MAMPUKAH ULAS ISI SURAH YASIN DALAM 3 MINIT?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Yasin [36:13-15]) pada 2 Februari 2016 di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Antara isunya adalah muhasabah kefahaman kita terhadap isi surah Yasin.
Pernah kawan saya, Tuan Fazrul Ismail iaitu Jurulatih Akademi Sinergi yang banyak menganjurkan program bagi membantu orang awam menghayati al-Quran berkata:
"Sasaran saya tahun ini adalah meminta orang awam mengulas isi surah Yasin dalam masa 3 MINIT. Saya percaya, sesetengah orang kita BELUM TENTU MAMPU menggunakan 3 minit itu walaupun sudah lama membaca Yasin."
Saya lantas menyampuk:
"Usahkan Yasin, bagi yang tak peduli, surah Al-Fatihah pun belum tentu lepas."
Sudah lama surah Yasin dibaca, tapi pasti ada yang kebingungan apabila nama negeri Antakiyah dibangkitkan. Apa kaitan Antakiyah dengan Yasin? Tambah kehairanan apabila disusulkan pula soalan "siapa 3 utusan Allah yang dihantar kepada penduduk Antakiyah."
Jika kebingungan dan kehairanan itu turut sama menyelubungi anda pada saat awal membaca nota ini, bermakna anda perlu melakukan “over-haul” yang menyeluruh dalam cara interaksi anda dengan al-Quran, “LEBIH-LEBIH LAGI SURAH YASIN YANG SUDAH SEKIAN LAMA DIBACA.” Jangan hanya kekal menjadi burung “kakak tua” dari muda sampai ke tua. Bacalah Tafsir surah Yasin dan kenalilah isinya kerana itulah matlamat asal al-Quran diturunkan.
Surah Yasin turun di Mekah untuk menegur orang Mekah yang degil menolak dakwah Rasulullah SAW. Kadangkala manusia degil hanya faham bahasa amaran. Oleh itu Allah membawakan kisah malang penduduk sebuah kisah negeri yang sekapal akidahnya dengan penduduk Mekah iaitu percaya Allah itu wujud tapi menyembah makhluk lain yang tak bernyawa.
Para ulama Tafsir menamakan negeri yang disebut surah Yasin sebagai ANTAKIYAH. Tiga utusan Allah itu pula diperselisihkan oleh para ulama, namun yang paling masyhur menyatakan mereka bertiga adalah wakil nabi Isa AS yang bernama Sadiq, Masduq dan Salum (Tafsir al-Tabari). Ada pula yang menamakan mereka Yuhna, Bulus dan Syam'un (Tafsir Ibn Kathir). Nama Antakiyah juga mirip sebuah tempat di Turki yang bernama Antakya. Ia pernah menjadi tempat perkembangan agama Kristian. Yang pasti perincian nama tempat dan watak dalam kisah ini boleh dikategorikan sebagai Isra’iliyyat kategori ketiga (kisah bersumber dari periwayatan Ahli Kitab yang tak dapat dipastikan kesahihannya). Allah sengaja tidak memperincikan nama mereka kerana ia bukan matlamat asal yang mahu diutarakan:
وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ (13) إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُمْ مُرْسَلُونَ (14) قَالُوا مَا أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا وَمَا أَنْزَلَ الرَّحْمَنُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ (15) قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّا إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ (16) وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ (17)
Ertinya: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang dikatakan ANTAKIYAH) iaitu ketika mereka didatangi Para Rasul (Kami), Ketika Kami mengutus kepada mereka “2 ORANG RASUL” lalu mereka mendustakannya; kemudian “KAMI KUATKAN (KEDUA RASUL ITU) DENGAN RASUL YANG KETIGA”, lalu para Rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu '. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". Para Rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Para Rasul yang diutus kepada kamu, "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintahNya dengan cara yang jelas nyata" (Yasin [36:13-17]).
Kedegilan mereka sangat dahsyat sehingga terpaksa diutus sampai 3 utusan mengetuk minda syirik mereka. Apa pengajaran kisah ini untuk manusia moden seperti kita? Mudah sahaja, “JANGAN SEKALI-KALI KITA MENJADI DEGIL SEPERTI PENDUDUK ANTAKIYAH ATAU MEKAH.”
Sungguh pada zaman ini bukan lagi “3 ORANG WAKIL ALLAH” diutus untuk membimbing kita, tetapi sudah beribu ulama’ dalam beribu medium. Tidak cukup dengan itu, segala bagai teknologi moden memudahkan kita mengenal dan mematuhi arahan Allah.
Oleh itu, marilah kita ubah cara interaksi dengan al-Quran. Sempurnakan pakej interaksi dengan al-Quran yang merangkumi Tajwid, Tafsir, Tahfiz dan Penghayatan. Jangan hanya tertahan di "Darjah 1 Tajwid" sehingga tua tanpa naik ke Darjah seterusnya. Sungguh malang jika sudah lama bergelar “HAFIZ YASIN” tapi gagal menghadam isinya sebagaimana yang dikehendaki Allah. Lebih malang jika tak mampu pun "WALAU 3 MINIT" mengulas apa yang Allah mahu sampaikan dalam surah ini.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment