Friday, January 29, 2016

SAMIRI YANG JAHAT DAPAT MELIHAT MALAIKAT?

SAMIRI YANG JAHAT DAPAT MELIHAT MALAIKAT?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ternyata Samiri itu bukan calang-calang orangnya. Dia antara insan jahat yang namanya membusuk sehingga kiamat. Hasil tangan dia seorang, menyebabkan sejumlah besar Bani Isra’il murtad menyembah patung anak lembu. Akibat karisma jahat Samiri bersama ciptaan berhala anak lembunya, nabi Harun pun diabaikan oleh Bani Isra’il. Tambah parah, baginda pun diancam bunuh:

وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِي مِنْ بَعْدِي أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ وَأَلْقَى الْأَلْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُ إِلَيْهِ قَالَ ابْنَ أُمَّ إِنَّ الْقَوْمَ اسْتَضْعَفُونِي وَكَادُوا يَقْتُلُونَنِي فَلَا تُشْمِتْ بِيَ الْأَعْدَاءَ وَلَا تَجْعَلْنِي مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, dia berkata: "Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" Dan dia mencampakkan kepingan Luh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: "WAHAI ANAK IBUKU! SESUNGGUHNYA KAUM (BANI ISRAIL) MEMANDANGKU LEMAH DAN NYARIS-NYARIS MEREKA MEMBUNUHKU (KETIKA AKU MELARANG MEREKA); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang yang zalim" (al-A’raf [7:150]).

Kisahnya, nabi Musa AS dipanggil Allah ke Gunung Tur Sinai selama 40 malam untuk menerima Tawrat. Sepeninggalan baginda urusan pentadbiran Bani Isra’il dibahukan pada nabi Harun AS:

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

Ertinya: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama 30 malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang yang melakukan kerosakan" (al-A’raf [7:142]).

Ketika ketiadaan Musa inilah Samiri membuat onar. Onar yang bukan kecil tetapi menyebabkan sebilangan besar Bani Isra’il menjadi bodoh menyembah patung anak lembu. Setelah nabi Musa kembali kepada kaumnya, baginda menyoal siasat Samiri. Ternyata jawapan yang diberikan Samiri sungguh mengejutkan:

قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ (95) قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا بِهِ فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِنْ أَثَرِ الرَّسُولِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذَلِكَ سَوَّلَتْ لِي نَفْسِي (96)

Ertinya: (Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula halmu, wahai Samiri?" Dia menjawab:" Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, LALU AKU MENGAMBIL SEGENGGAM DARI KESAN JEJAK RASUL ITU, KEMUDIAN AKU MENCAMPAKKANNYA; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku" (Taha [20:95-96]).

rasa “lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak rasul itu, kemudian aku mencampakkannya” dalam ayat ini dibincang panjang lebar oleh para ulama Tafsir. Kebanyakan para ulama’ Tafsir menyatakan selepas nabi Musa AS membelah laut, Jibril muncul dengan seekor kuda mengepalai laluan Bani Is’rail. Ketika ini Samiri memerhatikan gelagat Jibril dan mengambil tanah dari bekas tapak kaki Jibril untuk digunapakai pada kemudian hari. Ini kerana kesan tapak kaki kuda Jibril menghidupkan tanah dengan warna hijau, lalu Samiri faham bahawa tanah tersebut mampu menghidupkan sesuatu (Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir, al-Baghawi, Tafsir Ibn ‘Asyur).

Setelah mencipta patung anak lembu, Samiri mencampakkan tanah bekas tapak kaki kuda Jibril itu ke dalam mulut berhala anak lembu yang menyebabkan ia mengeluarkan suara seperti anak lembu:

قَالُوا مَا أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَكِنَّا حُمِّلْنَا أَوْزَارًا مِنْ زِينَةِ الْقَوْمِ فَقَذَفْنَاهَا فَكَذَلِكَ أَلْقَى السَّامِرِيُّ (87) فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَهُ خُوَارٌ فَقَالُوا هَذَا إِلَهُكُمْ وَإِلَهُ مُوسَى فَنَسِيَ (88)

Ertinya: Mereka menjawab: "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu (wahai Musa tentang tempoh pemergianmu selama 40 malam) itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang perhiasan orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang dibawanya. "Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!" (Taha [20:87-88])

Licik sungguh Samiri, kepulangan nabi Musa yang sedikit lambat dieksploitasi dengan dakwaan bahawa Musa terhalang dari pulang kerana dosa Bani Isra’il yang tidak memulangkan barang kemas bangsa Fir’awn (Qibti Mesir) ketika mereka kalut meninggalkan Mesir. Demi untuk membantu Musa, mereka perlu segera membuang semua barang kemas itu ke dalam bekas yang kemudiannya ditempa menjadi patung anak lembu oleh Samiri (Tafsir al-Qurtubi). Dahsyat sekali apabila manusia bijak seperti Samiri menggunakan kebijaksanaannya untuk menyesatkan orang lain.

Lalu timbul soalan bagaimana mungkin Samiri melihat Jibril ketika orang lain tidak mampu melihatnya? Terdapat beberapa jawapan atau andaian yang dibuat oleh para ulama’:

1) Kecerdikan jahat si Samiri menjadi “ujian” Allah kepada Bani Isra’il (Tafsir Ibn ‘Asyur). Ia menjadi medan peperiksaan bagi menentukan siapa yang benar imannya terhadap Allah. Jika iman mereka kepada Allah sudah seteguh gunung, pastinya mereka tidak akan tertipu dengan patung palsu ciptaan Samiri. Kreativiti jahat Samiri yang menjadi ujian itu dijelaskan Allah:

قَالَ فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِنْ بَعْدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السَّامِرِيُّ

Ertinya: (Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu UJIAN sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri" (Taha [20:85]).

2) Samiri diberikan peluang melihat malaikat sebagai suatu laluan ujian bagi Bani Isra’il. Walaupun begitu, memang disebut dalam nass sesetengah manusia diberikan peluang melihat malaikat atas sebab tertentu. Ia berlaku kepada Maryam:

فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Ertinya: Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (Jibril AS) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya (Maryam [19:17]).

Ia juga disebut dalam beberapa hadith, antaranya:

فَقَتَلْنَا مِنْهُمْ سَبْعِينَ وَأَسَرْنَا سَبْعِينَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ قَصِيرٌ بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَسِيرًا فَقَالَ الْعَبَّاسُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَذَا وَاللَّهِ مَا أَسَرَنِي لَقَدْ أَسَرَنِي رَجُلٌ أَجْلَحُ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ وَجْهًا عَلَى فَرَسٍ أَبْلَقَ مَا أُرَاهُ فِي الْقَوْمِ فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ أَنَا أَسَرْتُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اسْكُتْ فَقَدْ أَيَّدَكَ اللَّهُ تَعَالَى بِمَلَكٍ كَرِيمٍ

Ertinya: (Seorang sahabat berkata: Dalam perang Badar) Kami membunuh seramai 70 musuh dan menawan 70 yang lain. Lalu datanglah seorang lelaki Ansar yang agak rendah (fizikalnya) dengan al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib sebagai tawanannya. Lalu al-‘Abbas berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah! Bukan dia ini yang menawanku tetapi aku ditawan oleh seorang yang sedikit rambutnya dan agak kacak wajahnya. Dia pula menunggang kuda berbintik hitam dan putih”….Lelaki Ansar itu berkata: “Aku yang menawannya Wahai Rasulullah!” Rasulullah berkata: “Senyaplah kerana Allah telah membantumu dengan kehadiran malaikat yang mulia” (Musnad Ahmad).

Dalam hadith lain juga disebut Abdullah bin ‘Abbas melihat Jibril bersama Rasulullah SAW:

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ مَعَ أَبِي عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ رَجُلٌ يُنَاجِيهِ فَكَانَ كَالْمُعْرِضِ عَنْ أَبِي فَخَرَجْنَا مِنْ عِنْدِهِ فَقَالَ لِي أَبِي أَيْ بُنَيَّ أَلَمْ تَرَ إِلَى ابْنِ عَمِّكَ كَالْمُعْرِضِ عَنِّي فَقُلْتُ يَا أَبَتِ إِنَّهُ كَانَ عِنْدَهُ رَجُلٌ يُنَاجِيهِ قَالَ فَرَجَعْنَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْتُ لِعَبْدِ اللَّهِ كَذَا وَكَذَا فَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ كَانَ عِنْدَكَ رَجُلٌ يُنَاجِيكَ فَهَلْ كَانَ عِنْدَكَ أَحَدٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَلْ رَأَيْتَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَإِنَّ ذَاكَ جِبْرِيلُ وَهُوَ الَّذِي شَغَلَنِي عَنْكَ

Ertinya:  Ibn ‘Abbas menceritakan: “Pada suatu hari aku dan bapaku berada bersama Rasulullah SAW. (Aku dapati) bersama baginda ada seorang lelaki sedang berbisik sesuatu kepada baginda. Kedudukan baginda pula seakan membelakangi bapaku. Kami kemudiannya meninggalkan baginda.”  Bapaku berkata: “Wahai anakku tidakkah kamu perhati bagaimana sepupumu itu duduknya seakan membelakangiku.” Aku berkata: “Wahai ayah! Bersama baginda tadi ada seorang lelaki sedang berbisik sesuatu kepadanya.” Kami pun segera kembali kepada Rasulullah dan ayahku menceritakan apa yang telah aku sebut. Beliau bertanya: “(Wahai Rasulullah) adakah benar ada seseorang bersamamu tadi?” Rasulullah bertanya padaku: “Adakah kamu turut melihatnya wahai Abdullah?” Aku menjawab: “Ya!”. Baginda menyambung: “ Itulah Jibril dan dialah yang menjadikan aku sibuk sehingga tidak sempat mempedulikanmu tadi (Wahai al-‘Abbas).” (Musnad Ahmad).

3) Samiri sebenarnya melihat jelmaan Jibril yang datang dengan kuda dan bukan fizikal asal malaikat tersebut. Senario yang sama berlaku kepada Maryam dalam ayat terdahulu. Jika Jibril muncul dalam jasadnya yang asal, pasti dia akan memenuhi seluruh ufuk langit sebagaimana gambaran Allah:

عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَى (7)

Ertinya: Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; “KEMUDIAN DIA MEMPERLIHATKAN DIRINYA (KEPADA NABI MUHAMMAD) DENGAN RUPANYA ASAL, SEDANG DIA BERADA DI ARAH YANG TINGGI (DI LANGIT)” (al-Najm [53:5-7]).

4) Samiri mampu melihat dan mengenali Jibril kerana dia dibesarkan oleh Jibril. Kisah ini disebut oleh sesetengah ulama Tafsir kerana Samiri lahir pada “tahun bunuh” bayi Bani Isra’il yang ditetapkan oleh Fir’awn. Bimbang dibunuh oleh Fir’awn, ibu Samiri meninggalkannya dalam sebuah gua. Jibril kemudiannya membawa makanan dan membesarkan Samiri (Tafsir al-Tabari). Berikutan itu, Samiri mampu melihat Jibril berbanding orang lain. Kisah ini disebut dalam banyak kitab Tafsir, namun begitu ia tidak disandarkan dengan dalil yang jelas. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah dalam perbincangan.

Samiri memang bijak, malang sekali kebijaksanaannya itu disalurkan kepada jalan hitam yang memangsakan ramai orang jahil dari kalangan Bani Isra’il. Tindakan Samiri juga didorong oleh kehendaknya yang gilakan sanjungan dan pengaruh. Itulah lumrah bagi kebanyakan pencipta bid’ah dan ajaran sesat. Pengaj.aran utama bagi umat Islam setelah membaca kisah ini adalah agar menggunakan akal yang dianugerahkan Allah. Jangan mudah terpedaya dengan bicara manis ahli bid’ah. Rujuklah dahulu kepada al-Quran dan al-Sunnah. Anda pasti selamat dari diperbodoh semasa di dunia dan bahagia di akhirat bersama Rasulullah SAW.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...