Saturday, February 20, 2016

PEMUDA YASIN MENASIHATI KAUMNYA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI

PEMUDA YASIN MENASIHATI KAUMNYA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:20-27]) pada 18 Mei 2015. Antara isunya adalah KISAH LELAKI TERPUJI dalam surah Yasin yang tidak putus menasihati kaumnya semasa hidup dan "selepas mati."

Bukan semua orang bertuah kisahnya disebut Allah dalam al-Quran. Sebutan kisah mereka pastinya tidak kosong, tetapi mengandungi mutiara berguna yang wajib diambil sebagai pedoman hidup.

Dalam surah Yasin Allah menceritakan kisah seorang lelaki yang berterusan menasihati kaumnya yang degil. Kisahnya, penduduk Antakiyah yang diutus kepada mereka 3 utusan nabi Isa (ayat 13-19) berdegil menolak seruan Tawhid dan turut mengungut untuk menyeksa para utusan tersebut. Di tengah kegawatan itu, muncul seorang lelaki yang dikatakan bernama Habib al-Najjar mempertahankan para utusan itu dengan kalamnya yang penuh hikmah:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21) وَمَا لِيَ لَا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (22) أَأَتَّخِذُ مِنْ دُونِهِ آَلِهَةً إِنْ يُرِدْنِ الرَّحْمَنُ بِضُرٍّ لَا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلَا يُنْقِذُونِ (23) إِنِّي إِذًا لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (24) إِنِّي آَمَنْتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ (25)

Ertinya: Dan (semasa para Rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah para Rasul itu - "Turutlah orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang mandapat hidayah petunjuk". Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. "Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. "SESUNGGUHNYA AKU TELAH BERIMAN KEPADA TUHAN KAMU, MAKA DENGARLAH (NASIHATKU)", (Yasin [36:20-25]).

Di akhir kempennya, Habib al-Najjar mengisytiharkan imannya.  Pengisytiharan itu mengundang amarah kaumnya, akibatnya beliau mati dibunuh (Tafsir Ibn Kathir). Setelah dimuliakan dengan ganjaran syahid, beliau sangat berharap agar kaumnya di dunia mengetahui untung yang dicapainya berkat iman kepada Allah:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ (26) بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ (27)

Ertinya: (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAUMKU MENGETAHUI - "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang yang dimuliakan" (Yasin[36:26-27]).

Ketika mengulas ayat ini, Abdullah ibn ‘Abbas RA mengatakan “BELIAU TETAP MENASIHATI KAUMNYA KETIKA MASIH HIDUP DAN SELEPAS MATI.” (Tafsir Ibn Kathir). Namun apakan daya, hukum Allah memutuskan yang sudah mati kekal terkurung dalam alam barzakh sehingga kiamat.

Dalam bahasa Arab, perkataan ياليت (pada ayat ke 26) yang bermaksud “ALANGKAH BAIKNYA atau ADUHAI KALAULAH” adalah - أداة التمني -"LAFAZ ANGAN-ANGAN YANG MUSTAHIL DICAPAI.” Ia menjadi dalil bahawa roh orang mati TIDAK DAPAT SAMA SEKALI PULANG KE DUNIA. Tidak pada malam Jumaat, bulan Ramadhan atau sebagainya. Inilah hukum alam yang diwartakan Allah dalam surah al-Mu’minun ([23:99-100]).

Malang sekali penduduk Antakiyah kerana mereka mati disentap oleh jeritan perkasa Jibril AS (ayat 29) tanpa mengetahui “NASIHAT SELEPAS MATI” Habib al-Najjar. Alhamdulillah! Umat nabi Muhammad yang dianugerahi al-Quran sungguh sangat beruntung kerana dapat mengetahui “NASIHAT SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI” Habib al-Najjar. Itu pun jika kita senantiasa membaca dan menghayati al-Quran.

Setelah mengetahui kemuliaan Habib al-Najjar yang berterusan menasihat kaumnya dalam 2 alam, alam dunia dan alam barzakh, kita sepatutnya berusaha agar dapat sama mencontohinya. Bagaimana? Dengan meninggalkan legasi berguna untuk umat Islam seperti para ulama'. Semasa hidup kita dikenal sebagai manusia contoh yang mampu diteladani, selepas mati pula legasi peninggalan dan nama soleh kita kekal harum sehingga kiamat. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...