PEMBAHAGIAN YANG ZALIM TERHADAP ALLAH
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Saffat [37:149-153]) pada 15 Januari 2016. Antara isunya adalah salah satu contoh akidah songsang orang Arab Jahiliah.
"Para malaikat adalah anak perempuan Allah!"
Itulah kepercayaan karut penyembah berhala pada zaman Rasulullah SAW. Mereka adalah manusia jahil dan bodoh yang sudah diperkuda syaitan. Akidah ini tidak memiliki dasar kukuh dan senang sahaja dipatahkan logiknya dengan hujah dan fakta. Lihatlah bagaimana akidah ini dipatah remukkan oleh al-Quran:
فَاسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ الْبَنَاتُ وَلَهُمُ الْبَنُونَ (149) أَمْ خَلَقْنَا الْمَلَائِكَةَ إِنَاثًا وَهُمْ شَاهِدُونَ (150) أَلَا إِنَّهُمْ مِنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ (151) وَلَدَ اللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (152) أَصْطَفَى الْبَنَاتِ عَلَى الْبَنِينَ (153)
Ertinya: (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak perempuan, dan untuk mereka anak lelaki? Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat itu - perempuan? Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: "Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang yang berdusta! (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak perempuan dari anak lelaki (sedang kedua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)? (al-Saffat [37:149-153]).
Bagi sesetengah Arab Jahiliah, anak perempuan menyusahkan mereka. Fizikalnya lemah tak sekuat anak lelaki. Nak dikerah melakukan kerja berat tak termampu oleh jasad perempuan mereka. Apabila anak perempuan ini bertemu jodoh, diangkut pergi pula oleh si suami. Pada pandangan mereka anak perempuan adalah satu aib yang harus dihapuskan langsung ke dalam tanah tanpa bekas. Perhatikan kebodohan mereka yang direkodkan al-Quran:
وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُمْ مَا يَشْتَهُونَ (57) وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ (58) يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (59)
Ertinya: Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak lelaki). Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu (al-Nahl [16:57-59]).
Canggung sungguh pembahagian ini. Mereka malu serta marah jika dikurniai anak perempuan, namun dengan mudah mereka menuduh Allah mempunyai para malaikat yang berjantina perempuan. Subhanallah! Maha Suci Allah dari segala kekurangan dan persamaan dengan makhluk. Sedangkan ujian membesarkan anak perempuan sangat besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana disebut sebuah hadith:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ
Ertinya: Pada suatu hari seorang wainta dan dua anak perempuannya masuk bertemu Aisyah untuk meminta makanan (bagi kedua anak perempuannya). Tiada makanan padaku yang mampu diberikan kepada mereka melainkan sebiji kurma. Wanita itu kemudiannya membahagikan sebiji kurma tersebut kepada dua anak perempuannya dan tidak memakan untuk dirinya. Setelah wanita itu keluar, Rasulullah SAW masuk bertemu Aisyah. Setelah dikhabarkan kisah mulia wanita tersebut Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang diuji Allah kerana (kesusahan) membesarkan anak perempuan maka anak perempuannya akan menjadi benteng yang menghalangnya dari api neraka (di akhirat kelak)” (Sahih al-Bukhari).
Rupanya ketidak adilan pembahagian antara hak mereka dan hak Allah turut berlaku pada aspek sedekah. Ia direkodkan oleh Allah:
وَجَعَلُوا لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالْأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُوا هَذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَذَا لِشُرَكَائِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَائِهِمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
Ertinya: Dan mereka (orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu (al-An’am [6:136]).
Itu cerita orang Arab di Mekah pada zaman Jahiliah, apa kurangnya sesetengah Muslim di Malaysia. Berkira sungguh dengan Allah. Demi untuk kecantikan diri sendiri sanggup berhabis sampai beribu, tapi apabila tiba masa untuk “kecantikan rohani yang membawa faedah akhirat sangat berkira.
Ada yang sanggup meredah perjalanan sejauh ratusan kilometer bagi memenuhi kehendak nafsu melihat sekumpulan manusia mengejar “sebiji objek bulat” di tengah stadium, tetapi berkira untuk berjemaah di surau Masjid yang tak sampai pun 1 kilometer dari rumah.
Ada yang sanggup berhabis membeli “asap penyakit yang sudah lama difatwakan haram” tapi berkira mengisi tabung derma di Masjid walaupun sekadar RM 5.
Dan banyak lagi sikap sesetengah orang Islam yang tampak tidak adil membahagikan hak Allah pada diri mereka sendiri. Barang yang lepas kita ubah. Selepas ini utamakan hak Allah mengatasi hak sendiri. Mudah-mudahan dengan cara itu hak serta keperluan kita akan digandakan oleh Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Ertinya: Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu (Muhammad [47:7]).
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment