TETAP BODOH WALAU DIGELAR SI BIJAK
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Tazkirah Subuh ringkas (al-Ra’d[13:19-24]) pada Ahad 27 Disember 2015 di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B.
“Dahulu semasa cuti semester, aku pernah berkerja sebagai “caddy” di sebuah kelab golf. Pada suatu hari aku mengiringi seorang ternama yang berpangkat lagi intelek dengan deretan gelaran akademiknya. Orang ternama ini mulai melibas kayu golfnya bermula sebelum Asar sehingga masuk waktu maghrib. Aku mencuri masa untuk solat Asar dan maghrib, malangnya orang ternama ini berterusan melibas kayu golf sehingga solat 2 waktu terbuang. Aku sungguh terkejut apabila mengetahui dia tidak solat. Nampak tak cocok dengan namanya yang besar dalam dunia akademik tanah air.”
Pengalaman teman saya di atas memang terjadi di mana sahaja. Ada manusia yang memiliki gelaran dan sijil akademik yang sangat hebat dari university yang ternama. Mereka ini sangat dihormati dan digelar sebagai manusia intelek atau bijaksana. Manusia boleh terpaku kagum apabila patah perkataan keluar dari mulut mereka. Namun begitu, sesetengah mereka ini tidak mengenal Allah dan tidak mengenal solat. Benarkah mereka ini manusia cemerlang lagi bijaksana bagai disangka sesetengah orang?
Saya tidak mahu melabel atau berbicara panjang. Biarlah bicara Allah ini menerangkan kepada kita siapa sebenarnya manusia yang paling cemerlang dan bijaksana:
أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ (19) الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلَا يَنْقُضُونَ الْمِيثَاقَ (20) وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ (21) وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (24)
Ertinya: Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? “SESUNGGUHNYA ORANG YANG MAHU MEMIKIRKAN HAL ITU HANYALAH ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.” Orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; - Dan orang yang menghubungkan perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); - Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari setiap pintu; - (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (al-Ra’d [13:19-24]).
Golongan intelek bijaksana, berakal sempurna atau ULUL ALBAB dalam ayat ini sangat mulia kerana diucapkan selamat secara khusus oleh para malaikat di akhirat kelak. Ringkasnya, mereka memiliki beberapa ciri iaitu:
1) Menyempurnakan perjanjiannya dengan Allah iaitu janji untuk hanya mempertuhankan Allah. Ia terangkum dalam intipati Tawhid yang sejati.
2) Menghubungkan silaturahim serta berbuat baik kepada kaum keluarga dan orang susah.
3) Senantiasa bimbang akan kemurkaan Allah dengan menghindari segala laranganNya.
4) Takut dengan kesukaran hisab pada hari kiamat. Rasa takut ini mendorong mereka agar senantiasa menjaga batasan agama Allah.
5) Sabar dalam mentaati Allah, sabar meninggalkan segala laranganNya dan sabar ketika menerima musibah.
6) Menjaga solat dan dermawan.
7) Berakhlak mulia dengan menolak kejahatan secara baik lagi terhormat.
Sesiapa yang mampu menjiwai 7 perkara di atas adalah manusia yang paling bijaksana walaupun sijil persekolahannya hanya bertaraf rendah. Manakala manusia yang gelaran akademiknya berjela meleret ke lantai tetap “bodoh lagi dungu” sekiranya tidak mampu menjiwai segala ciri ayat di atas terutama sekali jika tidak mendirikan solat. Mengapa solat diutamakan? Tidak lain ia adalah tiang agama dan pembeza antara iman dan kufur.
Apalah gunanya mencapai gred “A” dalam peperiksaan aturan manusia jika grednya dalam neraca Allah masih corot dan gagal. Alangkah baik dan indahnya jika yang sijilnya meleret ke lantai dilengkapkan nilai dirinya dengan penghayatan ayat di atas. Ayuhlah kita mendidik diri dan anak-anak agar benar-benar menjadi manusia cemerlang bijaksana menurut piawaian Allah di dunia dan di akhirat.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment