DAKWAH ADALAH PELEPAS TANGGUNGJAWAB DAN HARAPAN PERUBAHAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [9:163-164]) pada 30 Januari 2016. Antara isunya adalah kepentingan menyampaikan dakwah walaupun tiada yang sudi mendengar.
“Buat apa kamu sibuk memberikan mereka peringatan? Tegur atau abai nampaknya sama sahaja untuk mereka. Kegilaan kepada timbunan ikan sudah menggelapkan mata mereka.”
Kaki ibadat dari kalangan Bani Isra’il yang mendiami kampong nelayan ini begitu yakin dengan takdir kemusnahan teman mereka yang sudah melanggar arahan Allah. Bani Isra’il diarahkan beribadat pada hari sabtu. Kerja mereka adalah menangkap ikan. Pada hari biasa ikan tidak banyak timbul. Allah lantas menguji iman mereka apabila ikan timbul secara luar biasa pada hari larangan. Kegilaan kepada untung melampau menyebabkan segelintir penghuni kampong ini melanggar perintah Allah dan bersungguh-sunguh menangkap ikan pada hari tersebut. Firman Allah:
وَاسْأَلْهُمْ عَنِ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ لَا تَأْتِيهِمْ كَذَلِكَ نَبْلُوهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
Ertinya: Dan tanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari lain, ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik (al-A’raf [7:163]).
Penduduk kampong nelayan ini akhirnya pecah kepada 3 kumpulan. Satunya menggila menangkap ikan pada hari Sabtu. Godaan ikan pada hari Sabtu menyebabkan mereka tidak lagi mempedulikan ibadat yang diarahkan Allah. Inilah sikap sesetengah Muslim di Malaysia sekarang, kegilaan mencari dunia menyebabkan mereka lupa menyembah Allah yang memiliki dunia ini. Bodoh dan malang sekali orang seperti mereka.
Golongan kedua tegak berdiri atas arahan ibadat dan tidak berdiam diri melihat kemungkaran teman mereka yang menggila mencari ikan pada hari Sabtu. Sikap ini melambangkan iman mereka kepada Allah dan menjadi kebanggaan umat terbaik yang dinobatkan kepada kita umat Islam:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (KERANA) KAMU MENYURUH BERBUAT SEGALA PERKARA YANG BAIK DAN MELARANG DARIPADA SEGALA PERKARA YANG SALAH (BURUK DAN KEJI), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang yang fasik (Ali ‘Imran [3:110]).
Golongan ketiga agak mementingkan diri sendiri dan hanya tahu beribadat. Kemungkaran yang berlaku di depan mata tidak dipedulikan. Asal mereka dapat beribadat kepada Allah sudah cukup. Tiada kepentingan dakwah bagi mereka. Sikap mereka disebut Allah sebagai pengajaran penting bagi kita semua:
وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" ORANG (YANG MEMBERI NASIHAT) ITU MENJAWAB: "(NASIHAT ITU IALAH) UNTUK MELEPASKAN DIRI DARI BERSALAH KEPADA TUHAN KAMU, DAN MUDAH-MUDAHAN MEREKA BERTAQWA” (al-A’raf [7:164]).
Jawapan golongan kedua dalam ayat ini seharusnya menjadi pegangan kita semua. Dakwah bukan tugasan sesetengah pihak yang dibayar gaji sahaja. Ia menjadi tugas semua Muslim yang mahukan dunia aman dalam acuan Allah. Dakwah sangat luas ruang lingkupnya. Ia boleh disampaikan oleh siapa sahaja dalam kapasiti mereka tersendiri. Soal seruan dakwah kita berjaya meresap ke dalam hati sasaran dakwah atau tidak, itu urusan Allah. Allah melihat usaha kita dan bukannya keputusan akhir kerana keputusan dalam bentuk hidayah adalah milik mutlak Allah.
Seruan dakwah kepada yang melakukan dosa mempunyai 2 perkara yang sangat penting iaitu (1) PELEPAS TANGGUNG JAWAB ketika disoal di akhirat kelak dan (2) HARAPAN PERUBAHAN SASARAN DAKWAH. Jika seorang dua dapat diselamatkan dari musibah kesesatan hasil dari teguran yang dibuat, itu sudah cukup baik. Itulah sebabnya lafaz akhir yang disebut Allah pada ayat di atas adalah “DAN MUDAH-MUDAHAN MEREKA BERTAQWA.”
Dalam bahasa Arab perkataan – لعل - MUDAH-MUDAHAN dikenali sebagai – أداة الترجي – perkataan yang membawa harapan dan mampu dicapai. Mengapa Allah Yang Maha Bijaksana menggunakan lafaz ini? Tidak lain bagi menujukkan kepada kita semua bahawa seruan dakwah yang dibuat mampu mengubah seseorang jika benar rukun dan caranya. Oleh itu, jangan berputus asa dalam dakwah. Seru dan ajaklah manusia kepada kebaikan. Kelak Allah akan tanya “APA YANG KAMU BUAT” dan bukannya “BERAPA RAMAI YANG BERUBAH HASIL SERUAN KAMU?”
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment