HIDUP INI HANYA SESAAT, USAHLAH SIBUK MENCARI YANG BUSUK SAHAJA.
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Hidup di dunia cuma sekejap, sekadar sehari. Sehari? Ini silap. Masakan sehari, kita sudah berpagi dan bermalam hampir puluhan tahun. Kalau mahu dikira, kita sudah melihat terbit dan jatuhnya matahari sebanyak ribuan kali. Mustahil jika dikata hidup duniawi ini cuma sehari, namun siapalah kita bila berhadapan dengan firman Allah:
يَتَخَافَتُونَ بَيْنَهُمْ إِنْ لَبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا
Ertinya: Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja".
نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِنْ لَبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا
Ertinya: (Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat" (Taha [20:13-104]).
Cuma sehari! Itulah sebenarnya usia kita di dunia berbanding tuaian hasil yang bakal kita petik di akhirat. Oleh kerana begitu singkatnya hidup kita di dunia, isilah hidup ini dengan keharuman amal soleh. Hiasilah dunia yang pendek ini dengan kalam indah bersulam pahala bukan kalam busuk lagi mengundang dosa.
Tapi manusia yang jahil dan pendek akalnya suka mengisi hidup singkat ini dengan bicara kosong yang busuk. Kerjanya tiada lain melainkan mengesan benda huduh dan busuk pada orang, lalu dicanang yang busuk itu seluasnya. Matanya seperti "radar najis pada lalat", nampak sahaja segala kelemahan manusia lalu diadun menjadi makanan harian untuk dihidang kepada orang.
Ini sebabnya ilmu penyucian jiwa, tasawwuf atau akhlak senantiasa perlu digandingkan bersama akidah dan fiqh. Adunan ketiganya bakal melahirkan Muslim sejati YANG PALING MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW.
Apa guna menggelar diri pejuang Islam yang paling benar atau paling istiqamah, atau Ahli Sunnah yang "paling Sunnah" jika akhlaknya bertaraf tong sampah kerana siang malamnya sibuk mencari kepincangan orang seolah diri begitu sempurna. Pepatah Arab ini sepatutnya menyedarkan kita semua:
الدنيا ساعة....فاجعلها طاعة
Ertinya: Dunia ini hanya SESAAT, isilah ia dengan penuh TAAT.
Sebelum sibuk mengesan keburukan dan kesilapan orang lain, kesan dan tangisilah dahulu keburukan dan kesilapan diri sendiri. Anda pasti akan kesuntukan masa membersih kotoran diri, apatah lagi menjadi tukang cuci orang lain.
Sebelum mengutuk kepincangan orang lain yang sudah dijemput Allah atau yang masih hidup, tanya dahulu diri sendiri, sejauh mana sumbangan aku untuk ummah.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-
dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment