Thursday, February 18, 2016

NABI YA'QUB AS TIDAK PILIH KASIH

NABI YA’QUB AS TIDAK PILIH KASIH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:8]) pada 10 Februari 2016. Antara isunya adakah nabi Ya’qub pilih kasih antara anaknya dan perbezaan sudut pandang orang tua dan orang muda.

“Ustaz! Sudah lama saya nak tanya mengenai sikap pilih kasih nabi Ya’qub. Jika baginda tidak melebihkan Yusuf, sudah pasti tiada hasad berlaku antara anak baginda yang menyebabkan Yusuf teraniaya.”

Bagai dijangka, itulah soalan berbaur persepsi yang muncul apabila menyebut kisah nabi Yusuf dan saudaranya. Pada mata zahir, nampak kelihatan nabi Ya’qub tidak adil dalam membahagikan kasih sayang antara anaknya. Andaian itu muncul berikutan ayat ini:

إِذْ قَالُوا لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَى أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: (Kisah itu bermula) ketika saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "SESUNGGUHNYA YUSUF DAN ADIKNYA, LEBIH DISAYANGI OLEH BAPA KITA DARIPADA KITA, PADAHAL KITA INI SATU KUMPULAN (YANG RAMAI DAN BERGUNA). SESUNGGUHNYA BAPA KITA ADALAH DALAM KEADAAN TIDAK ADIL YANG NYATA." (Yusuf [12:8]).

Tidak tepat! Nabi Ya’qub tidak memilih kasih. Baginda pastinya tahu bahawa pilih kasih adalah dosa yang berat kerana para Rasul mendapat ilmu terus dari Allah. Ilmu berkaitan akhlak antara ibu bapa dan anak pastinya dimaklumi baginda sebagaimana ia diketahui oleh Rasulullah SAW yang menyebutnya secara tegas dalam sebuah hadith:

َ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلَادِكُمْ

Ertinya: Takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berlaku adil kepada (semua) anakmu (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Menurut Islam “ADIL BUKAN BERMAKSUD SAMA RATA TETAPI MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA.” Jika sama rata dianggap adil, maka anak lelaki dan anak perempuan wajib diberikan tudung sahaja. Begitu juga gaji seorang ketua yang kuat berfikir demi sebuah organisasi serta berat beban kerjanya mesti sama dengan gaji pegawai bawahan yang kerjanya jauh lebih mudah. Jika sama rata dianggap adil, maka gaji seorang Perdana Menteri harus sama dengan gaji tukang cuci tandas.

Masalah utama krisis hasad pada anak nabi Ya’qub bukan kerana ketidakadilan baginda tetapi kerana kejahilan anak baginda memahami maksud adil. Yusuf dan Bunyamin adalah anak Ya’qub yang masih kecil. Jarak usia antara mereka berdua dengan anak nabi Ya’qub yang lain agak besar. Para ulama Tafsir berselisih pendapat tentang usia Yusuf pada waktu kejadian dalam ayat ini, namun ada pendapat mengatakan baginda berusia sekitar belasan tahun dan masih di bawah paras remaja. Abang baginda pula sudah mencecah usia dewasa. Sungguh canggung jika anak yang sudah dewasa cemburukan peluk cium seorang bapa kepada anak yang masih kecil.

Sudah pasti layanan senyum, usap, peluk dan puji antara anak kecil berbeza dengan anak dewasa. Jika anak dewasa diminta memikul seguni gandum, sangat tidak adil jika anak kecil pun diminta memikul beban yang sama. Jika anak yang dewasa makannya 2 buku roti, pastinya tidak adil jika si anak kecil dipaksa menelan jumlah roti yang sama. Itu logik mudah yang perlu dilihat.

Sebenarnya nabi Ya’qub berlaku adil kepada semua anaknya. Apa yang lebih pada Yusuf di hati Ya’qub cuma rasa sayang atas kelebihan akhlak dan petanda kerasulan baginda. Rasa sayang pula bukanlah sesuatu yang mampu dikawal oleh manusia walaupun oleh seorang Rasul. Apa yang dituntut Islam adalah keadilan fizikal, bukannya keadilan perasaan. Rasulullah SAW sendiri pun tidak mampu mengawal sayangnya yang lebih kepada Aishah RA. Oleh itu, Allah tidak menyalahkan manusia pada rasa hati yang berlebih pada sesetengah isteri atau anak asalkan keadilan fizikal ditunaikan:

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

Ertinya: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri kamu sekalipun kamu bersungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’ [4:129]).

Tambahan pula menurut sesetengah ulama Tafsir, kasih sayang nabi Ya’qub kepada Yusuf dan Bunyamin terserlah kerana rasa belas kasihan berikutan kematian ibu mereka berdua ketika mereka masih kecil. Anak nabi Ya’qub yang lain pula lahir dari ibu lain dan mereka cuma adik beradik sebapa dengan Yusuf serta Bunyamin (Tafsir al-Razi, Tafsir al-Kasysyaf). Sungguh pelik jika anak yang dewasa cemburukan kasihan belas seorang ayah kepada anak kecil yang kehilangan ibu.

Pengajaran penting bagi kita dari kisah ini adalah betapa bahayanya penyakit hasad. Apabila hasad sudah merasuk, pertimbangan yang waras pasti hilang. Kasihan belas kepada adik sendiri yang masih kecil juga terbang entah ke mana. Hasad juga membuka luas pintu kemudaratan yang direncahkan oleh Iblis dan konco-konconya. Apabila hantu hasad sudah merasuk hati seorang ayah berstatus Rasul pun sanggup diguris parah.

Masya Allah, sungguh bahaya penyakit ini. Ia menjadi sebab tercetusnya dosa pertama di langit antara Iblis dan Adam. Ia juga menjadi sebab jenayah bunuh pertama di dunia Antara 2 anak nabi Adam (al-Ma’idah[5:26-31]). Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa hasad adalah penyakit yang bahaya kerana ia bakal memangsakan ramai insan tidak berdosa:

دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الْأُمَمِ قَبْلَكُمْ الْحَسَدُ وَالْبَغْضَاءُ هِيَ الْحَالِقَةُ لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا

Ertinya: Sudah meresap pada kamu semua penyakit umat lampau iaitu sifat hasad (dendam secara batin) dan permusuhan (secara zahir). Ia seumpama pencukur. Aku tidak berkata ia mencukur licin rambut tetapi mencukur (menghancurkan) agama. Demi yang jiwaku berada pada tangan (kuasa)Nya kamu semua tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu semua tidak akan beriman sehinggalah kamu saling saying menyayangi (Sunan al-Tirmidhi).

Juga sabda baginda SAW:

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Ertinya: Kamu semua perlu menjauhi (sifat)  hasad dengki kerana hasad akan memakan (mesmusnahkan) (pahala) kebaikan seperti api menghanguskan kayu (Sunan Abu Dawud).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...