Wednesday, March 16, 2016

BACA AL-QURAN DAN SOLAT ADALAH ZIKIR PALING BESAR

BACA AL-QURAN DAN SOLAT ADALAH ZIKIR PALING BESAR.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-‘Ankabut [29:45]) pada 15 Mac 2016. Antara isunya maksud sebenar perkataan ZIKIR kepada Allah adalah jauh lebih besar.

“Kita mesti banyak berzikir kepada Allah kerana ia adalah IBADAH YANG PALING BESAR sebagaimana difirmankan Allah dalam al-Quran:  وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ - dan sesungguhnya mengingati Allah adalah paling besar.”

Perkataan “ZIKIR” mempunyai makna yang sangat luas. Ia bukan sahaja aktiviti melantunkan sebutan nama Allah pada lidah dalam jumlah tertentu. Ia merangkumi SEBARANG KETAATAN KEPADA ALLAH, SEBARANG AKTIVITI MENGINGATINYA, MEMBACA SERTA TADABBUR AL-QURAN, MENDALAMI ILMU AGAMA, BERFIKIR KEAJAIBAN CIPTAANNYA dan sebagainya.

Dalam pengajian Tafsir al-Quran, pemahaman SIYAQ atau KONTEKS sebenar sesuatu ayat sangat penting agar maksud sebenar kalam Allah ini tidak terpesong ke lain. Jika ia tidak dijaga, nantinya “itik sudu air” difaham pula “ayam patuk padi”, sudahnya lain yang disampaikan Allah, lain pula dipetik. 

Lalu apakah pula maksud sebenar ZIKIR YANG LEBIH BESAR dalam ayat itu? Tidak lain, untuk menjelaskan maksud sebenar, WAJIB kita melihat ayat itu dari pangkal. Umpamanya kita pasti kebingungan berfikir bagaimana SPIDERMAN tiba-tiba mampu melekat di dinding jika terus melompat kepada sequel SPIDERMAN 3 tanpa melihat pangkal cerita SPIDERMAN 1. Allah menjelaskan:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan DIRIKANLAH SEMBAHYANG (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah (utamanya adalah DENGAN SOLAT) adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29:45]).

Terdapat beberapa makna perkataan ZIKIR (MENGINGATI ALLAH) ADALAH LEBIH BESAR;

1) Tadabbur al-Quran dan solat yang terdapat dalamnya segala macam bacaan dan pergerakan mengingati Allah jauh lebih besar dari ibadat lain (Tafsir al-Munir). Tadabbur al-Quran mampu membuahkan iman, manakala solat adalah sangat besar nilainya kerana ia langsung tidak boleh ditinggalkan melainkan atas sebab lupa, tertidur atau hilang akal. Solat juga menjadi rukun Islam yang menyempurnakan Iqrar syahadah kepada Allah.

2) Ingatan Allah terhadapmu dengan segala rahmatNya jauh lebih besar berbanding ingatanmu terhadapNya dengan amal ibadah yang kamu lakukan (Tafsir Ibn Kathir). Pendapat ini juga sangat logik kerana apalah sangat nilai ingatan serta ibadah kita kepada Allah jika mahu dibandingkan dengan segala ni’mat dan rahmat Allah kepada kita. Usah bicara banyak, solat 5 waktu kita lakukan tanpa 100% khusyuk itu pun belum dapat membalas jasa Allah meminjamkan sebuah jantung yang memberikan kita hidup. Apatah lagi ni’mat lain yang diberikan secara percuma. Pasti kita terkejut jika suatu hari Allah menghantar kita bil oksigen, bil matahari, bil Graviti, bil hujan dan sebagainya yang perlu dibayar dengan ibadah setiap saat. Pasti kita tak akan mampu membayar segala bil tersebut. Sungguh! Ingatan Allah kepada kita dengan segala ni’mat dan rahmat, jauh lebih besar nilainya dari ingatan kita kepada Allah yang sangat ciput.

Walau bagaimanapun, dalam kaedah Usul Tafsir dan Usul Fiqh, para ulama menegaskan suatu kaedah yang sungguh melapangkan dada iaitu - العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب - Pengajaran yang diambil daripada sesuatu ayat adalah berdasarkan maknanya yang umum bukan semata-mata bergantung kepada sebab penurunannya yang khusus.

Dengan kaedah ini, sebarang ayat yang diturunkan dengan suatu sebab  yang khusus pada zaman Rasulullah SAW masih boleh digunakan pada zaman lain jika isi  kandungannya mempunyai kaitan dengan isu yang hendak disentuh. Dalam konteks ayat di atas, sebarang zikir kepada Allah memang jauh lebih besar berbanding ibadah lain asal sahaja kita berterusan menghayati al-Quran dan mendirikan solat.

Jangan pula, al-Quran jarang disentuh dan solat pun ikut musim tetapi galak berzikir dengan kefahaman zikir sudah cukup untuk mengatasi bacaan al-Quran atau solat. Bukan apa, bimbang sekali kita tersalah memilih keutamaan dalam mendekati Allah. Disangka pintu rupanya tingkap. Bersungguh mengejar kerana disangkanya emas  rupanya tembaga. Jika ia berlaku kerana kesilapan dan kejahilan kita, memang rugi dan sungguh rugi!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...