Monday, January 25, 2016

SUDAH REZEKI KESEDARAN UNTUK DIA....BUKAN KEBETULAN

SUDAH REZEKI KESEDARAN UNTUK DIA…BUKAN KEBETULAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Erat sekali tangan saya dipegangnya seakan langsung tak mahu dilepaskannya. Saya terpegun seketika apabila Halil (bukan nama sebenar) datang berjabat dengan saya sesudah selesai kuliah subuh pagi ini (5 Januari 2016) di  Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Kuliah pagi ini pun bukan dirancang sejak dari awal. Kebiasaannya saya cuma memberikan tazkirah 10 minit kepada para Jemaah setiap kali selesai solat subuh pada hari cuti. Isi tazkirah pun biasanya berkait dengan surah yang dibaca dalam solat Subuh. Semalam sudah agak lewat saya Haji Bambang (AJK Surau) menghubungi saya meminta agar tazkirah Subuh pagi ini ditukar menjadi kuliah Subuh bersempena hari cuti.

Saya pula berfikir panjang apakah isu yang mahu dibawa kepada para Jemaah. Semasa keluar makan malam dengan anak-anak hati saya terlintas untuk mengulas tajuk  “PETUA MURAH REZEKI MENURUT AL-QURAN.” Tambahan pula slaid berkenaan tajuk ini sudah sedia ada dalam komputer saya.

Pagi ini para Jemaah agak ramai dan Halil kelihatan duduk di barisan hadapan. Saya perasan belum pernah melihat Halil sebelum ini. Banyak juga saya ulas mengenai rezeki antaranya:

1) Rezeki berkait rapat dengan Tawhid yang mana walaupun manusia berkerja mencari rezeki ianya berkait rapat denagn izin Allah sebagai Tuhan yang Memberi rezeki:

إِنَّمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا إِنَّ الَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًا فَابْتَغُوا عِنْدَ اللَّهِ الرِّزْقَ وَاعْبُدُوهُ وَاشْكُرُوا لَهُ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Ertinya: "Kamu hanyalah menyembah berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segalanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, TIDAK BERKUASA MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU; OLEH ITU CARILAH REZEKI DARI SISI ALLAH, DAN SEMBAHLAH AKAN DIA, serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan (al-’Ankabut[29:17]).

2) Rezeki adalah rahsia Allah yang sudah lama ditetapkan lama sebelum alam dicipta:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

Ertinya: Allah menetapkan taqdir semua mahkluk 50 ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Dan ArasyNya pada waktu itu berada di atas air (Sahih Muslim).

3) Skop rezeki perlu diluaskan. Ia tidak hanya pada timbunan harta tetapi merangkumi banyak perkara seperti negara yang aman, anak yang soleh, kesihatan tubuh badan, bumi yang subur, waktu yang cukup untuk datang solat berjemaah, kesedaran menuntut ilmu dan sebagainya.

4) Banyak pantang larang dalam mencari rezeki yang wajib dielakkan seperti meninggalkan solat dan menyalah guna peralatan pejabat untuk urusan peribadi. Orang yang sibuk berkerja sehingga mengabaikan solat sebenarnya bersikap biadab dengan Allah kerana seakan menganggap rezekinya dijamin oleh profesyennya dan bukan Allah.

Selesai kuliah, Halil datang dan menceritakan perihalnya. Dia baru beberapa hari dibuang kerja (selepas 16 tahun berkerja) kerana dikesan oleh majikannya melakukan 2 kerja dalam satu masa. Bukan setakat itu, dia juga menyalahgunakan waktu kerja, kemudahan dan peralatan pejabat untuk membuat kerja peribadinya. Selepas dibuang kerja, Halil termenung panjang memikirkan nasibnya. Beliau mulai datang berjemaah ke Surau. Lalu pagi ini dia terpukul dengan isi kuliah  Subuh saya seakan Allah mahu menegurnya secara terus:

“Apa yang Ustaz ceritakan tadi semuanya kena pada saya. Saya pernah abaikan solat kerana sibuk dengan kerja. Saya juga selalu menyalahgunakan peralatan pejabat untuk mencari duit lebih. Selepas dipecat saya memang marahkan majikan saya.”

Saya memberikannya motivasi:

“Alhamdulillah! Allah sayangkan awak. Allah gerakkan awak datang solat Subuh dan duduk mendengar kuliah pada pagi ini untuk menegur awak. Nasihat saya, jangan salahkan orang lain, anggap ia sebagai teguran Allah. Awak kena segera bertaubat dan selepas dapat kerja baru nanti, awak pergilah jumpa bekas majikan awak dan cuba ganti segala duit kemudahan yang awak pernah guna. Ia perlu kerana dosa lampau awak melibatkan hak orang lain. Alhamdulilah! Selepas ini kekalkan momentum ini, teruskan datang berjemaah ke surau dan hadirlah kuliah saya setiap malam Khamis kedua, ketiga dan keempat.”

Benar sekali! Allah memang sayangkan Halil:

    
اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

Ertinya: Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Syura [42:19]).

Ajaib sekali cara Allah menegur hambaNya. Dijentiknya dengan sedikit musibah tetapi di sebaliknya diberikan rezeki yang sangat berharga, iaitu “REZEKI KEINSAFAN DAN KESEDARAN.” Kemungkinan Halil tidak akan sedar kesilapannya jika dia tidak dibuang kerja. Beliau juga akan berterusan jauh dari Surau dan majlis ilmu jika musibah tersebut tidak menimpanya. Inilah yang dikatakan “MUSIBAH MEMBAWA RAHMAT” asalkan kita menerimanya dengan positif dan mencari hikmah disebaliknya. Benar sekali firman Allah ini:

……..وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: …………………………..; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:216]).
Rupanya “REZEKI KEINSAFAN DAN KESEDARAN” Halil pada pagi ini adalah rentetan doanya yang pasrah selepas dibuang kerja. Halil mengaku banyak berdoa agar dibukakan jalan untuknya menyara anak isteri. Tambah menarik, pintu rezekinya dibuka dengan penglibatan Bambang yang menghubungi saya agar tazkirah ringkas Subuh pagi ini dipanjangkan menjadi kuliah subuh. Juga penglibatan saya yang diberi ilham agar mengulas berkaitan rezeki. Sungguh! Tiada kebetulan dalam kamus pentadbiran Allah. Ia sudah lama dirancang dan ditulis:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid [57:22]).

Semoga cerita ringkas kali ini dapat membuka mata hati kita agar menyedari betapa segala gerak laku kita di dunia ini senantiasa diperhatikan Allah yang Maha Pengasih. Baik sungguh Engkau Ya Allah! Bukan hanya mencipta kami, Engkau juga membimbing kami agar menjadi hamba terbaik. Apabila dinamakan pendidikan atau bimbingan, maka sudah pasti ia mengandungi jatuh, bangun, tikaman musibah dan rotan didik. Kami redha dengan apa yang menimpa kami dan kami sedia menerima segala teguran ini dengan positif. Semoga hidup dan rezeki kita senantiasa dilimpahi keberkatan dari Allah.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...