) pada 24 Februari 2016. Antara isunya adalah kisah kebenaran firasat Aziz Mesir dalam menilai Yusuf.
Pada waktu itu Yusuf hanya seorang anak kecil yang dianiaya abangnya dan dijual di pasar Mesir. Jika yang terpamer pada wajah Yusuf pun ia pastinya wajah sedih bercampur duka. Pun begitu, Aziz Mesir (gelaran pembesar Mesir) seakan nampak suatu “cahaya karisma” terpancar pada wajahnya. Cahaya ini seakan mendesak Aziz agar segera membeli Yusuf. Setelah membeli Yusuf, Aziz Mesir berpesan pada isterinya:
وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِنْ مِصْرَ لِامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Ertinya: DAN (SETELAH YUSUF DIJUALKAN DI NEGERI MESIR), BERKATALAH ORANG YANG MEMBELI YUSUF KEPADA ISTERINYA: "BERILAH DIA LAYANAN YANG SEBAIK-BAIKNYA; SEMOGA DIA BERGUNA KEPADA KITA, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Yusuf [12:21]).
Kata-kata Aziz kepada isterinya “SEMOGA DIA BERGUNA KEPADA KITA” rupanya suatu “PANDANGAN FIRASAT” yang terbukti kebenarannya selepas beberapa tahun. Ketika Mesir dilanda kemarau panjang, Yusuf AS yang memegang jawatan Menteri Kewangan pada waktu itu memang melimpahkan manafaat kebijaksanaannya mengurus tadbir Mesir kepada semua rakyat Mesir.
Ketika menghuraikan kisah ini, para ulama Tafsir membawa sebuah riwayat yang disandarkan kepada sahabat Rasulullah yang tersohor Abdullah bin Mas’ud (Tafsir al-Tabari):
أفرس الناس ثلاثة: العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا) = وأبو بكر حين تفرَّس في عمر = والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ )
Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;
(1) Aziz Mesir ketika dia nampak kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf pada firman Allah (Dan [setelah Yusuf dijual di negeri Mesir], berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; SEMOGA DIA BERGUNA KEPADA KITA, atau kita jadikan dia anak" (Yusuf[12:21]),
(2) Abu Bakar RA apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya dan,
(3) Perempuan dalam kisah nabi Musa (al-Qasas[28:26]).
Kisah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar RA sudah sedia maklum kepada kita, siapa pula perempuan dalam kisah nabi Musa AS? Beliau adalah anak perempuan lelaki Madyan yang menerima Musa sebagai tetamu. Kisahnya ketika menjadi pelarian di Madyan setelah membunuh orang Qibti Mesir secara tidak sengaja, Musa membantu 2 perempuan Madyan mengambil air. Setelah itu nabi Musa dijemput ayah perempuan tersebut sebagai tetamu. Pada waktu itulah perempuan ini berkata kepada ayahandanya:
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Ertinya: Seorang di antara 2 perempuan itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK ORANG YANG AYAH AMBIL BEKERJA IALAH ORANG YANG KUAT, LAGI AMANAH" (al-Qasas [28:26]).
Mendengar 2 kelayakan yang wujud pada Musa, ayah perempuan ini sangsi seketika. Bagaimana anaknya ini tahu kedua kualiti hebat itu dimiliki Musa AS sedangkan mereka baru sehari bertemu. Si anaknya menjelaskan:
قالت: إنه رفع الصخرة التي لا يطيق حملها إلا عشرة رجال، وإنه لما جئت معه تقدمتُ أمامهُ، فقال لي: كوني من ورائي، فإذا اجتنبت الطريق فاحذفي لي بحصاة أعلم بها كيف الطريق لأتهدّى إليه.
Ertinya: Perempuan itu berkata “Beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya (Tafsir Ibn Kathir).
Hebat sekali firasat perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Keupayaan manusia melihat dengan firasat yang disebut oleh Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ ثُمَّ قَرَأَ
{ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ }
Ertinya: Abu Sa’id al-Khudri menyebut Rasulullah bersabda “Beringatlah kamu dengan firasat (pandangan hati) orang beriman, kerana dia melihat (sesuatu) dengan (sinaran) cahaya (kurniaan) Allah. Baginda kemudiannya membaca ayat 75 surah (al-Hijr [15:75]) Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya (melihat secara firasat) (Sunan al-Tirmidhi).
Bagaimana kita memperolehi firasat yang tepat? Ringkasnya ia terbahagi dalam 2 kategori:
1) Rasa yang Allah campakkan ke dalam hati para wali-Nya yang soleh. Ini yang disebut oleh hadith di atas. Ia dipamerkan oleh firasat Sayyidina Abu Bakar.
2) Tanggapan berdasarkan pemerhatian luaran yang merangkumi aspek fizikal dan kelakuan seseorang. Ia boleh berlaku kepada manusia yang luas pengetahuannya seperti Aziz Mesir dan anak perempuan lelaki Madyan terdahulu.
Firasat terhasil apabila pandangan roh manusia yang suci bersambung dengan tanggapan akal, lalu ia dilihat oleh 2 mata fizikal. Apabila akal dan roh bebas dari kekangan nafsu, maka pandangan keduanya mampu bersatu dan melihat sesuatu secara tepat. Manusia biasa gagal melihat secara tepat hakikat sesuatu perkara kerana pandangan rohnya terhalang oleh gelojak nafsu, lalu akal dan mata zahir tidak dapat berhubung dengan pandangan batin yang dilihat oleh roh (ringkasan ulasan dipetik dari Tuhfat al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmidhi).
Ringkasnya, dekatilah diri kita kepada Allah bukan kerana mahu mencapai “ilmu firasat”, sebaliknya kerana ia adalah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Setelah “bank taqwa” dalam jiwa kita penuh terisi dengan segala kepatuhan kepada Allah, tidak mustahil Allah akan melimpahkan kurniaan-Nya kepada kita dalam bentuk pandangan firasat seiring dengan janji Allah:
وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Ertinya: Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, dan pastinya Allah akan mengajarkanmu (sesuatu yang berguna untukmu). Dan Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu (al-Baqarah[2:282]).
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment