Tuesday, January 26, 2016

RAHSIA CINTA KEPADA LEMBU DALAM HATI BANI ISRA'IL

RAHSIA CINTA KEPADA LEMBU DALAM HATI BANI ISRA’IL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Mengapa lembu? Mengapa tidak kerbau, unta, kambing atau binatang lain? Pernahkah kita terfikir tatkala Bani Isra’il mahu mencari pembunuh seorang lelaki kaya dalam kisah surah al-Baqarah, mengapa Allah menyuruh mereka menyembelih lembu?

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih SEEKOR LEMBU BETINA". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)" (al-Baqarah [2:67]).

Pastinya segala tindakan serta arahan Allah itu bersebab kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Bijaksana. Setelah diperhatikan secara mendalam rupanya cinta kepada lembu begitu mendalam pada sesetengah manusia jahil di kalangan Bani Isra’il. Ia disindir dahsyat oleh Allah:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آَتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambil (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". SEDANG KEGEMARAN MENYEMBAH (PATUNG) ANAK LEMBU ITU TELAH MESRA DAN SEBATI DALAM HATI MEREKA, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang yang beriman“(al-Baqarah[2:93]).

Setakat pembacaan ringkas saya, lembu agak signifikan kepada banyak agama dunia termasuklah agama orang Mesir purba. Mereka menyembah sejenis dewi yang dikenali sebagai Hathor iaitu dewi yang dipercayai bertanggungjawab mengurus kebahagiaan, sifat kewanitaan dan keibuan. Hathor digambarkan dalam mural Mesir Purba sebagai seorang dewi wanita yang bertanduk lembu. Pernah juga kami bertanya kepada penganut agama Hindu mengapa mereka memuja lembu? Dengan bangga si Hindu berkata kita menghormati lembu seperti ibu. Lembu dianggap haiwan suci kerana ia banyak membantu kita. Dibajaknya tanah kita dan diberikan pula kita susu. Menyembelih lembu seperti membunuh ibu yang berjasa. Lembu juga melambangkan kemewahan dan rezeki yang subur.

Idea kagum kepada lembu mulai meresap ke dalam minda Bani Isra’il sejurus selepas bebas dari cengkaman Fir’awn. Selepas meninggalkan Mesir, Bani Isra’il terserempak dengan sekumpulan manusia yang menyembah berhala. Tanpa tunggu mereka terus meminta agar nabi Musa memberikan mereka sebuah berhala Tuhan seperti kaum tersebut:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَى قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَى أَصْنَامٍ لَهُمْ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آَلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ (138) إِنَّ هَؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (139) قَالَ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِيكُمْ إِلَهًا وَهُوَ فَضَّلَكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ (140)

Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala mereka. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. "Sesungguhnya mereka (penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu". Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?" (al-A’raf [7:138-140]).

Menurut sebuah riwayat, rupa bentuk berhala kaum tersebut adalah seperti bentuk lembu (Tafsir al-Tabari). Selepas nabi Musa dipanggil ke Gunur Tur, Samiri si licik pembuat onar mencipta berhala anak lembu bagi menyesatkan Bani Isra’il. Seakan Samiri tahu bibit cinta kepada berhala lembu memang sudah lama berputik dalam hati sesetengah manusia jahil di kalangan Bani Isra’il. Bibit cinta itu pula dibantutkan terus oleh nabi Musa dan Harun. Samiri mengambil kesempatan ketiadaan Musa bagi menyiram cinta kepada tuhan lembu dengan berhala anak lembu ciptaannya.

Setelah Musa pulang, patung lembu itu terus dibakar bagi mengajar Bani Isra’il tentang kebodohan mereka:

قَالَ فَاذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِي الْحَيَاةِ أَنْ تَقُولَ لَا مِسَاسَ وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًا لَنْ تُخْلَفَهُ وَانْظُرْ إِلَى إِلَهِكَ الَّذِي ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا لَنُحَرِّقَنَّهُ ثُمَّ لَنَنْسِفَنَّهُ فِي الْيَمِّ نَسْفًا

Ertinya: Nabi Musa berkata kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. DAN (SEKARANG) LIHATLAH KEPADA TUHANMU (BERHALA ANAK LEMBU) YANG ENGKAU SEKIAN LAMA MENYEMBAHNYA, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MEMBAKARNYA KEMUDIAN KAMI AKAN MENGHANCUR DAN MENABURKAN SERBUKNYA DI LAUT SEHINGGA HILANG LENYAP (Taha [20:97]).

Tidak cukup dengan itu, Bani Isra’il yang murtad menyembah patung anak lembu Samiri diarahkan bertaubat dengan saling membunuh sesama mereka:

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani" (al-Baqarah [2:54]).

Kemudiannya, setelah berlaku pembunuhan misteri di kalangan Bani Isra’il, Allah turut mengarahkan mereka agar menyembelih lembu bagi menunjukkan bahawa si lembu adalah makhluk dan tidak selayaknya dijadikan Tuhan sembahan.

Seakan Allah mahu menyedarkan Bani Isra’il betapa lembu hanyalah salah satu makhluk ciptaan Allah dengan peranannya tersendiri di dunia ini. Lembu yang dikorbankan akan mati, lalu bagaimana makhluk yang boleh mati apabila direnggut nyawanya mahu dijadikan Tuhan? Usahlah menjadi bodoh menyembah si lembu, sebaliknya sembahlah Tuhan yang mencipta si lembu dengan berbagai sumbangannya kepada manusia. Jika anda kagum dengan kehebatan kereta yang mampu membawa anda berjalan jauh, usah disembah si kereta sebaliknya pujilah penciptanya.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...